MUNICH: Penyerang Bayern Munich, Harry Kane, menjaringkan empat gol untuk menjadi penjaring terbanyak England dalam sejarah Liga Juara-Juara Eropah atau Piala Eropah, dalam kemenangan besar ke atas Dinamo Zagreb.
Gol keempat Kane – yang merupakan penalti ketiga dalam perlawanan tersebut – adalah gol ke-33 beliau dalam Liga Juara-Juara Eropah. Jumlah itu mengatasi rekod lama 30 gol yang dimiliki bekas penyerang England, Wayne Rooney.
Dalam hanya 50 perlawanan Kane, empat gol dijaringkannya menentang Dinamo Zagreb juga merupakan gol ke-50, 51, 52 dan 53 beliau. Pemain sayap Perancis Michael Olise, menjaringkan dua gol dalam penampilan sulungya di Liga Juara-Juara Eropah.
Bayern Munich adalah pasukan pertama yang menjaringkan sembilan gol dalam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah.
Bayern mendahului menerusi sepakan penalti Kane, selepas Aleksandar Pavlovic dijatuhkan.
Raphael Guerreiro menjaringkan gol dengan sepakan separuh voli sebelum Olise, pemain yang dibeli dari Crystal Palace, menanduk masuk hantaran Joshua Kimmich.
Bayern membawa masuk Sven Ulrich pada separuh masa kedua untuk menggantikan Manuel Neuer yang cedera.
Namun, dua gol membolosi gawangnya dalam lima minit sebelum beliau menyentuh bola – dengan Bruno Petkovic dan Takuya Ogiwara menjaringkan gol untuk menjadikan kedudukan 3-2.
Namun Bayern kembali kuasai perlawanan dengan Kane menjaringkan gol susulan selepas rembatan Kimmich diselamatkan dan Olise menjaringkan gol ke gawang yang kosong.
Kane dari England kemudian menjaringkan sepakan penalti keduanya selepas keputusan kontroversi oleh penolong pengadil video (VAR).
Beliau jaringkan hat-trick sepakan penalti, dan gol keempatnya secara keseluruhan, selepas Alphonso Davies dijatuhkan dalam kawasan penalti.
Leroy Sane dibawa masuk dan kemudian merembat masuk gol sejauh 18 meter dan Leon Goretzka menanduk masuk gol kesembilan mereka.
Ini adalah perlawanan Liga Juara-Juara Eropah yang mempunyai jaringan kedua tertinggi, setanding dengan kemenangan 8-3 Monaco ke atas Deportivo La Coruna pada 2003.
Rekod itu kekal sebagai kemenangan 8-4 Borussia Dortmund ke atas Legia Warsaw pada 2016. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg