SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Kejohanan Terbuka Bola Pikel sulung OCBC-Great Eastern pada Okt

Kejohanan Terbuka Bola Pikel sulung OCBC-Great Eastern pada Okt

Hampir 1,600 peserta dijangka bertanding sepanjang tiga hari
Apr 7, 2026 | 12:54 PM

Kejohanan Terbuka Bola Pikel sulung OCBC-Great Eastern pada Okt

bola pikel, Kejohanan OCBC-Great Eastern, sukan di Singapura
Semua perlawanan dalam edisi pertama bola pikel terbuka OCBC-Great Eastern pada Oktober 2026 akan dimainkan dalam format beregu, dan pasukan boleh dibentuk dalam sebarang kombinasi jantina – dua lelaki, dua perempuan atau pasangan campuran. - Foto OCBC

Edisi pertama Terbuka Bola Pikel OCBC-Great Eastern akan berlangsung pada Oktober ini di Arena OCBC di The Kallang, dengan hampir 1,600 peserta dijangka bertanding sepanjang tiga hari kejohanan tersebut.

Dalam satu kenyataan pada 6 April, OCBC menyifatkan acara dari 23 hingga 25 ​​Oktober itu sebagai salah satu kejohanan bola pikel terbesar di Asia Tenggara.

Tempat asal pertandingan itu ialah Stadium Negara yang lebih besar, tetapi bank itu berkata Arena OCBC yang berhawa dingin akhirnya dipilih kerana ia lebih menarik dan akan memberikan pengalaman lebih baik kepada peserta.

Terdapat dua kategori awam – Novis (Baru) dan Terbuka – untuk memenuhi keperluan pemain rekreasi dan kompetitif.

Semua perlawanan akan dipertandingkan dalam format beregu, dan pasukan boleh terdiri daripada sebarang kombinasi jantina – dua lelaki, dua wanita atau pasangan campuran.

Kategori Novis adalah buat mereka yang mempunyai pengalaman bermain kurang daripada 24 bulan dan yang belum memenangi pingat dalam mana-mana kejohanan bola pikel tempatan atau luar negara.

Kategori Terbuka adalah bagi pemain yang mempunyai pengalaman lebih daripada 24 bulan dan sebelum ini pernah memenangi pingat dalam kejohanan.

Anak syarikat perbankan swasta OCBC, Bank of Singapore, juga akan menganjurkan dua kategori korporat – cabaran korporat yang terbuka kepada orang ramai, dan kejohanan eksklusif bagi peserta yang diundang.

Dalam beberapa bulan akan datang, The Kallang Group akan menganjurkan 24 bengkel untuk pemula yang ingin belajar cara bermain bola pikel.

Sesi itu akan diadakan di gelanggang baru di sepanjang Great Eastern Promenade di Stadium Negara yang dibuka pada Januari.

Setiap sesi dua jam boleh disertai sehingga 36 pemain dan terdiri daripada tiga segmen yang akan diketuai jurulatih profesional.

Ketua jenama dan komunikasi kumpulan OCBC, Cik Koh Ching Ching, berkata “kerjasama kukuh” dengan The Kallang telah membantu menjadikan program bola pikel selama hampir setahun ini satu kenyataan, bermula dengan bengkel pengenalan dan memuncak dengan salah satu kejohanan terbesar di rantau ini.

“Ini memberi masyarakat peminat bola pikel yang semakin berkembang lebih banyak peluang untuk mempelajari sukan ini, mengasah kemahiran mereka, bermain lebih lama dan berjaya secara kompetitif dalam persekitaran yang menyokong.

“Kami mengalu-alukan pemain daripada semua peringkat umur untuk beraksi di gelanggang di The Kallang dalam beberapa bulan akan datang,” katanya.

Pendaftaran untuk acara Terbuka Bola Pikel akan bermula pada 27 Julai, dengan butiran lanjut akan dikongsi di laman web rasmi menjelang tarikh tersebut.

Pendaftaran bagi bengkel kini dibuka dan orang ramai boleh mendaftar di laman web The Kallang.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg