Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kejayaan Singa ke Piala Asia 2027 suntik harapan prestasi bola sepak negara

Rakyat curah rasa bangga, kagum atas kemenangan bersejarah S’pura
Nov 19, 2025 | 8:04 PM
kelayakan piala asia 2027, hong kong, singapura, Singa
Selepas pertembungan di Hong Kong, pasukan Singa tiba di Terminal 2, Lapangan Terbang Changi pada 19 November dengan dijemput sekitar 200 peminat. - Foto BH oleh KHALID BABA

Tarikh 18 November 2025 akan kekal sebagai hari yang terpahat dalam ingatan penyokong bola sepak Singapura buat sepanjang hayat mereka.

Demikian yang dikongsi oleh beberapa peminat setempat termasuk pemimpin Singapura dan bekas pemain bola sepak negara.

Ini selepas pasukan bola sepak negara berjaya melakar sejarah dengan menempah tiket ke Piala Asia 2027 buat julung-julung kalinya selepas menewaskan Hong Kong 2-1 di Kelayakan Piala Asia Kumpulan C hasil jaringan Shawal Anuar dan Ilhan Fandi.

Mereka turut memberikan penghargaan kepada pasukan Singa atas pencapaian tersebut yang sekaligus berjaya mengubati hati peminat.

Ini setelah mereka sekian lama menyaksikan dengan hampa percubaan Singapura untuk melayakkan diri ke kejohanan berprestij itu selama beberapa tahun.

Beberapa bekas pemain yang dihubungi Berita Harian (BH) juga berkata kejayaan tersebut diharapkan dapat terus memberi inspirasi kepada pemain muda untuk terus mencipta sejarah baru demi bola sepak negara.

Pujian dilihat mencurah di media sosial selepas malam bersejarah itu.

Menulis di Facebook, Presiden Tharman Shanmugaratnam, berkata anak didik Gavin Lee telah menunjukkan kebangkitan yang membanggakan di Stadium Kai Tak Sports Park, Hong Kong, selepas pasukan tuan rumah mendahului pada separuh masa pertama.

“Terima kasih Singa kerana mencipta sejarah pada malam ini!

“Selepas kekecewaan selama beberapa tahun, Singa berjaya layak ke Piala Asia buat kali pertama berdasarkan prestasi mereka. (Pada 1984, Singapura pernah mengambil bahagian sebagai tuan rumah).

“Dan terima kasih kepada semua pemain Singa atas permainan berpasukan yang hebat dan keberanian beraksi di hadapan penyokong tuan rumah yang ramai di Stadium Kai Tak,” tulis Tuan Presiden.

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, turut menzahirkan kebanggaannya terhadap kegigihan, semangat dan sikap tidak mudah kalah Singa.

“Anda semua telah mengharumkan nama Singapura dan kami sentiasa berdiri bersama anda!” ujar Encik Wong.

Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Negara Kanan (Pendidikan), Encik David Neo, turut berada di Hong Kong untuk memberikan sokongan kepada pemain.

Dalam catatannya di Facebook, Encik Neo memuat naik video beliau meraikan kemenangan itu bersama pemain selepas perlawanan di bilik persalinan.

Beliau menulis:

“Sepanjang lima perlawanan lalu, Singa kita benar-benar bermain dengan sepenuh hati.

“Kepada semua peminat Singapura di mana jua anda berada, mari berikan sokongan padu kepada Singa dalam perjalanan menuju Piala Asia!”

Encik Neo turut mengucapkan selamat hari lahir kepada kapten Hariss Harun, yang menyambut hari lahirnya yang ke-35 pada 19 November.

Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Negara Kanan (Pendidikan), Encik David Neo (tengah), turut berada di Hong Kong untuk memberikan sokongan kepada pemain.
Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Negara Kanan (Pendidikan), Encik David Neo (tengah), turut berada di Hong Kong untuk memberikan sokongan kepada pemain. - Foto SHIN MIN

Meskipun pernah melakarkan pelan untuk layak ke Piala Dunia 2010 dan 2034, impian untuk mara ke kejohanan besar tetap kekal sebagai angan-angan jauh, meskipun Singa pernah beraksi pada Piala Asia 1984 sebagai tuan rumah.

Mereka hampir berjaya mara ke Piala Asia 1996, namun mensia-siakan peluang tersebut apabila melepaskan kelebihan 2-0 untuk sekadar seri 2-2 menentang Thailand dalam aksi kelayakan terakhir mereka, ketika mereka hanya memerlukan kemenangan.

Begitu juga pada kempen 2011, mereka tewas 1-2 kepada Jordan dan gagal untuk mara, sedangkan mereka hanya memerlukan keputusan seri dalam perlawanan kelayakan terakhir itu.

Singa terus berada dalam prestasi hambar sejak memenangi gelaran terakhir daripada empat kejuaraan Asean mereka pada 2012.

Sejak itu, mereka hanya dua kali mara ke separuh akhir Kejohanan Asean – pada edisi 2020 dan 2024 – dan tidak mempunyai pencapaian bermakna di peringkat belia kecuali pingat gangsa di Sukan SEA 2013 bagi kategori bawah 23 tahun.

Di peringkat nasional, mereka telah melalui lima ketua jurulatih sepenuh masa sejak Radojko Avramovic meninggalkan pasukan pada 2012.

Kempen kelayakan Piala Asia kali ini sekali lagi terganggu apabila Tsutomu Ogura meninggalkan pasukan pada Jun atas sebab peribadi dan pembantunya, Lee, mengambil alih tugas tersebut.

Akhbar The Straits Times (ST), melaporkan bahawa Ogura, yang sudah kembali ke Jepun, mengucapkan tahniah sambil berkata: “Sejarah bola sepak Singapura telah berubah!”

Avramovic juga mengirimkan ucapan tahniah dari Serbia dan mendoakan pasukan meraih kejayaan dalam Piala Asia.

Selepas pertembungan di Hong Kong, Singa tiba di Terminal 2, Lapangan Terbang Changi, pada 19 November dan dijemput sekitar 200 peminat.

Peminat menunggu ketibaan pemain Singa di Terminal 2, Lapangan Terbang Changi pada 19 November.
Peminat menunggu ketibaan pemain Singa di Terminal 2, Lapangan Terbang Changi pada 19 November. - Foto BH oleh KHALID BABA

Ikon bola sepak Singapura, Fandi Ahmad, berkata kejayaan itu akan sentiasa terpahat dalam ingatan peminat tempatan.

“Kemenangan yang luar biasa, pasukan kita telah menulis sejarah baru bola sepak Singapura!

“Tahniah kepada semua pemain, barisan jurulatih dan para penyokong.

“Ini merupakan hari yang akan dikenang sepanjang hayat kita,” katanya kepada BH.

Teman pasukan Fandi, yang merupakan ‘Dream Team’ Piala Malaysia 1994, Malek Awab, pula berkata kemenangan tersebut merupakan satu kebangkitan pasukan bola sepak tanah air.

Bekas pemain tengah Singa, Rafi Ali, pula berkata:

“Para pemain menunjukkan ketabahan dan semangat berjuang yang tinggi.

“Diharapkan generasi muda akan mendapat inspirasi daripada mereka dan berusaha keras untuk mencipta lebih banyak detik bersejarah bagi bola sepak Singapura”.

Shahdan Sulaiman, yang membesar bersama beberapa pemain kanan seperti Hariss Harun, Izwan Mahbud, dan Safuwan Baharudin, berkata kejayaan itu memecahkan halangan yang telah lama wujud dan menetapkan penanda aras baru untuk bola sepak Singapura.

“Boleh dirasai bahawa inilah titik permulaan momentum.

“Ia memecahkan had yang selama ini dianggap mustahil dalam bola sepak Singapura. Ini bukan sekadar kelayakan, tetapi sebuah wadah, sebuah pemangkin,” ujarnya.

Seorang peminat Singa, Encik Muhammad Fauzi Wahid, tidak ingin melepaskan peluang untuk menyaksikan malam bersejarah itu.

Walaupun televisyen di rumah beliau rosak, Encik Fauzi bergegas ke Our Tampines Hub pada 18 November untuk turut serta bersama 500 peminat dalam acara menonton bersama perlawanan itu.

“Pencapaian ini ialah sesuatu yang membanggakan. Kita lihat banyak negara jiran sudah maju dan mempunyai pemain import dalam pasukan mereka, namun kita dapat beraksi dengan sangat baik,” katanya.

Terima kasih Singa kerana mencipta sejarah pada malam ini! Selepas kekecewaan selama beberapa tahun, Singa berjaya layak ke Piala Asia buat kali pertama berdasarkan prestasi mereka. (Pada 1984, Singapura pernah mengambil bahagian sebagai tuan rumah). Dan terima kasih kepada semua pemain Singa atas permainan berpasukan yang hebat dan keberanian beraksi di hadapan penyokong tuan rumah yang ramai di Stadium Kai Tak.
Presiden Tharman Shanmugaratnam.

Kemenangan yang luar biasa, pasukan kita telah menulis sejarah baru bola sepak Singapura! Tahniah kepada semua pemain, barisan jurulatih dan para penyokong. Ini merupakan hari yang akan dikenang sepanjang hayat kita.
Fandi Ahmad, legenda bola sepak Singapura.

Sepanjang lima perlawanan lalu, Singa kita benar-benar bermain dengan sepenuh hati. Kepada semua peminat Singapura di mana jua anda berada, mari berikan sokongan padu kepada Singa dalam perjalanan menuju Piala Asia!
Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Negara Kanan (Pendidikan), Encik David Neo.

Para pemain menunjukkan ketabahan dan semangat berjuang yang tinggi. Diharapkan generasi muda akan mendapat inspirasi daripada mereka dan berusaha keras untuk mencipta lebih banyak detik bersejarah bagi bola sepak Singapura.
Rafi Ali, bekas pemain tengah Singa.

Sejarah bola sepak Singapura telah berubah!
Tsutomu Ogura, bekas jurulatih pasukan Singa.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg