Bekas penyerang Jerman pilih Sepanyol, Perancis, Brazil sebagai pasukan pilihan Piala Dunia
Bekas penyerang Jerman pilih Sepanyol, Perancis, Brazil sebagai pasukan pilihan Piala Dunia
Juara empat kali Piala Dunia, Jerman, telah lama dianggap sebagai pasukan pilihan setiap edisi, terutamanya sejak mereka mara sekurang-kurangnya ke suku akhir daripada kemenangan pertama pada 1954 sehingga kemenangan terakhir pada 2014.
Namun, selepas tersingkir daripada peringkat kumpulan berturut-turut pada 2018 dan 2022, harapan peminat terhadap mereka semakin berkurang.
Malah, rakyat Jerman sendiri turut hilang sedikit keyakinan dengan pasukan negara mereka.
Antara yang percaya bahawa pasukan kebangsaan Jerman tidak akan mencapai tahap tertinggi pada Piala Dunia 2026 yang diadakan di Amerika Utara, ialah bekas penyerang Karl-Heinz Riedle.
Beliau merupakan anggota pasukan Jerman yang menjuarai Piala Dunia pada 1990.
Bekas pemain berusia 60 tahun itu berada di Singapura pada hujung minggu lalu untuk sesi temu mesra dengan peminat di Our Tampines Hub (OTH) pada 6 Mac dan Sekolah Singapura Jerman Eropah (GESS) pada 7 Mac atas jemputan pejabat Singapura bagi kelab lamanya, Borussia Dortmund.
Menurut Riedle, terdapat harapan bagi pasukan Jerman menyerlah dalam Piala Dunia 2026, kerana mereka berada dalam kumpulan sama dengan Curacao, Ivory Coast dan Ecuador.
Namun, beliau menamakan Sepanyol, Perancis dan Brazil sebagai pasukan pilihan, sambil mengecualikan negaranya sendiri daripada senarai juara.
Riedle, yang juga pernah bermain untuk kelab England, Liverpool dan Fulham, berkata kepada The Straits Times (ST):
“Ini kumpulan yang sepatutnya mampu dihadapi Jerman.
“Jika mereka gagal mara, ia akan menjadi tamparan besar buat Jerman. Kami menunjukkan prestasi sangat teruk dalam dua edisi Piala Dunia sebelum ini, jadi saya harap dengan pasukan baru dan pemain muda, mereka boleh menampilkan permainan baik untuk kami.
“Tetapi saya tidak pasti jika mereka mampu menjuarainya. Kami ada pasukan yang baik, tetapi dengan Jamal Musiala dan Kai Havertz cedera buat tempoh panjang, kita tidak pasti sama ada mereka boleh kembali ke tahap terbaik.
“Ia keputusan yang baik jika mereka mampu mara ke peringkat suku akhir atau separuh akhir.
“Sepanyol, Perancis dan Brazil mempunyai pemain dan pasukan terbaik – Sepanyol merupakan juara Eropah, Perancis telah mara ke dua final Piala Dunia (2018 dan 2022), dan Brazil sentiasa menunjukkan prestasi terbaik.”
Bagi pasukan Jerman, pengurus, Julian Nagelsmann, mengambil alih sebuah pasukan yang sedang melalui fasa peralihan pada 2023 selepas Hansi Flick meninggalkan jawatan tersebut.
Pengurus berusia 38 tahun itu menghadapi beberapa masalah yang perlu diselesaikan jika mereka mahu kembali unggul pada musim panas ini.
Bukan sahaja penyerang utama mereka perlu berusaha keras dalam tempoh singkat untuk mencapai prestasi terbaik, malah bahagian penjaga gol juga kekurangan pengalaman dalam peringkat antarabangsa.
Penjaga gol Bayern Munich, Manuel Neuer telah menolak sebarang kemungkinan untuk kembali menyarung jersi kebangsaan, manakala penjaga gol kelab Sepanyol Girona, Marc-Andre ter Stegen, yang mempunyai 44 penampilan, mengalami kecederaan.
Buat masa ini, penjaga gol kelab Jerman Hoffenheim, Oliver Baumann, 35 tahun, mengekalkan kedudukan penjaga gol nombor satu meskipun beliau baru mencatatkan 10 penampilan antarabangsa dalam perlawanan terakhir pasukan kebangsaan pada November 2025.
Nagelsmann turut menyuarakan masalah dalam bahagian tengah pasukan dalam satu temu bual bersama majalah sukan Jerman, Kicker.
“Kami benar-benar kekurangan seorang pemain tengah yang stabil dan agresif di Jerman – terutamanya dalam perebutan bola di udara.
“Saya telah menonton banyak perlawanan daripada pelbagai calon untuk posisi nombor enam, tetapi kami hampir tiada pemain yang memenuhi profil tersebut – seseorang yang benar-benar boleh memenangi pertarungan udara dan membawa kekuatan tertentu ke dalam permainan.
“Saya sebenarnya mempunyai 11 calon nombor enam dalam senarai saya. Kesemuanya pemain kelas dunia, tetapi semuanya mempunyai gaya permainan yang serupa.”
Namun, tanpa mengira siapa yang dipilih Nagelsmann, satu elemen kemenangan yang tidak boleh dikompromi ialah semangat berpasukan yang kukuh, yang menurut Riedle, merupakan “kekuatan terbesar” mereka ketika menjuarai Piala Dunia 1990.

