Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jurulatih Singa Muda Philippe Aw tinggalkan FAS; Nazri Nasir ambil alih

Jul 12, 2023 | 6:18 PM
CARI PELUANG LAIN: Ketua jurulatih pasukan bawah 22 tahun lelaki Singapura Philippe Aw telah meninggalkan Persatuan Bola Sepak Singapura pada Rabu.
CARI PELUANG LAIN: Ketua jurulatih pasukan bawah 22 tahun lelaki Singapura Philippe Aw telah meninggalkan Persatuan Bola Sepak Singapura pada Rabu. - Foto fail

Ketua jurulatih pasukan bawah 22 tahun (U22) lelaki Singapura, Philippe Aw, telah meletak jawatan, sehari selepas Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) mengumumkan bahawa skuad Singa Muda tidak akan mengambil bahagian dalam Sukan Asia 2023 pada September di Hangzhou, China.

FAS, dalam satu kenyataannya pada Rabu, berkata ia telah menerima permintaan Aw, yang juga ketua jurulatih kelab Liga Perdana Singapura (SPL) Young Lions dan ketua metodologi FAS, untuk dibenarkan meninggalkan organisasi ketika beliau “mencari peluang baru di tempat lain”.

“FAS merakamkan penghargaan atas sumbangan Aw kepada persatuan dan mengucapkan selamat maju jaya dalam usaha masa depannya,” kata badan pentadbir bola sepak negara itu.

Tugasan terakhir Aw, 53 tahun, adalah memimpin pasukan U22 dalam kempen hambar mereka di Sukan SEA 2023 Kemboja pada Mei.

Singapura dibelasah 0-7 oleh musuh tradisi Malaysia, selain gagal meraih sebarang kemenangan, dan tercorot di tangga terendah kumpulan mereka.

Prestasi teruk itu mencetuskan reviu daripada FAS, yang mana 10 usulan dikemukakan pada Jumaat lepas, bertujuan memperbaiki asas bagi skuad Sukan SEA Singapura pada edisi akan datang.

Penolong jurulatih pasukan senior lelaki Singapura, Nazri Nasir, akan mengambil alih “kerusi panas” itu, kata FAS.

Pelantikan itu bermakna Nazri, 52 tahun, akan membimbing pasukan U22 negara di kelayakan Piala Asia bawah 23 tahun (U23) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada September di Vietnam.

Beliau juga akan terlibat dalam mengendalikan Young Lions untuk baki musim 2023 SPL bagi membolehkan interaksi bersama pemain dalam pasukan pembangunan itu sambil memantau pemain yang layak daripada kelab SPL lain, tambah FAS.

Nazri, bekas pemain antarabangsa Singapura, berkata:

“Saya sedar ini adalah ‘kerusi panas’ buat masa ini, memandangkan sentimen orang ramai selepas Sukan SEA. 

“Sepanjang kerjaya, saya tidak pernah lari daripada cabaran yang sukar, dan saya meminta FAS untuk membenarkan saya mencubanya dan memberikan apa yang saya perlukan untuk melakukan yang terbaik pada kejohanan kerana saya percaya kita akan mempunyai peluang baik. Melihat perubahan terkini mengenai persiapan kejohanan, saya menantikan cabarannya.”

Nazri sebelum ini pernah menguruskan pasukan U22 negara dan Young Lions pada tempoh yang berasingan antara 2020 hingga 2022. 

Ini termasuk mengetuai skuad Singa Muda ke Sukan SEA 2022 di Hanoi, Vietnam, yang mana mereka meraih tempat ketiga dalam kumpulan seramai lima pasukan sekali gus gagal ke separuh akhir

Sebagai persiapan kelayakan Piala Asia U23 AFC, FAS berkata skuad sementara U22 dijangka melaporkan diri bagi latihan pusat mulai 21 Ogos.

Ini selepas penyelarasan dibuat pada kalendar perlawanan SPL 2023 untuk membolehkan pasukan itu mempunyai masa persediaan pra-pertandingan selama 14 hari tanpa gangguan sebelum berlepas ke Vietnam, tambahnya.

Salah satu usulan dalam reviu Sukan SEA adalah untuk pasukan diberikan sekurang-kurangnya 14 hari persiapan sebelum kejohanan. 

Singapura akan berdepan Yaman, Guam dan Vietnam dalam Kumpulan C kelayakan Piala Asia U23 AFC, yang berlangsung dari 6 hingga 12 September.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg