AUSTIN (Amerika Syarikat): Ketua pasukan McLaren, Andrea Stella, berkata kejuaraan pemandu Formula Satu (F1) masih dalam genggaman pasukannya walaupun Max Verstappen daripada Red Bull mempamerkan aksi dominan pada 20 Oktober dalam Grand Prix Amerika Syarikat.
McLaren sudah pun memenangi kejuaraan konstruktor (pasukan pereka kenderaan) buat tahun kedua berturut-turut, dan kini pelumba Australia, Oscar Piastri, mendahului kedudukan pemandu dengan kelebihan 14 mata mengatasi rakan sepasukan dari Britain, Lando Norris.
Pasukan dari Woking, England, itu kali terakhir memenangi kejuaraan pemandu bersama Lewis Hamilton pada 2008 dan tidak pernah mencatatkan kejayaan berganda (pemandu dan konstruktor) sejak 1998.
Verstappen, yang memburu gelaran kelima berturut-turut, kini ketinggalan 40 mata, tetapi telah berjaya merapatkan jurang daripada 104 mata pada akhir Ogos dengan tiga kemenangan dalam empat perlumbaan terakhir.
Masih berbaki lima pusingan lagi.
“Saya rasa dari segi prestasi, perlumbaan hari ini (20 Oktober) memberikan sedikit kelegaan kerana walaupun Lando perlu bertarung dengan Charles (Leclerc) – satu pertarungan yang menghiburkan – saya yakin Lando ada kelajuan untuk menang,” kata Stella kepada media.
“Dari segi prestasi, kami yakin bahawa kelajuan kami cukup untuk bersaing bagi kemenangan.”
Norris bermula dari barisan depan dan Verstappen di petak utama, namun Leclerc dari Ferrari berjaya memotong pada awal perlumbaan dengan tayar lembut.
Norris kemudian terpaksa berhempas-pulas untuk merampas semula kedudukan itu, dan berjaya dua kali.
Verstappen juga menang dalam perlumbaan pantas jarak dekat (’sprint’) pada 19 Oktober dari petak utama, sementara Norris dan Piastri terlibat dalam pelanggaran yang menyebabkan mereka gagal menamatkan perlumbaan 100 kilometer itu – satu kerugian besar yang turut menjejaskan persiapan untuk perlumbaan utama kerana kekurangan data.
Stella mengulangi pendiriannya bahawa Verstappen masih menjadi pencabar utama kejuaraan itu.
“Bagi saya, tiada rahsia. Kita semua tahu apabila Max mempunyai jentera yang cukup baik, beliau jadi pencabar yang sangat serius. Jadi ini tidak mengubah pandangan kami terhadap situasi semasa, dan tidak mengubah apa yang kami lakukan,” tambahnya.
“Kami hanya perlu terus memaksimumkan prestasi dan kekal konsisten sepanjang hujung minggu perlumbaan. Keputusan musim ini dan kejuaraan pemandu masih dalam tangan kami, bukan orang lain. Itulah cara pemikiran yang kami mahu kekalkan.”
McLaren belum lagi menang sejak kemenangan Piastri di Grand Prix Belanda pada 31 Ogos, menjadikannya empat perlumbaan berturut-turut tanpa kemenangan.
“Hakikat bahawa masih ada lima perlumbaan dan dua perlumbaan jarak dekat memberi peluang untuk kami menjauhkan lagi kedudukan dari Max. Saya rasa litar yang akan datang lebih sesuai dengan kereta kami, dan masih ada potensi yang belum kami capai sepenuhnya daripada jentera ini,” tambah Stella.
Perlumbaan seterusnya, iaitu pusingan ke-20 daripada 24 musim ini, akan berlangsung pada 27 Oktober di Mexico City. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg