Topik diikuti
Pergi ke BHkuJurulatih Scotland letak jawatan selepas tersingkir dari Piala Dunia
Jurulatih Scotland letak jawatan selepas tersingkir dari Piala Dunia
Jurulatih Scotland letak jawatan selepas tersingkir dari Piala Dunia
LOS ANGELES: Steve Clarke meletakkan jawatan sebagai ketua jurulatih Scotland selepas pasukannya tersingkir pada peringkat kumpulan Piala Dunia, menurut Persatuan Bola Sepak Scotland (SFA), pada 28 Jun.
“Ketua jurulatih pasukan lelaki Scotland, Steve Clarke, sudah meletakkan jawatan.
“Ketua jurulatih pasukan kebangsaan paling berjaya kami menamatkan khidmatnya selepas tujuh tahun mengendalikan pasukan, susulan penyertaan Scotland di Piala Dunia 2026,” jelas SFA menerusi media sosial.
Penyingkiran Scotland disahkan selepas Croatia menewaskan Ghana 2-1 dalam aksi Kumpulan L, sekali gus menyebabkan pasukan kendalian Clarke tidak lagi berpeluang berada dalam kelompok lapan pasukan tempat ketiga terbaik di Amerika Utara.
Pengurus berusia 62 tahun itu mengemudi Scotland yang melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Dunia buat kali pertama sejak 1998.
Scotland memulakan kempen Kumpulan C dengan kemenangan 1-0 ke atas Haiti, sebelum tewas dengan keputusan sama kepada Maghribi, diikuti kekalahan 0-3 kepada Brazil.
Walaupun mengumpul tiga mata, Scotland gagal mara ke pusingan 32 terakhir, susulan perbezaan gol yang lebih rendah.
“Bahagian paling menyentuh perasaan dalam perpisahan ini ialah pemain saya kerana tanpa mereka, kami tidak memiliki semua kenangan yang dikumpulkan sejak 2019 hingga sekarang.
“Mereka layak menerima segala pujian dan penghargaan yang diberikan dan menjadi satu penghormatan buat saya untuk menjadi pengurus mereka.
“Terima kasih atas peluang yang diberikan kepada saya dan selamat maju jaya kepada pengganti saya,” kata Clarke. – AFP.
