Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jurulatih: Vietnam tak akan ‘duduk diam’ pertahan kelebihan 2 gol

Dec 28, 2024 | 4:52 PM
Pemain pertahanan Vietnam, Do Duy Manh (kiri), bersama jurulatih pasukannya, Kim Sang Sik, di sidang media di Hotel Saigon Phu Toh di Hanoi pada 28 Disember. Mereka berkata tidak akan mengambil remeh perlawanan separuh akhir kedua dengan Singapura walau berbekal dua gol.
Pemain pertahanan Vietnam, Do Duy Manh (kiri), bersama jurulatih pasukannya, Kim Sang Sik, di sidang media di Hotel Saigon Phu Toh di Hanoi pada 28 Disember. Mereka berkata tidak akan mengambil remeh perlawanan separuh akhir kedua dengan Singapura walau berbekal dua gol. - Foto BM oleh KHALID BABA

Vietnam kini berada dalam kedudukan baik untuk melayakkan diri ke final Piala AFF Mitsubishi Electric selepas menewaskan Singapura 2-0 dalam perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Jalan Besar.

Namun, ketua jurulatih pasukan, Kim Sang Sik, berkata beliau dan anak didiknya sedar bahawa tempat mereka di final masih belum terjamin dan akur tidak boleh memandang rendah pasukan lawan menjelang perlawanan separuh akhir kedua di stadium sendiri pada 29 Disember.

“Benar, kami tewaskan Singapura 2-0, dan kini lebih dekat dengan final... tapi kami akan lakukan yang terbaik untuk kekal rendah hati. Perlawanan akan datang dengan Singapura ini bukan perlawanan mudah,” kata Kim di sidang media rasmi di Hotel Saigon Phu Toh, di Hanoi, pada 28 Disember.

Malah, Kim berkata kelebihan dua gol yang dimiliki pasukannya merupakan kelebihan yang ‘berbahaya’ kerana ia boleh menjadikan pemainnya terlalu yakin dan selesa, membuka laluan bagi pasukan Singa membuat kejutan.

Untuk menangani perkara ini, beliau berazam bukan sahaja untuk mempertahankan kelebihannya, sebaliknya menyusun strategi untuk mengasak benteng Singapura dan meraih kemenangan.  

“Saya percaya apabila kami bermain secara defensif, ia lebih berbahaya. Bermain di tempat sendiri di hadapan penyokong sendiri, kami akan melakukan yang terbaik untuk bermain lebih agresif,” kata Kim.

Perkara ini juga ditekankan oleh pemain pertahanan Vietnam, Do Duy Manh, yang turut hadir di sidang media itu.

“Mungkin ada orang fikir perlawanan ini adalah mudah tetapi bagi saya dan rakan sepasukan, kami semua faham bahawa tiada perlawanan yang mudah, terutamanya pada peringkat separuh akhir,” kata beliau.

Kededua Sang Sik dan Duy Manh kelihatan tenang dan mudah tersenyum semasa menjawab soalan wartawan.

Kim juga sempat berkongsi kekecewaannya kerana pasukannya gagal menjaringkan gol dalam separuh permainan pertama pertemuan awal di Stadium Jalan Besar.

“Tetapi pada separuh masa kedua, kami telah beraksi dengan lebih agresif dan akhirnya berjaya menjaringkan dua gol.”

Beliau turut mengatakan akan membuat beberapa perubahan dan menyesuaikan beberapa aspek permainan pasukannya untuk perlawanan kedua, dengan penekanan lebih kepada penguasaan bola dan memberikan tekanan yang lebih hebat terhadap pertahanan Singapura.

“Sekarang saya mempunyai pemahaman yang lebih baik tentang taktik dan pemain mereka (Singapura), dan saya berharap pemain kami dapat ‘mengegar’ pertahanan Singapura nanti,” katanya.

Melebih taktik, seorang pemain yang menarik perhatian media setempat dan dari luar negara ialah Rafaelson atau nama rasminya di Vietnam, Nguyen Xuan Son, yang telah menjaringkan gol dalam dua perlawanan AFF yang disertainya setakat ini.

Pemain asal Brazil itu telah diterima menjadi warga Vietnam dan layak mewakili pasukan bola sepak negara itu selepas beraksi beberapa musim dalam liga domestik.

Beliau menjaringkan dua gol semasa Vietnam menewaskan Myanmar 5-0 di peringkat kumpulan dan turut menjaringkan gol semasa Vietnam menewaskan Singapura dalam perlawanan separuh akhir pertama.

Namun, di sidang media, Kim menekankan bahawa salah satu kunci kejayaan utama pasukannya sepanjang kejohanan ini adalah perpaduan mereka sebagai sebuah pasukan. 

Beliau juga menekankan betapa pentingnya setiap pemain beraksi sebagai satu unit, bukan sebagai individu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg