SHANGHAI: Altet seni bela diri campuran (MMA) kategori ‘bantamweight’ dari China, Song Yadong, mendapat sorakan penyokong tuan rumah selepas melakarkan kejutan besar mengalahkan atlet Russia, Umar Nurmagomedov, dalam acara utama UFC Fight Night di Shanghai, pada 29 Ogos.

Dianggap sebagai atlet bukan pilihan dalam pertarungan menentang bekas pencabar kejuaraan dari Russia, Song (24-9-1, 1 tiada pertandingan) dengan tangkas menumbangkan Nurmagomedov (20-2) menerusi tumbuk angkat kanan yang menghentikan pertarungan pada minit 1.48 Pusingan Kedua.

“Saya percaya pada diri sendiri, dan pasukan saya juga yakin saya akan memenangi pertarungan ini,” kata Song. 

“Malah mereka memberitahu bahawa saya akan mematikan langkah pihak lawan, dan saya telah melakukannya,” tambah beliau.

Ini merupakan kemenangan knockout (KO) pertama Song sejak 2023 dan juga aksi pertamanya di Shanghai sejak membuat penampilan sulung dalam UFC pada 2017 ketika berusia 19 tahun.

“Sembilan tahun lalu, saya mahu membuktikan bahawa saya layak beraksi di gelanggang Oktagon ini.

Sembilan tahun kemudian, saya mahu membuktikan bahawa saya adalah yang terbaik di dunia. Saya adalah atlet (MMA) dari China yang terbaik di dunia,” katanya.

Satu-satunya kekalahan Nurmagomedov sebelum ini adalah menerusi keputusan sebulat suara dalam perlawanan perebutan gelaran di UFC 311 menentang Merab Dvalishvili dari Georgia, pada 18 Januari 2025 di Inglewood, California.

Ketika Song sedang meraikan kemenangannya di dalam gelanggang, beliau hampir bertembung dengan juara kategori ‘lightweight’, Usman Nurmagomedov, yang berada di situ untuk memeriksa keadaan abangnya, Umar.

Usman Nurmagomedov dilihat cuba menyiku Song, namun ia tidak mengena.

Menyusuli kemenangan tersebut, Song membawa pulang bonus persembahan terbaik ‘Performance of the Night’ bernilai AS$100,000 ($127,300).

Dalam saingan kategori ‘strawweight’ wanita, atlet Brazil, Denise Gomes, menumbangkan atlet tuan rumah, Yan Xiaonan, menerusi sikuan dan tumbukan pada minit 4.49 Pusingan Pertama.

Perlawanan lain yang turut berakhir dengan kemenangan knockout termasuk kejayaan petarung ‘light heavyweight’, Liu Ce, menewaskan altet Brazil, Levi Rodrigues Jr., pada pusingan pertama, serta kemenangan atlet ‘flyweight’, Bilal Hasan, ke atas Nilson Rojas, pada pusingan kedua.

UFC seterusnya bakal bertandang ke Paris pada 5 September bagi acara Fight Night, dengan pertarungan utama antara atlet ‘lightweight’ New Zealand, Dan Hooker dengan atlet Perancis, Salahdine Parnasse. – Reuters.