Topik diikuti
Pergi ke BHkuKegagalan berulang Lokomotive Leipzig naik liga dedah kepincangan bola sepak Jerman
Selain kekangan slot kenaikan liga, kelab turut berdepan cabaran akibat jurang sosioekonomi yang berterusan antara wilayah timur dengan barat
Kegagalan berulang Lokomotive Leipzig naik liga dedah kepincangan bola sepak Jerman
LEIPZIG (Jerman): Kapten kelab Jerman, Lokomotive Leipzig, Djamal Ziane, sudah tiga kali menjulang piala juara liga bersama rakan sepasukannya, namun kejayaan itu dirasakan kurang lengkap.
Musim panas ini, buat dua tahun berturut-turut dan kali ketiga dalam tempoh tujuh musim, Ziane menjulang piala kejuaraan selepas memimpin pasukannya menjuarai Regionalliga Nordost (Liga Wilayah Timur Laut), iaitu divisyen empat dalam sistem bola sepak Jerman, pada Mei 2026.
Namun, detik manis itu diselubungi kekecewaan kerana sama seperti pada 2025 dan 2020, kejuaraan liga yang diraih Lok Leipzig langsung tidak membawa kepada kenaikan liga.
Ketika juara-juara wilayah lain dalam divisyen empat Jerman dinaikkan ke peringkat 3.
Liga yang merangkumi seluruh negara, Lok Leipzig sebaliknya terpaksa berdepan perlawanan penentuan menentang wakil daripada Regionalliga Bavaria (Liga Wilayah Bavaria), Wurzburger Kickers, pada akhir Mei dan awal Jun.
Dalam sistem bola sepak Jerman, 3. Liga ialah divisyen bola sepak profesional kebangsaan peringkat ketiga di Jerman.
Ziane berjaya menjaringkan gol, namun Lok Leipzig yang dibelenggu masalah kecederaan pemain akhirnya tewas dengan agregat 1-3.
Perkataan ‘Euer System ist krank’ (Sistem kamu rosak) tertera pada kain rentang bantahan yang dipamerkan kira-kira 2,000 penyokong yang hadir dalam perlawanan pada 1 Jun itu di stadium Akon Arena di Wurzburg, Jerman.
“Ini perkara paling buruk – selain kecederaan – yang anda boleh lalui sebagai seorang pemain bola sepak,” kata Ziane.
“Ini bukan sekadar satu bencana. Ia langsung tidak masuk akal. Jika mereka benar-benar mahu mengubahnya, esok pun mereka boleh mengubahnya,” tambah beliau.
Namun, hakikatnya ia tidak semudah itu, memandangkan sistem liga bola sepak Jerman berdepan kekangan dari segi slot kenaikan liga.
Mengikut sistem bola sepak Jerman, Bundesliga merupakan liga utama, diikuti 2. Bundesliga dan 3. Liga, manakala divisyen empat dipecahkan kepada lima wilayah (Utara, Barat, Barat Daya, Timur Laut dan Bavaria), dengan setiap wilayah mempunyai kejuaraan liga masing-masing.
Namun, dengan hanya empat pasukan yang tersingkir daripada 3. Liga pada setiap musim, sistem itu jelas tidak memberi peluang sama rata kepada juara setiap wilayah.
Penyelesaian yang digunakan ketika ini dilihat kurang memuaskan, dengan juara wilayah Barat dan Barat Daya layak naik liga secara automatik, manakala slot automatik ketiga digilirkan antara tiga lagi liga mengikut kitaran setiap tiga tahun.
Slot keempat pula ditentukan menerusi aksi perlawanan penentuan antara juara baki dua liga berkenaan.
Keadaan ini menyaksikan satu pasukan juara pasti tidak dapat dinaikkan liga pada setiap musim, dan nasib malang itu semakin kerap menimpa juara Liga Wilayah Timur Laut – kawasan yang merangkumi wilayah bekas Republik Demokratik Jerman (GDR).
Selain episod duka Lok Leipzig yang terlepas kenaikan liga sebanyak tiga kali, beberapa kelab lain turut berdepan kekecewaan serupa, termasuk Energie Cottbus pada 2023 dan Dynamo Berlin pada 2022.
Musim ini, hanya satu kelab dari timur Jerman yang beraksi dalam divisyen 3. Liga, iaitu Hansa Rostock.
Cabaran yang dihadapi kelab bola sepak di wilayah berkenaan sebahagiannya berpunca daripada jurang sosioekonomi yang masih berterusan antara wilayah timur dengan barat.
Malah sehingga 2026, tiada satu pun daripada 40 syarikat terkemuka yang tersenarai di bursa saham DAX Jerman berpangkalan di bekas wilayah timur itu (di luar Berlin).
Kadar gaji di wilayah itu kekal lebih rendah, kadar pengangguran lebih tinggi, manakala penduduknya semakin menua dan jumlahnya menyusut berikutan penghijrahan golongan muda ke wilayah barat.
Sebab utama juara wilayah Barat dan Barat Daya mendapat tiket naik liga automatik ialah terdapat lebih banyak pasukan bola sepak lelaki berdaftar di bawah bidang kuasa mereka.
Ini berikutan bilangan penduduk yang jauh lebih ramai menetap di wilayah berkenaan.
“Liga di (barat) sememangnya memiliki asas ekonomi lebih kukuh, namun semua pihak bersetuju sistem sedia ada ini tidak masuk akal.
“Semua orang perlu bertolak ansur, tetapi segelintir pegawai jelas meletakkan kepentingan serta kedudukan peribadi mereka melebihi kepentingan bersama bola sepak Jerman,” kata Ketua Eksekutif Lok Leipzig, Toni Wachsmuth.
Justeru, tidak mengejutkan apabila desakan terbaharu bagi menuntut perubahan ini digerakkan oleh kelab-kelab dari wilayah timur, yang melancarkan kempen baharu pada Mac 2025 dengan cogan kata: “Meister mussen aufsteigen!” (Juara mesti naik liga!).
Mereka mengusulkan agar jumlah liga dikurangkan daripada lima kepada empat, dengan sempadan geografi yang tepat ditentukan semula pada setiap musim menggunakan bantuan kecerdasan buatan (AI), mengambil kira faktor seperti jarak perjalanan ke perlawanan di tempat lawan dan aksi derbi yang menarik.
Mereka menggelarnya sebagai ‘model kompas’ berikutan pembahagian zon liga yang bersifat fleksibel dan boleh diselaraskan setiap musim.
“Saya mahu keluar daripada perdebatan timur-barat ini,” kata Ketua Eksekutif Chemnitzer FC, Tommy Haeder, 35 tahun, yang mengetuai kempen pembaharuan tersebut.
“Kita sudah lalui pertukaran generasi. Ramai pegawai lama telah bersara dan digantikan dengan generasi muda yang tidak mempunyai nostalgia terhadap era GDR,” tambahnya.
Haeder turut menegaskan, kelebihan sistem kenaikan liga lebih adil bagi bola sepak Jerman secara keseluruhan, dengan berhujah bahawa kelab di timur akan berada pada kedudukan lebih kukuh untuk terus mencungkil dan mengasah bakat muda.
Sejak kempen itu dilancarkan, ia telah meraih sokongan lebih 80 kelab di serata Jerman.
Sokongan terhadap perubahan itu semakin memuncak menjelang sesi undian pada akhir Jun lalu apabila kelab-kelab akhirnya bersedia mengundi bagi model kompas itu selepas perbincangan berlarutan selama berbulan-bulan.
Namun, proses pengundian itu menjadi tidak teratur apabila pihak persatuan wilayah yang mengendalikan undian membuat dua perubahan mengejut pada saat-saat akhir.
Secara tiba-tiba, empat liga baharu itu hanya dihadkan kepada 18 pasukan berbanding 20, sekali gus mengurangkan daya tarikan model kompas itu kerana kuota liga mengecil dan 10 pasukan lagi bakal tersingkir ke divisyen bawah.
Selain itu, pihak persekutuan menetapkan bahawa model itu mesti meraih sokongan majoriti di setiap lima wilayah yang terlibat.
Meskipun berdepan perubahan syarat yang merugikan itu, undian majoriti keseluruhan 50.9 peratus yang menyokong model berkenaan tetap berjaya dicapai.
“Peralihan daripada satu sistem sedia ada yang berfungsi kepada model yang rumit, tidak menentu dan berisiko tinggi dari segi ekonomi serta tiada manfaat jelas, adalah sesuatu yang langsung tidak masuk akal bagi saya,” kata Ketua Eksekutif kelab FSV Frankfurt dari Liga Wilayah Barat Daya, Robert Lempka.
Menyusuli undian itu, gelombang bantahan mula meletus di seluruh arena bola sepak Jerman musim ini.
Dalam Liga Wilayah Timur Laut, hampir setiap perlawanan dimulakan lewat apabila pemain sengaja enggan beraksi pada minit pertama perlawanan.
Pada aksi pembukaan musim, penyokong Lok Leipzig yang kecewa melihat pasukan mereka masih ‘terperangkap’ di divisyen sama, bertindak membaling ratusan piala plastik ke padang.
Tindakan itu menjadi isyarat simbolik bahawa kejuaraan berturut-turut yang diraih kelab itu langsung tidak bernilai tanpa kenaikan liga.
Penyelesaian kepada kemelut ini mungkin tercapai selepas Persekutuan Bola Sepak Jerman (DFB) mengumumkan penganjuran mesyuarat agung luar biasa pada 18 Disember.
“(Isu ini) harus diselesaikan,” tegas Presiden DFB, Bernd Neuendorf.
“Model kompas meraih undian tertinggi dan menawarkan peluang terbaik untuk menghimpunkan saingan berprestasi tinggi, sekali gus memacu pembangunan bakat lebih bermutu,” tambahnya.
Sebarang perubahan bagaimanapun hanya akan dilaksanakan menjelang musim 2028-29 – yang jelas terlalu lambat buat Ziane yang kini mencecah usia 34 tahun dan mengharungi musim ke-13 bersama Lok Leipzig yang masih terperangkap di divisyen empat. – Agensi berita.