Pada waktu siang, mereka memikul tanggungjawab menjaga dan merawat pesakit hingga kembali pulih.

Namun menjelang malam 12 November ini, jururawat, Amirul Aiman dan Haziq Aman, bakal memburu tumbukan knockout antara satu sama lain di dalam gelanggang.

Kedua-dua mereka akan beraksi dalam saingan #BRC001 anjuran Boardroom Combat, sebuah acara tinju amal kolar putih di *SCAPE Ground Theatre yang menyaksikan seramai 26 karyawan bekerjaya dibahagikan kepada pasukan merah dan biru bagi 13 pertarungan merentasi tiga divisyen berat badan.

Sebagai persiapan menjelang aksi berkenaan, mereka mengharungi kem latihan selama 120 hari untuk meningkatkan tahap kecergasan fizikal sebelum mempelajari asas tinju serta memulakan sesi perlawanan tinju (sparring).

Kedua-dua jururawat itu mempunyai ketinggian 1.71 meter dan bersaing dalam kategori 86 kilogram.

Penyertaan ini bukan sahaja membuka ruang buat mereka mempraktikkan kemahiran dalam sukan itu, malah menjadi wadah untuk berbakti kepada masyarakat menerusi kutipan dana bagi Khidmat Jagaan Masyarakat Lutheran (LCCS).

Di sudut biru, Amirul – yang bertugas di wad gastroenterologi dan hepatologi Hospital Besar Sengkang (SKH) – mempunyai latar belakang dalam sukan tempur.

Bapanya merupakan seorang peminat sukan tinju yang pernah berlatih di Gimnasium Tinju Farrer Park lama dan mempunyai karung tinju di rumah, yang sering dimain oleh Amirul ketika kecil.

Jururawat berusia 29 tahun itu mula menceburi sukan Muay Thai sebelum beralih ke sukan tinju selepas mengalami kecederaan sewaktu pertarungan pada 2020.

Amirul, yang menggunakan gelaran Bad Boy, berkata:

“Di tempat kerja, saya seorang jururawat dan membawa diri sewajarnya. Saya perlu sentiasa tenang dan mengawal emosi ketika berdepan situasi mencabar bersama pesakit serta keluarga mereka.

“Namun, perwatakan saya berubah apabila melangkah ke gelanggang tinju. Saya perlu menonjolkan naluri pemusnah, tetapi pada masa sama kekal tenang untuk melaksanakan strategi perlawanan,” katanya.

Bapa dua anak perempuan itu perlu mempelajari semula asas pergerakan memandangkan beliau berhenti bertinju pada 2023, susulan kelahiran anak sulungnya.

Sejak Februari lalu, Amirul, yang menjadikan keluarganya sebagai pembakar semangat, terus “berlatih seperti orang gila” selama enam hari seminggu. 

“Perjalanannya berliku dan saya hampir berputus asa beberapa kali. Namun, saya sedar bahawa tahap kecergasan ini amat diperlukan untuk menjaga anak-anak saya.”

Di sudut merah pula, Haziq berjuang demi memperingati anak saudaranya yang meninggal dunia sewaktu dilahirkan pada 2021.

Jururawat berusia 25 tahun yang bertugas di unit anestesia Hospital Besar Singapura (SGH) itu berkata:

“Ia perit kerana meskipun tugas saya melibatkan usaha membantu menyelamatkan orang lain, saya rasa seperti tidak mampu menyelamatkan keluarga sendiri.

“Saya rasa seperti berhutang budi dengannya dan itulah pendorong saya meneruskan kerjaya jururawat. Kini, setiap insan yang saya bantu dan setiap pertarungan yang saya tempuhi, semuanya didedikasikan khas kepadanya.”

Berbeza dengan lawannya, Haziq baru berjinak-jinak dalam arena tinju pada 2025.

Turut tertarik dengan kemahiran teknikal serta strategi yang dituntut sukan berkenaan, petinju dengan gelaran Sleep Specialist itu berkata:

“Kejururawatan ialah kerjaya yang menuntut kelembutan, jadi tinju membantu memberi keseimbangan bagi saya menzahirkan sisi maskulin saya.”

Meskipun kedua-dua jururawat itu berlatih di bawah bumbung sama di Brothers Boxing Academy, mereka tidak mengenali antara satu sama lain sehinggalah menyertai #BRC001.

Mereka kini berkawan rapat dan sering menikmati hidangan bersama sebelum atau selepas sesi latihan.

Acara amal anjuran bersama Persatuan Seni Bela Diri Campuran Singapura (MMAAS) ini mendapat kelulusan Persekutuan Tinju Singapura (SBF).

Tiket berharga $68 bagi acara amal selama enam jam itu boleh didapati di https://www.boardroomcombat.com/brc001, dengan hasil tajaan serta sumbangan disalurkan sepenuhnya kepada LCCS.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti