Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Singa enggan mengaku kalah, tekad buru gol untuk langkah ke final

Ketinggalan dua gol, tapi Ogura dan anak didiknya berharap dapat catat kejutan di Hanoi
Dec 28, 2024 | 8:17 PM
Skuad bola sepak nasional menjalani sesi latihan di Stadium Viet Tri di Hanoi pada 28 Disember. Ketinggalan dua gol selepas perlawanan separuh akhir pertama, anak didik Tsutomu Ogura tiada pilihan lain dan perlu mengasak benteng Vietnam dalam pertemuan kedua nanti jika berharap untuk mara ke final.
Skuad bola sepak nasional menjalani sesi latihan di Stadium Viet Tri di Hanoi pada 28 Disember. Ketinggalan dua gol selepas perlawanan separuh akhir pertama, anak didik Tsutomu Ogura tiada pilihan lain dan perlu mengasak benteng Vietnam dalam pertemuan kedua nanti jika berharap untuk mara ke final. - Foto BM oleh KHALID BABA

Ketinggalan dua gol selepas tewas di ‘kandang’ sendiri, pasukan bola sepak Singapura berazam mencatat kejutan semasa bertemu Vietnam dalam separuh akhir kedua di Hanoi dan menjaringkan gol yang dikehendaki untuk mara ke final Piala AFF Mitsubishi Electric 2024.

Dua gol yang dijaringkan Vietnam dalam masa kecederaan di Stadium Jalan Besar bermakna anak didik Tsutomu Ogura kini berhadapan tugas getir untuk bangkit dan menewaskan pasukan yang berada 46 tangga di atasnya dalam ranking dunia dengan jaringan lebih dua gol.

Namun, Ogura dijangka menurunkan pasukan dengan strategi ‘menyerang’ dalam perlawanan di Stadium Viet Tri di Hanoi pada 29 Disember; dengan tonggak serangan, Faris Ramli, berkata beliau dan rakan-rakannya lain kini memiliki mentaliti untuk mengejar kemenangan.

Bercakap kepada Berita Minggu (BM) di tempat penginapan rombongan Singa di Hotel Muong Thanh Luxury di Phu Tho, Hanoi, penyerang berusia 32 tahun itu, yang telah menjaringkan 15 gol dalam 86 perlawanan untuk Singa, berkata:

“Bagi saya, apa pun yang saya lakukan, ia untuk menghasilkan gol. Itu adalah pemikiran saya sekarang.

“Tiada yang lebih baik daripada menghadapi saingan separuh akhir seperti ini. Kami juga tiada apa-apa untuk dirisaukan.”

Penyerang Singapura, Faris Ramli, berkata beliau dan pemain lain memburu kemenangan semasa menentang Vietnam.
Penyerang Singapura, Faris Ramli, berkata beliau dan pemain lain memburu kemenangan semasa menentang Vietnam. - Foto BM oleh KHALID BABA

Faris turut menambah bahawa pemikiran pemain kini adalah untuk mencapai satu matlamat, iaitu mencapai kemenangan.

Menurutnya, sejurus selepas perlawanan pertama, mentaliti pemain telah dipupuk oleh pemain-pemain veteran seperti kapten Singa, Hariss Harun, untuk berjuang dan memiliki pemikiran yang sewajarnya di Vietnam.

“Hariss bercakap kepada kami seperti seorang pemimpin yang hebat, untuk memiliki pemikiran yang betul untuk datang ke sini (Vietnam)... bukan untuk bercuti namun mencapai sebuah matlamat.

“Walaupun kami kepenatan selepas perlawanan, tetapi apabila beliau berkata demikian kepada semua pemain, saya dapat lihat di dalam bilik (persalinan), semua orang tidak sabar untuk perlawanan (kedua),” ujar Faris.

Jurulatih Singa, Tsutomu Ogura, turut percaya pasukannya mempunyai masa yang mencukupi untuk cuba bangkit dan mendapatkan gol-gol yang diperlukan.  

Menjadikan Vietnam sebagai contoh yang mampu menjaringkan gol pada masa kecederaan semasa separuh akhir pertama di Singapura, jurulatih asal Jepun berusia 58 tahun itu berkata:

“(Pada perlawanan pertama) Vietnam menjaringkan dua gol dalam masa tambahan.

“Tidak kira bila kita menjaringkan gol, tetapi ia adalah perlawanan selama 90 minit dengan waktu tambahan. Mungkin kami boleh menjaringkan tiga gol dan melayakkan diri?”

Dalam memburu gol, Singa bagaimanapun perlu juga mengawasi kubu pertahanan sendiri agar tidak dibolosi lagi oleh pemain lawan terutamanya bintang Vietnam, Rafaelson atau lebih dikenali sebagai Nguyen Xuan Son.

Ogura berkata pasukannya akan berusaha menyerang dan bertahan sebagai sebuah unit semasa menjawab soalan wartawan di sidang media yang diadakan di Hotel Sai Gon Phu Tho pada 28 Disember.

“Kita akan menyerang dan bertahan sebagai sebuah unit,” ujarnya.

Di sidang media tersebut, Ogura turut ditemani pemain midfield, Kyoga Nakamura.

Nakamura, yang tidak beraksi dalam separuh akhir pertama akibat digantung selepas menerima dua kad kuning, berkongsi bahawa kekalahan melalui dua gol detik-detik akhir pertemuan pertama itu telah membakar semangat pasukan untuk cuba mengubah nasib mereka dalam perlawanan kedua itu nanti.

Ia turut memberinya gambaran mengenai kekuatan serta kelemahan pasukan lawan sambil berkata:

“Saya melihat perlawanan dari luar dan saya sedar bahawa Vietnam, seperti juga pasukan-pasukan lain, mempunyai kekuatan dan juga kelemahan.

“Saya berharap dapat memainkan peranan saya dan menyumbang kepada pasukan di padang nanti.”

Kyoga Nakamura, yang digantung daripada beraksi dalam separuh akhir pertama, dijangka diturunkan untuk memperkukuh pasukan dalam pertarungan separuh akhir kedua pada 29 Disember.
Kyoga Nakamura, yang digantung daripada beraksi dalam separuh akhir pertama, dijangka diturunkan untuk memperkukuh pasukan dalam pertarungan separuh akhir kedua pada 29 Disember. - Foto BM oleh KHALID BABA

Namun, tugas Singa untuk melangkah ke perlawanan akhir tidak mudah.

Mereka perlu menjaringkan sekurang-kurangnya tiga gol untuk menang dan mengelak gawang dibolosi. Jika Vietnam menjaringkan satu gol, Singa perlu menjaringkan empat gol untuk menang.

Di samping itu, Singa juga perlu ‘menangkis’ sorakan sekitar 20,000 penyokong pasukan tuan rumah yang dijangka membanjiri Stadium Viet Tri.

Stadium yang terletak di pedalaman wilayah Phu Tho – 80 hingga 90 kilometer dari Hanoi – itu juga mampu memberi kesan kepada kecergasan pemain disebabkan kawasan yang lebih jauh dari bandar serta kemudahan yang terhad.

Namun, pemain pertahanan muda, Ryhan Stewart, berkata mereka akan beraksi mengikut arahan jurulatih dan bermain seperti biasa.

“Suasana di stadium pasti kecoh... penyokong akan menentang kami. Tetapi selain itu, saya rasa kami semua hanya perlu bermain seperti biasa... itu saja,” kata pemain muda berusia 24 tahun itu.

Pemain pertahanan, Ryhan Stewart, menjangkakan suasana kecoh di Stadium Viet Tri lantas cuba tidak mengendahkan penyokong tuan rumah dan menunjukkan tahap permainan terbaik mereka.
Pemain pertahanan, Ryhan Stewart, menjangkakan suasana kecoh di Stadium Viet Tri lantas cuba tidak mengendahkan penyokong tuan rumah dan menunjukkan tahap permainan terbaik mereka. - Foto BM oleh KHALID BABA
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg