Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kejohanan Singapore Smash akan diadakan hari kedua Tahun Baru Cina

Nov 14, 2024 | 3:54 PM
Koen Pang dan Izaac Quek (kanan) dari Singapura meraih satu mata menentang Javen Choong dan Wong Qi Shen dari Malaysia dalam Sukan SEA ke-32 di Dewan Pingpong Morodok Techo di Phnom Penh, Kemboja pada 14 Mei 2023. Singapura tewaskan Malaysia 3-1 dan menang pingat emas.
Koen Pang dan Izaac Quek (kanan) dari Singapura meraih satu mata menentang Javen Choong dan Wong Qi Shen dari Malaysia dalam Sukan SEA ke-32 di Dewan Pingpong Morodok Techo di Phnom Penh, Kemboja pada 14 Mei 2023. Singapura tewaskan Malaysia 3-1 dan menang pingat emas. - Foto fail

Tahun ular dalam kalendar Cina pada 2025 akan dimulakan dengan pemain tenis meja Singapura beraksi mulai hari kedua Tahun Baru Cina di Singapore Smash dari 30 Januari hingga 9 Februari.

Pada 12 November, Tenis Meja Dunia (WTT) melancarkan kalendar 2025, yang merangkumi empat pertandingan Grand Smash.

Siri Juara WTT juga ditambah daripada lima kepada enam acara musim ini.

Singapura akan menjadi tuan rumah Grand Smash pertama pada 2025, dengan siri itu akan beralih ke Amerika Syarikat dari 3 hingga 13 Julai, lokasi baru dari 14 hingga 24 Ogos, sebelum berakhir pada 25 September hingga 5 Oktober.

Saudi Smash, yang pertama kali diadakan pada 2024, tiada dalam kalendar 2025.

Menurut laporan The Straits Times, agensi sukan kebangsaan Majlis Sukan Singapura bekerjasama dengan WTT – cabang komersial Persekutuan Tenis Meja Antarabangsa – untuk melanjutkan acara itu selama lima tahun.

Kelayakan akan diadakan dari 30 Januari hingga 1 Februari dan undian utama bermula pada 2 Februari.

Pemain nombor 83 dunia asal Singapura Izaac Quek tidak sabar bermain di hadapan orang ramai di Arena OCBC.

Pemain berusia 18 tahun itu, yang berkemungkinan bertanding dalam undian utama berkata:

“Ia tidak banyak menjejas saya. Walaupun ia adalah tempoh Tahun Baru Cina, sama saja untuk saya.

“Saya punyai beberapa hari sebelum itu untuk meraikan sebelum kejohanan saya bermula, tetapi saya masih perlu fokus untuk menyediakan diri saya untuk kejohanan.

“Singapore Smash adalah satu-satunya kejohanan yang saya nantikan dan paling saya gemari sepanjang tahun kerana saya akan beraksi di salah satu kejohanan antarabangsa peringkat tertinggi di hadapan penonton tuan rumah dan saya sangat menikmati perasaan itu.”

Rakan sepasukan, Koen Pang, 22 tahun, yang berada di ranking ke-123 dunia, menambah:

“Ini adalah pentas besar bagi kami untuk berpeluang bermain menentang pemain hebat, dan saya berjaya meraih banyak pengajaran yang baik daripada orang yang saya lawan di pertandingan itu.”

Persatuan Tenis Meja Singapura (STTA) berkata bahawa pemain akan diberi masa rehat dari latihan untuk menyertai jamuan sempena Tahun Baru Cina.

Hadiah wang tunai dan mata kedudukan, menanti pemain di acara bernilai AS$1.5 juta ($2 juta) itu.

Pada 2023, Quek mengejutkan juara Sukan Komanwel India, Sharath Kamal Achanta dan pemenang pingat perak Kejohanan Dunia 2019 Sweden, Mattias Falck sebelum tewas kepada pemain nombor 3 dunia China ketika itu, Wang Chuqin dalam pusingan 16 terakhir.

Quek memperoleh AS$15,000 dan 175 mata, yang membantunya tembus ke peringkat 100 teratas dunia.

Pang juga menembusi peringkat 100 teratas selepas mencapai pusingan 32 untuk memperoleh AS$10,000 dan 90 mata.

Pada 2024, pasangan itu berjaya mara ke suku akhir beregu lelaki untuk memenangi AS$3,500 dan 350 mata. Mereka telah mendaki ke peringkat 10 dunia, ranking tertinggi dalam kerjaya mereka.

Jurucakap STTA berkata: “Acara ini menawarkan pemain peluang berharga untuk bersaing dengan pemain terbaik dunia. Ia juga memberi peluang kepada peminat untuk menyaksikan pemain Singapura beraksi di dalam negara.

“Untuk STTA, ini adalah saat yang hebat untuk meningkatkan profil pemain.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg