Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kadir Yahaya jurulatih sementara pasukan utama kelab Thai BG Pathum

Bekas pemain pertahanan Singapura hayati cabaran, peluang buktikan diri dalam bola sepak Thailand
Oct 17, 2024 | 3:38 PM
Kadir Yahaya (tengah) diberi tanggungjawab sebagai jurulatih sementara pasukan utama BG Pathum United bersama pengarah bola sepak Surachai Jaturapattarapong (kiri). Di kanan ialah Philip Tan, pengarah operasi antarabangsa kelab itu.
Kadir Yahaya (tengah) diberi tanggungjawab sebagai jurulatih sementara pasukan utama BG Pathum United bersama pengarah bola sepak Surachai Jaturapattarapong (kiri). Di kanan ialah Philip Tan, pengarah operasi antarabangsa kelab itu. - Foto BG PATHUM

Bekas pemain pertahanan Singapura, Kadir Yahaya, dilantik sebagai jurulatih sementara pasukan utama kelab Thailand, BG Pathum United (BGPU), selepas jurulatih warga Jepun, Makoto Teguramori, dilepaskan.

Kadir, 56 tahun, akan berkongsi tanggungjawab itu bersama pengarah bola sepak BGPU, Surachai Jaturapattarapong.

Bekas penjaga gawang Singapura, Yakob Hashim, berkata dalam satu pos Facebooknya “ini merupakan detik yang membanggakan bagi jurulatih Singapura untuk diiktiraf di luar negara”.

Pelantikan itu bermakna Kadir akan bekerjasama dengan pasangan pemain bola sepak Singapura, Ilhan Fandi dan Ikhsan Fandi.

Apabila ditanya Berita Harian tentang perasaannya mengenai jawatan baru itu, Kadir berkata beliau tidak akan berasa terlalu gembira hinggalah beliau mendapatkan keputusan memuaskan bagi BGPU.

“Ini secara sementara dan ia berdasarkan keputusan (perlawanan). Saya tidak akan begitu ghairah hinggalah saya berjaya mendapatkan keputusan yang diinginkan,” ujarnya.

“Sementara kelab ini mencari calon lain untuk dijadikan ketua jurulatih, saya dan Surachai akan mengurus pasukan ini. Apabila jurulatih baru dilantik, ia akan memakan masa untuk menyesuaikan diri mereka kepada gaya permainan BGPU,” tambahnya.

Kadir juga berkata beliau menghayati cabaran dan peluang membuktikan dirinya, terutama dalam bola sepak Thailand yang kadar pemecatan jurulatih sangat tinggi dan mendapatkan keputusan baik adalah perkara paling penting.

BGPU kini menduduki tangga kelima dalam Liga Perdana Thailand dengan 14 mata, lima mata kurang daripada pasukan di tempat pertama, Buriram United.

Sebelum ini, Kadir menjadi ketua bola sepak belia di BGPU sejak 2022, dengan tanggungjawab memastikan pemain belia berbakat dapat dipupuk untuk bermain bagi pasukan senior pada masa hadapan.

Beliau masih dihormati bagi peranannya dalam membimbing pasukan Singapura yang memenangi pingat gangsa pada Sukan OIimpik Belia 2010 – pencapaian yang memberangsangkan semangat warga Singapura pada masa itu.

Kadir pernah menjadi jurulatih Institusi St Joseph (SJI) selama 10 tahun, melatih pasukan Divisyen A, B dan C mereka.

Sewaktu bersama SJI, beliau membantu sekolah itu merangkul beberapa kejohanan zon dan menghasilkan pemain seperti Jacob Mahler, yang menjadi antara pemain utama pasukan kebangsaan Singapura.

SJI menggugurkan bola sepak daripada kegiatannya pada 2000, tetapi apabila ia mengadakan sukan itu semula pada 2012 Kadir dilantik sebagai jurulatih mereka.

Selepas bekerja keras bertahun-tahun, SJI memenangi kejuaraan Zon Selatan Kebangsaan Sekolah pada 2015.

Kadir juga membimbing SJI mendapatkan trofi Bahagian Zon C Selatan pada 2017, 2018 dan 2022.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg