Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Katie Ledecky terima pingat kedua terbanyak dalam kejohanan dunia

Jul 30, 2025 | 4:20 PM
Perenang jarak jauh Amerika Syarikat, Katie Ledecky, meraih pingat emas dengan catatan masa 15 minit 26.44 saat dalam pertandingan akhir acara renang 1,500 meter gaya bebas untuk memperoleh gelaran dunia ke-22 beliau. 
Perenang jarak jauh Amerika Syarikat, Katie Ledecky, meraih pingat emas dengan catatan masa 15 minit 26.44 saat dalam pertandingan akhir acara renang 1,500 meter gaya bebas untuk memperoleh gelaran dunia ke-22 beliau.  - Foto ST

Dalam masa lebih 15 minit di Arena Kejohanan Akuatik Dunia 2025 (WCH 2025) di Kallang pada 29 Julai, Katie Ledecky, mempamerkan kepada penonton Singapura mengapa beliau menjadi antara perenang jarak jauh terhebat sepanjang masa.

Dalam pertandingan akhir acara renang 1,500 meter gaya bebas, pemegang rekod dunia itu menunjukkan prestasi luar biasa dari awal hingga akhir, meraih pingat emas dengan catatan masa 15 minit 26.44 saat untuk menjuarai gelaran dunia ke-22 beliau.

Jumlah keseluruhan 28 pingat kejohanan dunia yang dimiliki legenda Amerika itu juga mengatasi rekod rakan senegaranya, Ryan Lochte (27 pingat).

Kini, beliau berada di tempat kedua hanya di belakang perenang Amerika, Michael Phelps, yang memiliki rekod tertinggi sepanjang masa dengan 33 pingat, lapor The Straits Times (ST).

Sambil tersenyum lebar selepas majlis penyampaian pingat, Ledecky, 28 tahun, berkata beliau tidak memberi perhatian kepada jumlah pingat tersebut apabila ditanya sama ada beliau kini akan cuba mengatasi rekod Michael Phelps.

“Bagi saya, Michael adalah yang terbaik. Beliau adalah standard dalam sukan kami dan itu bukan sesuatu yang saya kejar,” kata Ledecky selepas meraih gelaran dunia keenamnya dalam acara tersebut.

“Saya sebenarnya tidak tahu berapa jumlah (pingat ini). Saya tidak meneliti rekod ini.

“Saya hanya menyertai satu perlumbaan pada satu masa dan memberikan yang terbaik dalam setiap perlumbaan. Apa sahaja yang berlaku, biarlah ia berlaku.

“Sudah tentu, sewaktu membesar, menonton kejohanan dunia dan Sukan Olimpik yang disertai Michael memberi saya inspirasi, dan saya cuba belajar daripada (atlet) terbaik.

“Saya sentiasa menjadi pelajar dalam sukan ini. Jadi, menonton pelbagai kejohanan dunia, dan kemenangan Olimpik beliau sentiasa memberi inspirasi.

“Kami banyak berbincang minggu ini sebagai satu pasukan mengenai legasi renang Amerika, dan kami semua mahu menjadi sebahagian daripadanya dan meneruskannya,” ujar Ledecky.

Ledecky membina legasi dalam acara renang 1,500 meter setelah berjaya mencipta rekod dunia sebanyak enam kali, dengan catatan masa terkini 15 minit 20.48 saat.

Pada 29 Julai, beliau sekali lagi meninggalkan pencabarnya jauh di belakang.

Perenang Italy, Simona Quadarella, penerima pingat perak, mencatat masa 15 minit 31.79 saat, lebih lima saat di belakang Ledecky, menjadikannya perenang kedua terpantas dalam acara tersebut.

Perenang Australia, Lani Pallister, meraih pingat gangsa dengan catatan masa 15 minit 41.18 saat.

Perenang Singapura, Gan Ching Hwee, pula menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh dengan catatan masa 16 minit 03.51 saat.

Gan, yang sebelum ini menarik diri daripada saringan 200 meter gaya bebas untuk memberi tumpuan kepada perlumbaan 1,500 meter, adalah perenang wanita Singapura pertama yang layak ke pertandingan akhir kejohanan dunia sejak Tao Li menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh dalam acara renang kupu-kupu 50 meter pada 2007.

Pada 28 Julai, Gan memecahkan dua rekod nasional apabila berjaya menamatkan perlumbaan di tempat keempat dalam kalangan 27 atlet, melayakkan beliau ke pertandingan akhir acara renang 1,500 meter gaya bebas.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg