Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Renang S’pura: Era peralihan & cabaran kekalkan dominasi

Dec 16, 2025 | 5:04 PM
Ketua jurulatih renang kebangsaan Singapura, Gary Tan, berpuas hati dengan pungutan 19 pingat emas pasukan itu di Sukan SEA.
Ketua jurulatih renang kebangsaan Singapura, Gary Tan, berpuas hati dengan pungutan 19 pingat emas pasukan itu di Sukan SEA. - Foto ST

Ketika perenang Singapura mengakhiri kempen Sukan SEA dengan cemerlang, memenangi lima daripada tujuh acara pada malam penutup, pungutan keseluruhan mereka melonjak kepada 19 emas, lapan perak, dan tujuh gangsa.

Menurut The Straits Times (ST), mereka meraikannya dengan sorakan penuh semangat: “Kami menjuari ‘perang’ ini sekali lagi.”

Walaupun dominasi ini mengekalkan kelebihan pungutan pingat buat edisi ke-11 berturut-turut, pasukan itu perlu mengambil iktibar daripada permulaan yang agak perlahan di Bangkok, di mana mereka hanya meraih tujuh emas daripada 19 acara awal.

Ketua jurulatih renang kebangsaan dan pengarah prestasi, Gary Tan, menyatakan pasukan kini memasuki fasa “peralihan” menjelang Sukan SEA 2027 di Malaysia, sebagai langkah persediaan untuk membina semula pasukan bagi edisi 2029 selaku tuan rumah.

Tan, 43 tahun, memberi jaminan bahawa bakat muda akan muncul bagi mengisi tempat atlet ‘veteran’ yang kini menghampiri di penghujung kerjaya cemerlang mereka.

Beliau menonjolkan Letitia Sim, peraih lima emas, serta Gan Ching Hwee dan Mikkel Lee yang masing-masing memenangi tiga emas dan kekal tanpa kalah dalam acara individu.

Penghormatan turut diberikan kepada atlet berpengalaman seperti Teong Tzen Wei serta adik-beradik Quah Ting Wen dan Quah Zheng Wen, yang bangkit semula selepas menghadapi permulaan yang mencabar pada kejohanan ini.

Menurut Aquatik Singapura (SAQ), perenang negara mencatatkan lima rekod kebangsaan, 10 rekod kejohanan dan 17 catatan terbaik peribadi. Pencapaian ini mengatasi rekod 2023 di mana mereka memenangi 22 emas dengan enam rekod kebangsaan, lima rekod kejohanan, dan 13 catatan terbaik peribadi.

Tan berkata: “Saya amat bangga dengan cara atlet menamatkan kejohanan ini. Ia menunjukkan daya tahan sebenar. Walaupun bermula agak perlahan, kami berjaya mengharunginya.

“Ya, 19 mungkin tidak sebanyak 22 atau 23, tetapi yang penting ialah bagaimana kami mencapainya. Ini adalah satu peralihan yang perlu kami lalui. Ia berkaitan dengan sistem yang sedang kami bina, dan ini merupakan satu titik perubahan.”

Di Pusat Akuatik Huamark, rentetan kemenangan Singapura terhenti dalam lima acara, gaya terlentang lelaki 100 meter dan gaya bebas wanita 100 meter, gaya kuak kupu-kupu wanita 200 meter, serta yang lebih membimbangkan acara berganti-ganti 4x100 meter dan 4x200 meter gaya bebas wanita.

Pasukan lelaki kekal kukuh, diserlahkan dengan kemunculan Chan Chun Ho, 21 tahun, dan perenang jarak jauh Russel Pang, 15 tahun, yang masing-masing mencipta rekod kebangsaan.

Pasukan wanita pula kelihatan goyah dalam acara pecut, seiring dengan persaraan Amanda Lim dan Ting Wen menghampiri usia pertengahan 30-an.

Saingan serantau turut semakin sengit, dengan Filipina, Thailand, Vietnam dan Malaysia menunjukkan peningkatan ketara, khususnya dalam acara jarak jauh.

Mengakui cabaran tersebut, Tan berkata jurang pasti wujud, namun tumpuan pasukan adalah memahami kelemahan dan kembali dengan sistem yang lebih mantap.

Beliau turut menamakan bakat muda seperti Julia Yeo dan Victoria Lim sebagai harapan masa depan.

Dengan sokongan padu daripada pihak berkepentingan seperti Sukan Singapura (SportSG) dan Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC), beliau yakin Singapura mampu mengekalkan pencapaian setanding pada edisi 2027.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg