Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ukraine kutip 4 mata tetapi disingkir berikutan beza gol

Jun 27, 2024 | 12:33 PM
Perasaan kecewa jelas terlihat di wajah pemain Ukraine selepas perlawanan terakhir Kumpulan E menentang Belgium di saingan Euro 2024.
Perasaan kecewa jelas terlihat di wajah pemain Ukraine selepas perlawanan terakhir Kumpulan E menentang Belgium di saingan Euro 2024. - Foto REUTERS

 STUTTGART (Jerman): Pasukan bola sepak kebangsaan Ukraine dan penyokongnya, yang mengharapkan sinar di Euro 2024 selepas lebih dua tahun berperang dengan Russia, meratapi penyingkiran mereka dari saingan Euro pada 27 Jun.

Walaupun disingkir, mereka tetap berbangga dengan usaha yang ditunjukkan.

Ukraine seri 0-0 menentang Belgium dan menamatkan pusingan pertama dengan empat mata – tidak cukup untuk melayakkan diri ke pusingan kedua – dalam kumpulan di mana kesemua pasukan memungut jumlah mata yang sama iaitu empat mata dan hanya dibezakan dengan perbezaan gol.

“Berada dalam kejohanan itu sangat penting untuk negara kami. Kami menunjukkan karakter negara kami, selepas hampir 900 hari dalam peperangan,” kata pengurus Ukraine, Serhiy Rebrov kepada pemberita.

“Sangat penting untuk menunjukkan kepada orang ramai di Eropah dan di Ukraine, bahawa kami masih berjuang.”

Beliau menyalahkan kekalahan pada perlawanan pembukaan menentang Romania apabila Ukraine dibolosi tiga gol, sekaligus memberi kesan kepada jumlah perbezaan gol.

“Ia bukan sahaja tiga mata, tetapi selepas 1-0, 2-0, kami tidak bangkit... Tetapi dalam hidup, anda akan lakukan kesilapan,” katanya.

“Saya nampak (reaksi) pemain. Malangnya, mereka sudah tidak menunjukkan emosi. Kami punyai pasukan kebangsaan yang sangat muda. Saya dapat melihat mereka optimis tentang masa depan.”

Pasukan kebangsaan Ukraine telah menjadi titik penyatuan bagi rakyat Ukraine sepanjang zaman pasca-Soviet dan kelayakan Euro adalah sumber kebanggaan ketika tentera negara itu dibelenggu peperangan dengan Russia.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, yang memuji kemenangan 2-1 pasukan negara ke atas Slovakia, merenung keputusan terkini itu.

“Negara yang kuat ialah negara yang kekalkan perpaduan dan di mana orang ramai sentiasa membantu antara satu sama lain. Baik semasa kekalahan mahupun ketika meraih kemenangan,” tulis Zelenskyy di Telegram.

“Walaupun dengan keputusan yang mengecewakan, anda berjuang untuk negara. Kemenangan masih dinantikan. Kemenangan untuk Ukraine. Buat masa ini, marilah kita berdiri teguh, bangkit dan maju ke hadapan untuk menjadi lebih kuat pada masa hadapan.”

Tayangan perlawanan tersebut disiarkan di seluruh negara dan dihadiri oleh kebanyakan peminat bola sepak untuk memberikan sokongan. Mereka berasa kecewa, namun berazam untuk kekal bersama pasukan kebangsaan demi kejayaan masa depan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg