Sebuah kawasan perindustrian dan deretan gudang di Depot Lane, Bukit Merah, akan dikosongkan menjelang suku keempat 2025 bagi memberi laluan kepada pembangunan perumahan.
Menurut JTC Corporation yang menguruskan kawasan perindustrian tersebut, tapak itu akan diserahkan kembali kepada pemerintah bagi pembangunan perumahan pada masa hadapan.
Di bawah pelan induk Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA), kawasan perindustrian Depot Lane adalah sebahagian tapak seluas 7.3 hektar yang telah dikhaskan untuk kegunaan perumahan.
Nisbah plotnya, yang menentukan tahap kepadatan pembangunan, tertakluk kepada penilaian terperinci.
Kawasan perindustrian tersebut, merangkumi sekitar 240 unit di lapan blok, dibina pada 1970-an.
Enam gudang bersebelahan yang membentuk baki tapak tersebut, dimiliki Penguasa Tanah Singapura (SLA).
Menurut JTC, penyewa telah dimaklumkan mengenai rancangan pembangunan semula kawasan itu sejak 2018 dan ditawarkan ruang kilang pengganti di JTC Space @ Ang Mo Kio atau Bedok Food City.
Gerai makanan Barat, Original Botak Jones, telah mengumumkan di media sosial pada April bahawa cawangannya di kedai kopi Yue Hua, Depot Lane, ditutup pada 22 Jun disebabkan pembangunan semula kawasan tersebut.
“Kami membuka semula cawangan ini pada masa paling tidak menentu iaitu pada 2021, ketika menjamu selera di premis masih tidak dibenarkan.
“Ia adalah satu perjalanan luar biasa selama empat tahun,” jelas syarikat itu di media sosial.
Kedai kopi itu ditutup pada 23 Jun, lapor The Straits Times (ST).
Pengarah kedai kopi Yue Hua, Encik Xu Tianmu, melahirkan rasa berat hati untuk menutup kedainya kerana ia telah beroperasi di Depot Lane sekitar 20 tahun.
“Ia agak menyedihkan kerana inilah kedai kopi kami yang paling lama beroperasi.
“Ramai pemilik gerai di sini telah bersama kami selama lebih 15 tahun,” kata Encik Xu, yang turut mengendalikan cawangan Original Botak Jones di sana.
Beliau menerima tapak pengganti di Bedok Food City yang ditawarkan JTC dan turut membuka cawangan Original Botak Jones di sana pada 2022.
“Depot Lane dahulunya sangat meriah dan perniagaan berjalan rancak,” katanya, sambil menambah bahawa banyak perniagaan telah berpindah dari kawasan perindustrian itu pada 2022.
Dalam satu lawatan media ke kawasan perindustrian Depot Lane pada 24 Jun, ramai penyewa kelihatan sudah berpindah.
Encik Alex Lim, pemilik PPF Singapore Xpel, sebuah syarikat yang menjual filem perlindungan untuk kenderaan, berkata beliau perlu mengosongkan premis di Depot Lane sebelum akhir Jun, selepas beroperasi sekitar lima tahun di sana.
Beliau terpaksa membida untuk mendapatkan sebuah unit di taman perindustrian Ang Mo Kio, kerana JTC tidak menawarkan tapak pengganti kepadanya, kata beliau.
Menurut JTC, pemilik perniagaan yang menyewa unit di premis tersebut, selepas pengumuman rancangan pembangunan semula pada 2018, telah dimaklumkan bahawa mereka tidak boleh mengharapkan tapak pengganti ditawarkan, apabila diminta mengosongkan premis tersebut.
Walaupun Encik Lim berjaya mendapatkan satu unit di Ang Mo Kio, beliau mengeluh kerana sewanya mencecah $4,500 sebulan, jauh lebih tinggi berbanding sewa $2,600 untuk unit di Depot Lane.
Pada 2018, semua hartanah dan tanah perindustrian Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) – termasuk kawasan perindustrian Depot Lane – dipindahkan kepada JTC.
Penyewa yang asalnya di bawah HDB akan ditawarkan unit pengganti dan manfaat pemindahan lain, apabila mereka berpindah disebabkan pembangunan semula, di bawah Program Pembangunan Semula Perindustrian (IRP) HDB.
“
“Ia agak menyedihkan kerana inilah kedai kopi kami yang paling lama beroperasi. Ramai pemilik gerai di sini telah bersama kami selama lebih 15 tahun... Depot Lane dahulunya sangat meriah dan perniagaan berjalan rancak.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg