LONDON: Ketua McLaren, Zak Brown, menafikan dengan keras dakwaan bahawa beliau menentang pengambilan Oscar Piastri, yang kini pendahulu Kejuaraan Formula Satu (F1), sebagai pelumba baru tiga tahun lalu, sambil menyifatkan tuduhan itu sebagai “tidak masuk akal”.
Juara Indianapolis 500 dan juara empat kali perlumbaan IndyCar, Alex Palou, berkata dalam prosiding mahkamah di London bahawa Brown memberitahunya pada penghujung 2022 bahawa pengambilan pelumba dari Australia itu bukanlah keputusannya.
Menjelang Grand Prix Amerika Syarikat di Texas pada 19 Oktober, di mana Piastri sedang berusaha mengekalkan kelebihan 22 mata ke atas rakan sepasukannya dari Britain, Lando Norris, Brown menolak dakwaan Palou itu.
“Saya tidak pasti dakwaan mana yang lebih lucu bagi saya – dakwaan bahawa saya bukan orang yang membuat keputusan penting tentang barisan pelumba kami, atau dakwaan bahawa saya tidak bersetuju dengan pengambilan Oscar Piastri yang sangat berbakat,” kata Brown.
“Kedua-dua dakwaan itu jelas tidak masuk akal - dan sesiapa yang mengikuti sukan ini pasti boleh lihat perkara sebenar,” tambah beliau.
Palou memberitahu mahkamah bahawa Brown mengatakan keputusan itu dibuat oleh bekas ketua pasukan, Andreas Seidl, yang kini telah meninggalkan McLaren.
“Zak memberitahu saya bahawa prestasi Oscar akan dinilai berbanding saya untuk kedudukan pada 2024,” kata Palou.
Seidl mengendalikan McLaren dari Januari 2019 hingga Disember 2022.
Sebelum itu, beliau mengetuai pasukan perlumbaan lasak Porsche, yang salah seorang pelumbanya ialah pengurus dan rakan senegara Piastri, Mark Webber.
Brown, yang menyertai McLaren sejak 2016 dan dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif pada 2018, bertanggungjawab sepenuhnya terhadap operasi perniagaan pembuat kenderaan F1 itu.
Komen Palou yang menjadi tumpuan media tentang Piastri mencetuskan kontroversi di Australia, di mana terdapat kebimbangan McLaren mungkin memihak kepada Norris dalam persaingan sengit bagi merebut kejuaraan pelumba.
Fokus kini beralih kepada kedua-dua pelumba McLaren itu, dengan Piastri berusaha menjadi juara F1 ketiga dari negaranya, dan yang pertama sejak Alan Jones pada 1980.
Piastri masih belum memberikan komen mengenai perkara itu tetapi dijadualkan bercakap dengan pihak media di Austin, Texas, pada 16 Oktober.
McLaren Racing menuntut sekitar AS$20 juta ($25.9 juta) daripada Palou dalam kes yang dijangka berlanjutan hingga November, selepas pelumba berusia 28 tahun itu menarik diri daripada kontrak perpindahan tiga tahun lalu dan kekal bersama pasukan IndyCar, Chip Ganassi Racing (CGR).
Palou mengakui pelanggaran kontrak itu tetapi berkata beliau tidak berhutang apa-apa kepada McLaren. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg