Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jutawan Forrest Li sah tandingi jawatan presiden FAS

Mar 17, 2025 | 4:22 PM
Pemilihan untuk memilih pemimpin-pemimpin FAS akan diadakan pada 28 April 2025. Seramai 15 anggota akan dilantik untuk membentuk Majlis FAS.
Pemilihan untuk memilih pemimpin-pemimpin FAS akan diadakan pada 28 April 2025. Seramai 15 anggota akan dilantik untuk membentuk Majlis FAS. - Foto fail

Jutawan teknologi Forrest Li secara rasmi berkata beliau akan menyertai pemilihan merebut jawatan tertinggi bola sepak Singapura.

Jurucakap Li memberitahu The Straits Times (ST) pada 17 Mac bahawa pengerusi kelab Liga Perdana Singapura, Lion City Sailors, itu akan bertanding bagi jawatan presiden pada pemilihan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) pada 28 April.

“Forrest Li telah mengesahkan beliau akan bertanding jawatan presiden FAS, dan beliau tidak sabar untuk berkongsi lebih banyak tentang pasukan beliau dalam dua minggu akan datang,” kata jurucakap itu.

Pemilihan itu akan diadakan pada kongres luar jadual FAS dan akan menentukan ahli majlisnya untuk tempoh empat tahun dari 2025 hingga 2029.

Menurut satu kenyataan FAS pada 17 Mac, pemilihan itu akan dijalankan secara berkumpulan dan individu.

Pemilihan berkumpulan merujuk kepada cara pemilihan di mana sekumpulan calon disarankan secara bersama untuk dipilih secara serentak bagi jawatan-jawatan tertentu.

Di bawah cara ini, sebuah pasukan terdiri daripada sembilan calon – presiden, timbalan presiden, empat naib presiden, dan tiga ahli Majlis – akan dipilih secara bersama.

Pemilihan secara individu bermaksud calon jawatan lain – baki enam ahli Majlis – dipilih secara berasingan dan individu.

Majlis FAS mesti mempunyai sekurang-kurangnya seorang anggota wanita.

Mengikut Perlembagaan FAS, calon jawatan presiden mesti mempunyai pengalaman aktif sebagai anggota atau pegawai pertubuhan, persekutuan atau badan bola sepak antarabangsa seperti Fifa sekurang-kurangnya dua tahun dalam lima tahun terakhir sebelum dicadangkan untuk jawatan tersebut.

Presiden semasa FAS, Bernard Tan, dipilih untuk meneruskan baki penggal 2022-2025 semasa kongres tahunan badan bola sepak itu pada September 2023.

Setelah berkhidmat sebagai naib presiden (2013) dan timbalan presiden (2017), Tan dilantik sebagai pemangku presiden selepas kematian presiden Lim Kia Tong pada September 2022.

Tan belum mengesahkan sama ada beliau akan bertanding untuk pemilihan semula.

Bekas pengurus besar Woodlands Wellington R. Vengadasalam, yang juga dikenali sebagai Venga, antara nama yang mungkin diketengahkan dalam pemilihan kali ini.

Ketika dihubungi ST pada 17 Mac, Venga, 64 tahun, berkata: “Saya masih melihat kemungkinan membentuk sebuah pasukan. Saya mempunyai tiga hingga empat ahli dalam pasukan saya dan kami akan berusaha mencapai tarikh akhir penamaan calon pada 31 Mac.”

Pencalonan dibuka pada 17 Mac dan ditutup pada 31 Mac. Senarai calon layak bertanding akan diumum pada 18 April.

Jawatankuasa Pemilihan FAS, terdiri daripada tiga anggota, bertanggungjawab mengatur, menjalankan, dan mengawasi pemilihan itu.

Mereka juga akan melakukan semakan kelayakan dan integriti terhadap para calon. Anggota jawatankuasa itu dipilih pada 25 September 2021.

Untuk maklumat lanjut, boleh rujuk kepada Notis Kongres Luar Jadual, Perlembagaan dan Kanun Pilihan Raya FAS.

Sebarang pertanyaan berkaitan pemilihan harus diajukan kepada Setiausaha Agung FAS, yang beroperasi setiap hari, termasuk hujung minggu, dari 9.30 pagi hingga 6.00 petang untuk urusan pemilihan dan penghantaran borang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg