Perubahan sedang berlaku di BG Tampines Rovers, selepas jurulatih Gavin Lee mengumumkan bahawa beliau akan meninggalkan kelab Liga Perdana Singapura (SPL) itu selepas hampir lapan tahun.
Bercakap kepada The Straits Times, Lee, 34 tahun, yang sedang bercuti di Thailand, mengesahkan bahawa kedua-dua pihak telah bersetuju untuk berpisah.
Beliau berkata keputusan itu dibuat disebabkan urusan peribadi dan profesional.
Lee berkata: “Orang yang paling rapat dengan saya tahu cara saya bekerja dan cara saya melakukan sesuatu adalah 100 peratus sepenuhnya.
“Saya telah melakukan itu selama beberapa tahun dan sekarang saya perlu melihat semula dan mengutamakan beberapa perkara dalam hidup saya.
“Saya akan mengambil masa untuk mempertimbangkan jalan yang saya mahu ambil tetapi terdapat keutamaan tertentu dalam hidup saya yang ingin saya tempuh, jadi pilihan saya adalah ke arah itu.”
Lee menyertai The Stags sebagai penolong jurulatih pada Disember 2017, sebelum dinaikkan pangkat sebagai ketua jurulatih untuk kempen 2019. Pada usia 28 tahun, beliau menjadi ketua jurulatih termuda dalam SPL ketika itu.
Beliau, yang digambarkan pemain dan rakan sekerja sebagai seseorang yang “makan, tidur dan bernafas dengan bola sepak”, telah membawa pasukan itu menjadi salah satu pasukan paling menarik untuk ditonton kerana serangannya berasaskan penguasaan mereka.
Pada 2019, Tampines memenangi Piala Singapura, sebelum merangkul Perisai Komuniti Singapura setahun kemudian.
Dalam kempen 2024-25 yang berakhir baru-baru ini, mereka tewas kepada Lion City Sailors dalam final Piala Singapura dan menduduki tempat kedua dalam liga – lapan mata di belakang Sailors.
Tidak seperti Sailors yang merupakan sebuah kelab yang diswastakan, The Stags tidak menikmati sumber yang sama.
Lee telah mengasah beberapa bakat muda – beberapa pemain telah beraksi untuk pasukan nasional termasuk Ryaan Sanizal, Irfan Najeeb, Joel Chew, Shah Shahiran dan Taufik Suparno.
Mengucapkan terima kasih kepada bekas pengerusi kelab Desmond Ong kerana meletakkan kepercayaan kepadanya dan “menyediakan kestabilan dan kejelasan daripada pihak atasan”, Lee berkata beliau tidak menyesal, walaupun tidak mudah membuat keputusan tersebut.
ST difahamkan Akbar Nawas, yang membimbing Tampines ke suku akhir Piala AFC pada 2016, sedang dalam perbincangan untuk kembali ke kelab itu sebagai ketua jurulatih.
Beliau merupakan ketua jurulatih Nakhon Pathom United dalam Liga 1 Thai dan sebelum ini menjadi ketua jurulatih di Balestier Khalsa dari 2021 hingga 2022.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg