Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Konfederasi Sepak Takraw S’pura didaftar rasmi, rancang mohon keanggotaan Istaf

Salim lahir hasrat bagi CSS jadi Persatuan Sukan Nasional (NSA) baru untuk sepak takraw di S’pura
Jul 2, 2024 | 2:20 PM
Presiden Konfederasi Sepak Takraw Singapura (CSS), Salim Ebrahim Marican (enam dari kiri), ketika mengadakan pertemuan dengan para jurulatih dan pengadil sepak takraw tempatan untuk mendapat sokongan bagi pembentukan badan itu pada 23 Disember 2023.
Presiden Konfederasi Sepak Takraw Singapura (CSS), Salim Ebrahim Marican (enam dari kiri), ketika mengadakan pertemuan dengan para jurulatih dan pengadil sepak takraw tempatan untuk mendapat sokongan bagi pembentukan badan itu pada 23 Disember 2023. - Foto fail

Setelah hampir tujuh bulan menunggu, Konfederasi Sepak Takraw Singapura (CSS) – satu gabungan melibatkan 10 persatuan sepak takraw tempatan, bersama Rangkaian Sukan Masyarakat (CSN) tempatan – telah didaftar secara rasmi dengan Pejabat Pendaftar Persatuan (ROS), kata Presiden CSS, Salim Ebrahim Marican.

Pendaftaran yang dianggap “detik penting” dalam pembentukan CSS itu telah berkuat kuasa sejak 14 Jun.

CSS mengemukakan permohonan kepada ROS pada 20 November 2023.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada 2 Julai, Salim berkata:

“Detik penting ini menandakan satu langkah ke hadapan yang penting dalam sejarah pertubuhan kami, membolehkan kami mencapai objektif dengan tujuan dan dedikasi yang lebih besar.”

Sebelumnya, Salim telah menyatakan hasratnya agar CSS menjadi Persatuan Sukan Nasional (NSA) baru untuk sepak takraw di Singapura – menggantikan Persekutuan Sepak Takraw Singapura (Perses) – dan yakin boleh mendapat pengiktirafan daripada Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf).

Pada 2 Julai, Salim, bekas Naib Presiden Perses, berkata CSS sedang merancang mengadakan pertemuan dengan Istaf untuk memaklumkan kepada mereka mengenai pembentukan CSS di Singapura dan memohon keahlian dalam pertubuhan dunia itu.

“Gabungan ini akan mengukuhkan lagi kedudukan kami dan menyelaraskan matlamat kami dengan piawaian antarabangsa,” kata beliau.

Pada 4 November 2023, Perses, yang ditubuhkan sejak 1960, telah hilang keanggotaannya dalam Istaf.

Ini setelah Presiden Perses, Nasri Haron, dan Setiausaha Agung Perses, Zahid Abdul Aziz, masing-masing digantung pembabitan selama 10 dan lima tahun dalam sukan itu – di dalam dan luar negara – oleh Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) pada November 2022.

Nasri didakwa telah membuat kenyataan bertulis yang dianggap tidak sopan, menghina dan tidak sesuai. Beliau turut dikatakan cuba mengganggu dan/atau menjejas kestabilan pentadbiran Astaf.

Zahid, antara lain, didakwa “secara sengaja atau dengan niat jahat, membuang atau mengeluarkan secara tidak wajar dan/atau menyebabkan kerugian harta Astaf bernilai AS$9,700 ($13,176) tanpa pengetahuan Astaf”.

Mereka turut dilarang melibatkan diri dalam pengurusan atau kegiatan Perses.

Penamatan keanggotaan antarabangsa menyebabkan Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC) mengutus surat kepada Perses untuk memaklumkan ia tidak lagi layak menjadi anggotanya. 

Di bawah perlembagaan SNOC, sebuah badan perlu diiktiraf oleh persekutuan antarabangsa, seperti Istaf, untuk menjadi NSA.

Salim menambah CSS juga sedang membangunkan pelan induk yang menyeluruh selama empat tahun bagi mengembangkan sukan sepak takraw setempat.

Pelan itu akan memberi tumpuan pada pembangunan belia Bawah 18 Tahun (U18) dan pertandingan elit bagi U21 dan kategori terbuka, khususnya pada acara regu, ganda dan kuadran untuk lelaki dan wanita.

“Matlamat utama kami adalah untuk menyatu dan mempersiapkan kelab sepak takraw di seluruh Singapura, mempromosikan penyertaan aktif dalam kejohanan tempatan utama,” ujarnya.

CSS turut merancang menganjurkan mesyuarat dewan bandaran dengan pihak berkepentingan, sekolah-sekolah, Institut Pendidikan Teknikal (ITE), kelab masyarakat dan kelab tempatan dalam tempoh dua tahun akan datang. 

Ia bertujuan untuk memupuk pertumbuhan sepak takraw di peringkat sekolah tanpa mengira kaum dan latar belakang di samping menggalak kerjasama serta penglibatan masyarakat lebih luas.

Salim menambah: “Dengan pendaftaran rasmi ini, kami bersedia untuk memacu pembangunan sepak takraw di Singapura, mempromosikan komuniti sukan yang bertenaga dan inklusif.

“Bab baru ini memperkasakan kami untuk mencipta peluang yang bermakna bagi atlet, memupuk bakat muda dan meningkatkan sukan ini ke tahap yang baru.”

Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH) mengenai keinginan CSS untuk menjadi NSA yang mengendalikan sepak takraw Singapura, SNOC berkata:

“CSS telah menyuarakan minat kepada SNOC dan Majlis Sukan Singapura (SportSG) untuk menjadi anggota SNOC.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg