Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Switzerland pasukan pilihan mara bersama Jerman; Scotland perlu fokus

Scotland perlu menang besar dan harapkan Jerman, yang sudah layak ke pusingan kalah mati, tewaskan Switzerland
Jun 23, 2024 | 5:30 AM
Jurulatih Scotland, Steve Clarke, berkata pasukannya tidak akan memikirkan tentang perlawanan Jerman dan Switzerland, sebaliknya akan fokus menyempurnakan tugas menentang Hungary.
Jurulatih Scotland, Steve Clarke, berkata pasukannya tidak akan memikirkan tentang perlawanan Jerman dan Switzerland, sebaliknya akan fokus menyempurnakan tugas menentang Hungary. - Foto AFP

Sedang pasukan Jerman telah pun menjamin tempat ke pusingan kalah mati kejohanan Euro 2024, nasib pasukan Switzerland dan Scotland masih menjadi tanda tanya.

Anak buah Julian Nagelsmann itu kini menduduki tempat pertama dalam kumpulan A dengan rekod sempurna – enam mata daripada dua perlawanan.

Namun, sekiranya Switzerland mengharapkan laluan mudah dalam perlawanan mereka menentang Jerman awal pagi 24 Jun (3 pagi waktu Singapura), jangkaan mereka itu meleset.

“Kami mempunyai momentum yang baik dan kami harus meneruskannya,” kata Nagelsmann.

“Setiap pemain tahu mereka mempunyai tugas untuk dilakukan. Tiga mata akan juga memastikan kami mengakhiri pusingan kumpulan sebagai pasukan teratas dan ini adalah penting.

“Iya kami mungkin melakukan beberapa perubahan kecil, tapi saya tidak menjangka ia menjejas rentak pasukan,” ujar beliau.

Switzerland pasti sekurang-kurangnya mengharapkan Nagelsmann merehatkan pemain bintang muda Jerman, Jamal Musiala, 21 tahun.

Pemain yang juga layak mewakili England itu, tetapi memilih menyarung jersi Jerman, sedang dalam ‘form’ hebat setelah menjaringkan dua gol dalam dua perlawanan, selain menjadi pemain yang menyerlah meskipun pada usia yang masih muda.

“Beliau adalah bintang dan saya tidak hairan sekiranya Bayern Munich (kelab yang diwakili Musiala) mungkin mempunyai cabaran mengekalkan khidmatnya selepas kejohanan ini,” kata pengulas bola sepak dan bekas penyerang England, Ian Wright.

“Jamal ialah pemain yang diperlukan dalam kejohanan seperti ini, dengan ruang untuk bergerak dan merintis peluang jaringan begitu sukar diperolehi. Beliau mempunyai visi dan bakat mengatasi cabaran itu,” jelasnya.

Pengurus Switzerland, Murat Yakin, berkata anak buahnya menghormati Jerman sebagai antara pasukan hebat dunia, namun semasa melangkah ke padang di Stadium Deutsche Bank nanti, mereka tidak akan berasa gentar.

“Kami tahu kebolehan pasukan kami. Kami tidak menjangkakan bantuan daripada Jerman atau siapa-siapa. Nasib kami di tangan kami sendiri. Seri akan memastikan kelayakan kami, tapi kami akan bermain untuk menang kerana kami tidak tahu apa yang boleh berlaku dalam perlawanan Scotland dan Hungary,” ujarnya.

Meskipun berdepan tugas mencabar – Scotland perlu menang dengan jaringan gol yang besar dan mengharapkan Jerman mengalahkan Switzerland – kem Scotland tetap berasa yakin.

Scotland membuktikan mereka boleh “bangkit daripada kehampaan” dalam perlawanan seri dengan Switzerland pada 19 Jun lalu, kata pemain pertahanannya Jack Hendry.

Skuad kendalian Steve Clarke itu melangkah ke perlawanan kedua mereka selepas bangkit daripada kekalahan 5-1 di tangan tuan rumah, Jerman, dalam perlawanan pembukaan kejohanan.

Tetapi satu mata yang sukar di Cologne menentang Switzerland bermakna Scotland masih mempunyai harapan untuk mara ke pusingan kalah mati

“Semoga kami dapat teruskan momentum ini sekarang,” kata Hendry, bek tengah bagi kelab Liga Saudi, Al-Ettifaq.

“Rasanya seperti kami telah tebus kekecewaan perlawanan pertama dan lebih penting lagi ia menunjukkan betapa kami boleh bangkit daripada kekecewaan.

“Ia adalah malam yang sangat emosional. Peminatnya luar biasa. Daripada lagu kebangsaan hingga ke wisel penamat, mereka benar-benar mendorong kami.

“Sokongan ini memberi kami keazaman untuk mencipta sejarah.”

Sementara itu, jurulatih Scotland, Clarke, mengesahkan pasukannya akan beraksi tanpa Kieran Tierney untuk perlawanan ‘mesti menang’ selepas pemain pertahanan Arsenal itu diusung keluar dalam perlawanan menentang Switzerland.

Hendry berkata rakan sepasukannya “akan dirindui” apabila pasukan bertarung di Stuttgart, namun beliau yakin pengganti Tierney, Scott McKenna, akan turut bertindak cemerlang.

“Ada pengganti yang sudah siap dan salah satu kekuatan kami ialah skuad kami,” ujarnya.

Clarke bagaimanapun menekankan anak buahnya tidak akan memikirkan perlawanan Jerman-Switzerland, sebaliknya harus fokus kepada tugas di hadapan mereka.

“Hungary adalah pasukan yang mantap dengan pemain yang baik. Jika kami tidak 100 peratus fokus, kami boleh saja menjadi mangsa Hungary. Justeru, paling utama ialah memastikan kami melakukan tugas dengan betul dalam perlawanan menentang Hungary ini,” ujar beliau.

Meskipun tampak yakin, para pengamat berpendapat Scotland mempunyai cabaran yang terlalu tinggi untuk dicapai.

“Apa sahaja boleh berlaku dalam bola sepak, jadi kita tidak boleh mengatakan kejohanan ini sudah berakhir bagi Scotland,” ujar bekas kapten England yang kini bertugas sebagai pengulas di kejohanan Euro 2024, Alan Shearer.

“Namun, saya rasa Jerman dan Switzerland akan bermain secara berhati-hati, dan keputusan seri menguntungkan kededua pihak.

“Melainkan sesuatu berlaku dalam separuh masa pertama yang memaksa sama ada Jerman atau Switzerland meningkatkan persembahan masing-masing, saya rasa keputusan seri ialah satu kemungkinan besar dan ini bermakna Scotland akan terkeluar,” ujar beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg