LONDON: Keputusan Harry Kane untuk menandatangani kontrak baharu bersama Bayern Munich memberi kesan besar kepada Bundesliga, yang kini meraikan kejayaannya memenangi Ballon d’Or.

Keputusan itu juga penting buat England dan rekod Liga Perdana England (EPL).

Bayern bertindak pantas untuk mengikat pemain berusia 33 tahun itu dengan kontrak sehingga 2029, selepas beliau dinobatkan sebagai pemain terbaik dunia. 

Dengan itu, kapten dan penjaring gol terbanyak England tersebut akan menghabiskan tahun-tahun kemuncak kerjayanya yang cemerlang di Arena Allianz.

Kane telah mengukir namanya sebagai legenda Bayern sejak menyertai kelab itu dari Tottenham Hotspurs dengan bayaran £86 juta ($147.9 juta) pada Ogos 2023.

Beliau menjaringkan 102 gol dalam 102 perlawanan Bundesliga, memenangi dua gelaran liga dan tiga anugerah ‘Golden Boot’ berturut-turut.

Disebabkan itu, Bayern tidak mahu kehilangan Kane, lebih-lebih lagi apabila beberapa kelab lain turut berminat untuk mendapatkannya.

Justeru, keputusan Kane untuk terus kekal bersama Bayern memberi kesan bukan sahaja kepada kelab itu, malah kepada dunia bola sepak secara keseluruhan. 

Adakah ini bermakna Kane tidak akan beraksi di EPL lagi?

Yang lebih menarik, adakah ini bermakna beliau menyasarkan dua lagi kejohanan besar dan dua lagi peluang untuk merangkul trofi yang masih belum diraihnya di peringkat antarabangsa?

“Saya yakin, walaupun isu kecergasan sentiasa menjadi satu kekhuatiran, Harry lebih daripada mampu meneruskan permainan untuk beberapa tahun lagi dengan mudah.

“Orang mungkin kata permainannya kurang pantas, tetapi beliau sangat kuat dalam aspek lain.

“Beliau pemain serba boleh bertaraf dunia, dan prestasi permainannya tidak akan terjejas langsung oleh usia.

“Beliau masih mampu mengatur gerakan pasukan dengan baik dan mempunyai pemahaman bola sepak yang tinggi, ” kata bekas penyerang England, Chris Sutton.

Sutton menambah: “Saya tidak nampak usia sebagai masalah besar.

“Kita lihat sahaja pemain yang selama ini bergantung pada kepantasan mereka, tetapi mula kehilangan kelebihan itu apabila usia semakin meningkat, dan Harry bukan salah seorang daripada mereka.

“Beliau kelihatan cergas dan berada pada tahap prestasi terbaiknya ketika beraksi bersama Bayern dan pasukan kebangsaan England.”

Kontrak baharu Kane tamat sejurus sebelum ulang tahunnya yang ke-36.

Ini pasti menimbulkan kemungkinan bahawa pemain yang meninggalkan Spurs sebagai penjaring terbanyak dalam sejarah kelab itu dengan 280 gol dalam 435 penampilan, mungkin tidak akan beraksi lagi di EPL.

Sikap profesional Kane dan kemampuannya untuk terus membaiki permainan seiring usia bermakna beliau masih berpeluang bermain lebih lama.

Ramai yang membayangkan beliau akan kembali ke Spurs suatu hari nanti, tetapi kemungkinan itu kini semakin tipis.

Yang pasti, Alan Shearer akan kekal sebagai penjaring terbanyak EPL dan rekod itu berada di luar jangkauan Kane.

Shearer menjaringkan 260 gol dalam 441 perlawanan Liga Perdana untuk Blackburn Rovers dan Newcastle United.

Kane menjaringkan 213 gol dalam 320 perlawanan liga untuk Spurs.

Kane masih ketinggalan 47 gol di belakang rekod Shearer.

Beliau memerlukan penamat kerjaya yang hebat untuk mengatasi jumlah ikon Newcastle itu dan mencatat satu lagi rekod dalam buku sejarah. 

Namanya sudah tercatat sebagai penjaring terbanyak England dengan 91 gol daripada 125 penampilan, yang menyamai rekod penampilan terbanyak. – Agensi berita.

Usia bukan penghalang

“

“Saya yakin, walaupun isu kecergasan sentiasa menjadi satu kekhuatiran, Harry lebih daripada mampu meneruskan permainan untuk beberapa tahun lagi dengan mudah. Orang mungkin kata permainannya kurang pantas, tetapi beliau sangat kuat dalam aspek lain. Beliau pemain serba boleh bertaraf dunia, dan prestasi permainannya tidak akan terjejas langsung oleh usia.”
Chris Sutton, bekas penyerang England.