Topic followed successfully
Go to BHkuProgram NextGen dilancar untuk sokong pembangunan atlet para muda
Program NextGen dilancar untuk sokong pembangunan atlet para muda
Pelan program perintis empat tahun ini diumumkan semasa pembukaan Kejohanan Sukan Para S’pura 2026
Program NextGen dilancar untuk sokong pembangunan atlet para muda
Penyertaan dalam Sukan Para Belia Asia (AYPG) 2025 merupakan satu pengalaman membuka mata bagi perenang para, Moza Baihakki, yang memenangi dua pingat emas, sebutir perak dan sebutir gangsa di Dubai.
Perjalanan luar negara pertama tanpa ibu bapanya bukan sahaja mengajarnya berdikari dan mengurus masa dengan baik, malah mendorongnya untuk berusaha lebih gigih.
Mengimbangi tanggungjawab sukan dengan pelajaran di Sekolah St Margaret juga bukan mudah.
Meskipun begitu, pelajar menengah tiga itu mungkin boleh menerima lebih sokongan melalui Program Bakat Para NextGen yang dilancarkan pada 11 April.
Dikendalikan Majlis Sukan Kurang Upaya Singapura (SDSC) dan disokong Yayasan Temasek, program itu menyasarkan atlet kurang upaya berusia sembilan hingga 35 tahun yang berpotensi dan bercita-cita mahu mewakili negara di peringkat serantau dan antarabangsa.
“Ia satu batu loncatan yang baik untuk atlet para kini dan masa depan,” kata Moza, 14 tahun, yang dilahirkan tanpa sebahagian lengan kanan akibat keadaan kongenital yang jarang berlaku dikenali sebagai amniotic band syndrome (sindrom jalur amnion).
“Ia juga mendorong prestasi atlet kerana disesuaikan dengan keperluan setiap individu.”
Pelan program perintis empat tahun ini diumumkan semasa pembukaan Kejohanan Sukan Para Singapura 2026 di Our Tampines Hub (OTH), dengan Menteri Negara Kanan (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Low Yen Ling, sebagai tetamu terhormat.
Program ini menyasarkan atlet yang belum menerima sokongan skim nasional seperti Biasiswa Kecemerlangan Sukan yang menyediakan sokongan tambahan kepada atlet elit.
Atlet terpilih akan menerima pelan latihan individu yang dirancang bersama jurulatih.
Sokongan lain termasuk bimbingan dan latihan tersusun, sesi bulanan bersama pasukan kebangsaan, serta perkhidmatan kekuatan, kecergasan dan fisioterapi.
Selain itu, peluang bertanding di peringkat tempatan dan antarabangsa serta elaun pengangkutan turut disediakan, khususnya bagi yang memerlukan pengangkutan khas.
Yayasan Xu Family Charity, sebuah dana yang diuruskan Yayasan Masyarakat Singapura (CFS), berikrar menyumbang $300,000 selama tiga tahun sebagai penaja bersama pertama.
Menjelaskan keperluan NextGen, presiden SDSC, Teo-Koh Sock Miang, berkata ia bertujuan merapatkan jurang antara program riadah dengan prestasi tinggi melalui sokongan tepat kepada atlet para.
Namun, sistem semasa telah lama menghadapi kekangan seperti kos latihan tinggi dan peluang bimbingan terhad.
Teo-Koh, juga Presiden Paralimpik Kebangsaan Singapura (SNPC), berkata: “Sekian lama kami berusaha mendapatkan dana bagi mengenal pasti dan membangunkan generasi baru atlet para Singapura, maka Program Bakat NextGen ini amat penting.”
“Ia akan menjadi program lebih mampan dan tersusun, memastikan bakat muda yang dikenal pasti menerima sokongan untuk mengasah kebolehan dan berkembang hingga mampu mewakili Singapura.”
Permohonan bagi kohort sulung 2026 yang bakal menerima kira-kira 20 atlet dibuka pada 11 April hingga 10 Mei.
Dijadual bermula pada pertengahan 2026, program ini menyokong atlet dalam 11 sukan para utama iaitu olahraga, renang, boccia, tenis meja, menembak, badminton, goalball, memanah, boling padang, berbasikal dan boling, dengan pertimbangan turut diberikan kepada sukan lain secara kes demi kes.
Sepanjang empat tahun, 80 atlet para belia disasarkan, dengan matlamat ke arah kecemerlangan di Sukan Para Asean 2029 yang bakal dianjurkan Singapura.
Chandru Vishindas, yang anak lelakinya berusia 13 tahun, Ryan, menunjukkan minat mendalam dalam boccia, menyambut baik berita ini.
Bapa berusia 47 tahun itu berharap Ryan, yang menghidap palsi serebrum, dapat menjadi sebahagian program tersebut.
“Yang lebih penting, apa yang menggembirakannya harus kami sokong, dan kami akan melakukannya,” tambah Chandru yang bekerja sendiri.
Sejak mula bermain boccia di sekolah Cerebral Palsy Alliance Singapore (CPAS) di Pasir Ris pada usia lima tahun, minat Ryan semakin berkembang.
Dia mula bertanding tiga hingga empat tahun lalu dan memenangi pingat, termasuk di Kejohanan Boccia Belia Kebangsaan Tiger Balm, termasuk sebutir pingat emas pada 2025.
Chandru berkata: “Program NextGen memberi laluan untuk anak saya mengimbangi pendidikan dan sukan serta mendorongnya mencapai tahap terbaik.”
Selaras dengan Pelan Induk Sukan Kurang Upaya 2024 (DSMP), yang bertujuan meningkatkan penyertaan sukan dalam kalangan golongan kurang upaya daripada 46 peratus pada 2023 kepada 70 peratus menjelang 2030, program NextGen turut memudahkan laluan Pengambilan Masuk ke Sekolah secara Langsung (DSA), seterusnya meletakkan atlet para muda setaraf dengan rakan sebaya dalam laluan sukan-akademik.
Menurut Teo-Koh, kejayaan bukan diukur dengan pingat atau piala tetapi keupayaan atlet mencapai prestasi terbaik bersama sokongan keluarga.
Katanya: “Trofi hanyalah pelengkap yang indah, bukan penentu program ini.”

