Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jurulatih pasukan bola sepak wanita Canada dipecat susulan skandal dron

Nov 13, 2024 | 2:32 PM
Bev Priestman tidak lagi menyandang jawatan sebagai ketua jurulatih pasukan bola sepak wanita Canada susulan skandal dron pada Sukan Olimpik Paris 2024.
Bev Priestman tidak lagi menyandang jawatan sebagai ketua jurulatih pasukan bola sepak wanita Canada susulan skandal dron pada Sukan Olimpik Paris 2024. - Foto REUTERS

ONTARIO (Canada): Bev Priestman tidak akan meneruskan jawatannya sebagai ketua jurulatih pasukan bola sepak wanita Canada susulan laporan bebas mengenai penggunaan dron untuk mengintip pihak lawan di Sukan Olimpik Paris 2024, kata Bola Sepak Canada pada 12 November.

Priestman dan dua pegawai pasukan lain sebelum ini dilarang Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) daripada sebarang kegiatan berkaitan bola sepak selama setahun.

Ini selepas pasukan New Zealand mengadu mengenai kakitangan pasukan Canada menerbangkan dron semasa sesi latihan sebelum perlawanan pembukaan mereka di Paris.

Namun, berikutan semakan bebas yang diarahkan Canada Soccer, badan induk bola sepak negara itu berkata Priestman dan dua individu lain yang kini digantung oleh Fifa tidak akan menyandang semula jawatan mereka.

Badan induk itu juga berkata pencarian untuk ketua jurulatih baru akan dimulakan tidak lama lagi.

Pada Julai 2024, Priestman memohon maaf atas skandal dron dan berkata bahawa sebagai ketua pasukan, beliau mengambil tanggungjawab dan merancang untuk bekerjasama sepenuhnya dengan siasatan itu.

Canada Soccer hanya mengeluarkan salinan laporan ringkasan yang telah disunting tetapi mengakui insiden dron tersebut adalah gejala daripada corak budaya lampau yang tidak boleh diterima.

“Dapatan penyiasat bebas mendedahkan bahawa insiden itu sendiri adalah gejala budaya lampau yang sukar dan tidak boleh diterima dalam pasukan nasional.

“Secara ringkasnya, sementara pemain dalam pasukan nasional menunjukkan prestasi yang mengagumkan, piawaian budaya dan pengurusan program sejak beberapa tahun lalu adalah di luar jangkaan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Canada Soccer, Encik Kevin Blue, dan Presiden Canada Soccer, Encik Peter Augruso.

Menurut salah satu dapatan laporan itu, Priestman dan seorang penolong jurulatih “mengarahkan, meluluskan dan membenarkan” penggunaan dron oleh seorang lagi kakitangan jurulatih untuk merakam sesi latihan pasukan lawan di Sukan Olimpik Paris.

Laporan tersebut juga menentukan bahawa rakaman dron itu tidak ditonton oleh pemain pasukan nasional Canada.

Dengan penyiasatan kini selesai, Soccer Canada sedang mengambil langkah disiplin terhadap individu yang terlibat.

Menurut dapatan laporan itu juga, Canada Soccer “memulakan prosiding” berkenaan dengan bekas ketua jurulatih wanita dan lelaki pasukan Canada, John Herdman, kerana kemungkinan melanggar kod kelakuan dan etika.

Beliau merupakan ketua jurulatih pasukan wanita Canada dari 2011 hingga 2018 sebelum mengambil alih pasukan lelaki dari 2018 hingga 2023.

Canada Soccer berkata Herdman, yang kini ketua jurulatih kelab Bola Sepak Liga Utama (MLS) Amerika, Toronto FC, telah diundang untuk ditemu bual bagi siasatan tetapi, disebabkan masalah penjadualan, mereka tidak dapat melakukan demikian.

Herdman berkata pada Julai bahawa beliau yakin amalan pengintipan seperti itu tidak berlaku ketika beliau ketua jurulatih pasukan wanita dan lelaki Canada.

Herdman mengurus pasukan wanita Canada pada Sukan Olimpik London 2012, Sukan Olimpik Rio 2016, serta Piala Dunia Wanita Fifa pada 2015. Beliau juga mengurus pasukan lelaki di Piala Dunia Fifa di Qatar pada 2022. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg