Dua kemalangan yang mengubah hidupnya bukan pengakhiran kepada impian sukan Mawjit Singh Gurmet Singh.

Sebaliknya, ia menjadi titik tolak kepada perjalanan luar biasa yang kini membawanya sebagai pembawa bendera Singapura di pentas Sukan Komanwel Glasgow 2026.

Pemain boling padang para berusia 62 tahun itu diumumkan sebagai pembawa bendera Pasukan Singapura bersama perenang Gan Ching Hwee pada Majlis Penyerahan Bendera di Eden Hall pada 6 Julai, menjelang temasya yang akan berlangsung di Glasgow, Scotland, dari 23 Julai hingga 2 Ogos.

Bagi Mawjit, penghormatan itu datang bersama satu lagi misi – membawa pulang pingat.

“Saya amat berbesar hati diberi tanggungjawab membawa bendera Singapura. Tetapi bersama bendera itu, saya juga mahu membuktikan sesuatu. Saya mahu memenangi sesuatu untuk negara,” katanya penuh semangat.

“Saya tidak akan mengecewakan sesiapa. Saya akan memberikan yang terbaik.”

“Jika saya dapat pulang dengan kedudukan di podium, saya akan gembira bukan sahaja untuk diri sendiri, malah untuk Singapura, jurulatih dan semua yang telah bekerja keras membantu kami.”

Semangat juang itu lahir daripada pengalaman hidup yang penuh cabaran.

Selepas kehilangan kaki kirinya akibat kemalangan, Mawjit terlebih dahulu mencipta nama dalam acara olahraga para sebelum satu lagi kemalangan menyebabkan kekuatan tangan kanannya terjejas.

Keadaan itu memaksanya mencari sukan baru, sekali gus menemui boling padang – sukan yang pada mulanya disangkanya mudah.

Kini, beliau menganggap boling padang bukan sekadar sukan, malah komuniti yang mengubah kehidupannya.

“Jika tidak ada keinginan yang membara, bukan mudah untuk bersaing di peringkat ini. Lawan akan mengatasi kita. Kami sudah berlatih bertahun-tahun, mengorbankan masa, tenaga dan keringat. Sekarang kami mahu memberikan yang terbaik untuk Singapura,” katanya.

Mawjit dan gandingannya, Khirmern Mohamad, layak ke Sukan Komanwel berdasarkan ranking dunia selepas meraih pingat gangsa di Kejohanan Dunia 2023, sekali gus muncul satu-satunya wakil dari Asia dalam acara berkenaan.

Sementara itu, Gan pula menyifatkan pelantikannya sebagai pembawa bendera pada penampilan sulungnya di Sukan Komanwel sebagai penghormatan besar.

“Mengetuai kontinjen bersama Mawjit pada majlis pembukaan adalah satu penghormatan yang amat bermakna. Mewakili Singapura sentiasa sesuatu yang saya hargai dan saya teruja untuk beraksi dalam Sukan Komanwel pertama saya,” katanya.

Seramai 53 atlet Singapura, terdiri daripada 22 wanita dan 31 lelaki, akan bertanding dalam tujuh sukan merangkumi sembilan disiplin di Glasgow.

Presiden Sukan Komanwel Singapura, yang juga merupakan Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, berkata pelantikan Gan dan Mawjit melambangkan semangat unik Sukan Komanwel yang menyatukan atlet berupaya dan atlet para dalam satu kontinjen.

“Semangat keterangkuman dan perpaduan ini amat kami hargai. Inilah cara Pasukan Singapura akan bertanding – dengan penuh hormat, ketabahan dan saling menyokong antara satu sama lain,” katanya.

Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Singapura, Encik Nikesh Mehta, turut memuji dedikasi atlet Singapura sambil mengingatkan bahawa nilai sebenar kejayaan bukan hanya diukur melalui pingat.

“Sama ada anda memenangi pingat ataupun tidak, dedikasi yang ditunjukkan untuk mencapai tahap tertinggi dalam sukan masing-masing amat mengagumkan. Anda semua menjadi inspirasi kepada kami,” katanya.

Pada Sukan Komanwel Birmingham 2022, Singapura membawa pulang 12 pingat – empat emas, empat perak dan empat gangsa.