ATLANTA: Pengurus skuad England, Thomas Tuchel, berkata pasukannya telah berjaya mengatasi siri kegagalan kejohanan besar terdahulu selepas bangkit daripada berada di belakang untuk mengelak penyingkiran mengejut daripada Piala Dunia ketika menentang Republik Demokratik (DR) Congo pada 1 Julai.

Kapten England, Harry Kane, muncul sebagai wira dan penyelamat pasukan The Three Lions dengan menjaringkan dua gol lewat untuk mencatatkan kemenangan 2-1 di Atlanta. 

Kemenangan itu sekali gus menetapkan pertemuan dengan pasukan tuan rumah bersama, Mexico, yang bakal memanfaatkan kelebihan beraksi di padang sendiri di Stadium Azteca yang bersejarah pada 5 Julai.

Peluang England untuk menamatkan penantian selama 60 tahun bagi menjulang trofi kejohanan utama kekal cerah.

Generasi pemain kali ini sememangnya paling hampir merangkul kejuaraan berbanding skuad terdahulu, meskipun terpaksa akur tewas dalam kedua-dua aksi perlawanan akhir Kejohanan Eropah lalu pada saat-saat paling genting.

Namun, Tuchel menegaskan beliau tidak melihat sebarang petanda yang menunjukkan anak buahnya akan rebah di bawah tekanan, meskipun menunjukkan permulaan agak hambar menentang pasukan yang berada di kedudukan ke-46 dunia itu.

Pemain sayap DR Congo, Brian Cipenga, memanfaatkan kerapuhan benteng pertahanan England untuk menjaringkan gol pada minit ketujuh.

Mereka mendahului perlawanan 1-0 sehingga baki 15 minit sebelum wisel penamat.

“Barisan pemain hari ini enggan menerima kekalahan sebagai keputusan akhir,” kata Tuchel.

“Sangat mudah untuk kami menyerah kalah, sangat mudah untuk menerima naratif (negatif).

“Namun, saya tidak melihat perkara itu berlaku sama sekali dan ia adalah satu petanda yang amat baik,” ujar Tuchel.

“Perkara ini membuatkan saya sangat bangga kerana mereka melakukan apa yang sepatutnya.

“Apabila keadaan menjadi sukar hari ini, mereka bangkit membuktikan keupayaan dan kami meraih kemenangan yang selayaknya, biarpun (gol itu) lewat.”

Meskipun berjaya melepasi satu halangan, pasukan kendalian Tuchel bakal berdepan laluan berliku dalam misi mereka untuk bergelar juara dunia.

Brazil, Argentina dan Perancis mungkin menanti England pada peringkat kalah mati seterusnya, jika mereka berjaya mengalahkan Mexico di depan lebih 70,000 penyokong sendiri.

Pasukan Mexico yang juga dikenali sebagai El Tri setakat ini memenangi kesemua empat perlawanan Piala Dunia mereka tanpa bolos, selain turut memiliki kelebihan kerana sudah terbiasa dengan keadaan altitud tinggi di Mexico City.

“Ia mungkin salah satu perlawanan paling indah dan menarik buat mana-mana pasukan. Kami akan menentang Mexico di Azteca,” kata Tuchel.

“Faktor altitud sudah tentu menjadi kelemahan besar buat kami kerana secara fizikal, kami tidak mampu menyesuaikan diri dalam tempoh empat hari. Ia sesuatu yang mustahil.”

“Mungkin ada banyak lagi rintangan akan datang, tetapi kami sudah bersedia menghadapinya.”

Sementara itu, ketua jurulatih DR Congo, Sebastien Desabre, berkata pasukannya telah menaikkan nama pasukan mereka di mata dunia selepas memberi tentangan sengit kepada England.

“Apabila anda mewakili pasukan kebangsaan, anda perlu meninggalkan imej yang baik dan saya percaya kami telah melakukannya,” kata Desabre, yang menyaksikan pasukannya berjuang mempertahankan gawang sebelum akhirnya bolos pada 15 minit terakhir perlawanan. 

“Kami lebih berasa bangga daripada kecewa.

“Sudah tentu kami kecewa kerana terpaksa meninggalkan Piala Dunia, tetapi kami berjaya menjaringkan lima gol sepanjang kejohanan ini, selain beraksi menentang pasukan yang berada di kedudukan jauh lebih tinggi dan berjaya mencatat keputusan baik,” ujarnya. – AFP, Reuters.

Keputusan perlawanan 2 Julai (waktu S’pura):

England 2-1 DR Congo

Belgium 3-2 Senegal

Amerika Syarikat 2-0 Bosnia dan Herzegovina