LONDON: Manchester United membelasah Barnsley 7-0 dengan pemain sayap United, Antony, berjaya mendapatkan gol pertama musim ini dan Marcus Rashford pula menjaringkan dua gol semasa perlawanan pusingan tiga Piala EFL pada 18 September.
Sedang United meraih kemenangan hebat, Fulham mencipta sejarah yang tidak diingini – menjadi pasukan EPL yang ditewaskan pasukan Liga Kejuaraan, Preston. Mereka tewas melalui sepakan penalti 16-15.
Kini berada di tempat ke-10 dalam EPL dengan dua kekalahan daripada empat perlawanan, United berjaya menguasai Barnsley di Old Trafford.
Rashford, Antony dan Alejandro Garnacho kesemuanya berjaya menjaringkan gol pada separuh masa pertama yang menjamin kemenangan kedua United berturut-turut selepas kemenangan 3-0 ke atas Southampton pada 14 September.
Rashford dan Garnacho menjaringkan gol sekali lagi pada separuh masa kedua, dan dua jaringan Christian Eriksen menyempurnakan kemenangan tersebut.
Ini merupakan kemenangan terbesar United sejak Erik ten Hag tiba dari Ajax pada 2022.
Ten Hag melakukan lapan perubahan, dengan Manuel Ugarte diberi permulaan pertama sejak tiba dari Paris Saint-Germain.
Perubahan yang dilakukan Ten Hag tidak menjejas rentak United untuk memenangi pertandingan ini buat kali kedua dalam tiga musim.
Dengan kekurangan gol pada musim lepas, Ten Hag berkata Rashford kini akan dapat meraih musim yang baik selepas mendapatkan jaringan pertamanya.
Jangkaan Ten Hag menjadi kenyataan apabila Rashford menjaringkan gol hanya 16 minit dalam perlawanan.
Itu merupakan kali pertama pemain berusia 26 tahun ini menjaringkan gol bagi dua perlawanan berturut-turut sejak Mac.
Antony, yang juga sedang hadapi kesukaran musim ini, diberikan peluang bermain dan beliau memanfaatkan peluang dengan menjaringkan sepakan penalti pada minit ke-35 selepas dikasari Slonina.
Sementara itu permulaan buruk Everton musim ini kelihatan akan kekal selepas mereka tewas kepada Southampton 6-5 melalui sepakan penalti di Goodison Park. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg