Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kad merah Gordon jejas peluang Newcastle dalam final Piala Liga

Mar 3, 2025 | 3:11 PM
Kerana aksi ganas, Anthony Gordon (kiri) dilayang kad merah dan boleh terlepas perlawanan final Piala Liga menentang Liverpool
Kerana aksi ganas, Anthony Gordon (kiri) dilayang kad merah dan boleh terlepas perlawanan final Piala Liga menentang Liverpool - Foto REUTERS

NEWCASTLE (England): Pemain sayap Newcastle United, Anthony Gordon, kelihatan akan terlepas perlawanan akhir Piala Liga menentang Liverpool selepas dilayangkan kad merah kerana aksi ganas menentang Brighton and Hove Albion pada 2 Mac.

Pasukan tuan rumah itu kalah 2-1 dalam masa tambahan dalam pusingan kelima Piala FA.

Gordon dilayangkan kad merah kerana menolak pemain pertahanan Brighton, Jan Paul van Hecke.

Kad merah itu membawa kepada penggantungan tiga perlawanan, yang akan menyebabkan pemain England itu terlepas bermain di Wembley pada 16 Mac.

Pengurus Eddie Howe berkata Newcastle mungkin membuat rayuan atas keputusan kad merah itu.

“Banyak yang perlu diteliti tetapi sangat mengecewakan Gordon tidak dapat bermain. Layangan kad merah itu kelihatan keras, tetapi kami perlu menelitinya.

“Saya belum melihat tayangan semula, jadi saya terus dengan pandangan awal – ia kelihatan keras.

“Sekiranya kami teliti kejadian itu dan ada sebab untuk membuat rayuan, kami akan lakukan. Mengenali pemain itu, saya tahu tiada niat jahat.

“Anthony tidak bermaksud membahayakan. Saya hanya melihatnya sebentar (sejak permainan berakhir) dan beliau sangat kecewa.”

Kehilangan Gordon menjadi tamparan hebat buat Newcastle sedang mereka berusaha memenangi trofi utama pertama mereka sejak 1955.

Pemain berusia 24 tahun itu telah menjaringkan sembilan gol dalam semua pertandingan musim ini dengan enam ‘assist’ (merintis gol pasukan).

Penjaring terbanyak mereka, Alexander Isak, dan pemain pertahanan kanan, Kieran Trippier, kedua-duanya gagal meneruskan perlawanan berikutan mengalami kecederaan. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg