Kejohanan Sepak Takraw Terbuka akan diadakan buat julung kalinya pada 2025 oleh Konfederasi Sepak Takraw Singapura (CSS).
Ia dianjurkan dengan kerjasama Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) dan disokong Jalur Budaya Geylang Serai.
Pertandingan tersebut akan berlangsung di Anjung@Wisma Geylang Serai selama dua hari, 18 dan 19 Januari.
“Acara ini bertujuan mempamerkan daya tarikan unik sepak takraw, memupuk penglibatan masyarakat dan memberi inspirasi kepada penyertaan yang lebih banyak dalam sukan ini,” kata Presiden CSS, Salim Ebrahim Marican.
Mayor CDC South East, Encik Mohd Fahmi Aliman, penyokong sukan tempatan, juga akan menyaksikan pertandingan itu sebagai tetamu terhormat pada 18 Januari, 10 pagi.
Selain itu, sempena menyambut ulang tahun ke-60 Singapura (SG60), pertandingan itu akan melibatkan 60 pasukan regu untuk kategori sekolah bawah umur 15 tahun, lelaki bawah 21 tahun, dan kategori kuadran lelaki terbuka.
“Dengan melibatkan pemain sekolah dalam kategori bawah umur 15 tahun, kami berhasrat memupuk bakat muda dan memberi inspirasi kepada peminat sepak takraw masa depan,” jelas Setiausaha Agung CSS, Shamsuri Hasberi.
Terdapat juga peraduan timbang bola individu di mana 60 peserta akan menimbang bola selama dua minit sebanyak kali mungkin untuk muncul sebagai juara.
Acara yang julung kali diadakan itu merupakan satu langkah penting dalam pembangunan sepak takraw di negara ini.
Anjuran pertandingan itu adalah antara usaha CSS untuk bekerjasama dan mendapatkan pengiktirafan Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA), agar dapat memajukan lagi status sepak takraw di Singapura.
Perkara itu penting untuk membantu CSS mencapai matlamat menyatukan dan memberi inspirasi kepada komuniti sepak takraw di Singapura.
Menurut Shamsuri, CSS komited memupuk bakat, menggalak penglibatan komuniti, dan mempromosikan nilai kesukanan melalui sepak takraw.
“Selain adanya pertandingan, acara ini mempamerkan sambutan kemasyarakatan, budaya, dan kecekapan pemain, memupuk ekosistem sepak takraw yang berkembang maju,” kata Shamsuri.
Beliau juga mengalu-alukan orang ramai untuk menyaksikan dan menjayakan pertandingan itu.
“Bersama-sama, marilah kita menjayakan kejohanan Sepak Takraw terbuka CSS, memberi inspirasi dan membuka jalan untuk masa depan sepak takraw di Singapura,” ujar beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg