HAMBURG: Jurulatih Turkey, Vincenzo Montella, memuji kapten Hakan Calhanoglu sebagai pemain ‘lengkap’ yang boleh melakukan segala-galanya.
Calhanoglu membuka tirai jaringan ketika Turkey menentang Republik Czech pada 27 Jun dalam perlawanan terakhir mereka dalam Kumpulan F di kejohanan Euro 2024.
Turkey menewaskan Republik Czech 2-1 selepas penyerang Cenk Tosun menjaringkan gol kemenangan pada saat-saat terakhir perlawanan, sekali gus membolehkan Turkey mara ke peringkat kalah mati Euro buat kali pertama dalam tempoh 16 tahun.
Calhanoglu meletakkan Turkey di hadapan pada minit ke-50 dengan gol yang dirembat menggunakan bahagian luar butnya.
Republik Czech, yang kini tersingkir daripada Euro 2024, berjaya menyamakan kedudukan melalui pemain tengah Tomas Soucek pada minit ke-66 sebelum Tosun memastikan kemenangan Turkey.
Kemenangan itu memastikan Turkey tamat peringkat kumpulan di tempat kedua dengan enam mata selepas tiga perlawanan.
Portugal mendahului kumpulan itu dengan enam mata juga tetapi mempunyai perbezaan gol yang lebih baik.
Mengulas tentang Calhanoglu, Montella berkata:
“Beliau adalah seorang pemain yang sangat lengkap. Beliau boleh bermain di mana-mana sahaja di bahagian tengah padang.
“Beliau berjaya menjaringkan gol yang luar biasa. Jika anda melihat cara beliau merembat bola, terdapat beberapa pemain sahaja di dunia ini yang boleh merembat bola sepertinya.
“Untuk mempunyai keupayaan bagi memastikan bola menemui sasaran ke sudut atas gawang… beliau adalah seorang pemain dan individu yang luar biasa.”
Dalam perlawanan sengit itu, pengadil mengeluarkan dua kad merah dan 16 kad kuning. Antara yang dilayangkan kad kuning ialah Calhanoglu kerana beliau membuat rayuan terhadap gol Soucek kepada pengadil.
“Layangan kad sebanyak 18 kali menunjukkan betapa sengitnya perlawanan itu. Calhanoglu hanya meminta penjelasan daripada pengadil.
“Beliau kapten pasukan. Itulah peranannya. Beliau dibenarkan berbuat demikian. Saya pasti beliau tidak mengatakan apa-apa yang menyinggung perasaan pengadil.
“Ia (layangan kad kuning kepada Calhanoglu) agak terlalu tegas, dan kami akan menanggung akibatnya (pada perlawanan seterusnya),” kata Montella.
Calhanoglu dijangka terlepas perlawanan pusingan 16 terakhir menentang Austria pada 3 Julai.
Beliau menyifatkan Austria seperti pasukan kelab – mereka fizikal, lancar dan tersusun dengan baik.
Namun, Montella berkata beliau lebih suka memberi tumpuan kepada apa yang dicapai oleh pemain mudanya di bawah tekanan yang disifatkan sebagai besar dan tidak adil.
“Kelayakan ini (mara ke pusingan 16 terakhir) akan membolehkan kami mengendur, rasa kurang tekanan dan kurang beremosi.
“Malam ini, kami hanya mahu meraikan dan menikmati kemenangan ini kerana kami berhak melakukannya... mulai esok, kami mahu terus mencipta sejarah. Itu sudah pasti,” ujarnya. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg