Topik diikuti
Pergi ke BHkuKejutan, kontroversi warnai F1 awal musim 2026
Kejutan, kontroversi warnai F1 awal musim 2026
Daripada peraturan baharu hingga kebangkitan pelumba muda dan mapan selepas 11 perlumbaan
Kejutan, kontroversi warnai F1 awal musim 2026
BRITAIN: Pasukan Formula Satu (F1) kini memasuki cuti musim panas selepas mengharungi 11 perlumbaan pertama yang cukup sibuk, sekali gus membuka tirai era baharu sukan itu.
Musim F1 2026 dipenuhi pelbagai cerita menarik, daripada kontroversi mengenai peraturan baharu, kemunculan bintang muda, kebangkitan semula nama besar, sehinggalah gangguan kalendar perlumbaan akibat peperangan.
Malah, ketika semua pasukan bercuti selama beberapa minggu, mereka sendiri masih belum pasti berapa banyak lagi perlumbaan yang tinggal musim ini.
Berikut tiga perkara utama yang dipelajari setakat ini.
Antonelli layak jadi calon juara
Kimi Antonelli memasuki F1 pada 2025 dengan reputasi sebagai pemain paling berbakat generasinya.
Namun musim pertamanya tidak begitu menyerlah dan gagal memenuhi jangkaan ramai.
Keadaannya jauh berbeza musim 2026 ini.
Pada awalnya, ramai menjangkakan 2026 akan menjadi milik rakan sepasukannya, George Russell.
Mercedes memenuhi ramalan sebagai pasukan paling kompetitif, dengan meraih lapan kemenangan dan 10 petak utama dalam 11 perlumbaan pertama.
Russell pula sebelum ini jelas mengatasi Antonelli sepanjang musim permulaan pelumba muda Italy itu.
Namun prestasi Antonelli berkembang dengan begitu pesat.
Walaupun Russell memulakan musim dengan kemenangan, Antonelli tidak mengambil masa lama untuk mengambil alih status pelumba utama pasukan.
Pada awal musim, prestasi Russell sedikit terjejas akibat nasibnya yang malang dalam beberapa perlumbaan.
Namun, seiring musim berjalan, semakin jelas bahawa Antonelli kini lebih menyerlah berbanding rakan sepasukannya.
Ketika Russell masih bergelut mendapatkan keserasian dengan jentera dan terus nasib malang, Antonelli pula kelihatan begitu serasi dengan keretanya dan mampu memandu pada kelajuan maksimum.
Selain pantas, gaya memandunya cukup yakin, berani dan tenang.
Pada usia baru 19 tahun, Antonelli dijangka menjadi pencabar paling sukar untuk ditewaskan untuk baki musim ini.
Peraturan baharu masih banyak kekurangan
Musim 2026 menyaksikan Formula 1 memperkenalkan perubahan teknikal terbesar dalam sejarahnya melibatkan casis dan unit kuasa.
Dari sudut aerodinamik, perubahan itu secara keseluruhannya dianggap berjaya walaupun jentera sedikit lebih perlahan berbanding 2025.
Namun, pembaharuan enjin menerima kritikan hebat.
Gabungan kuasa pembakaran dalaman dan elektrik yang hampir seimbang menyebabkan unit kuasa sering mengalami kekurangan tenaga.
Apabila bateri habis, jentera hanya menghasilkan sekitar 540 kuasa kuda, lebih rendah daripada kereta Formula 3 walaupun mempunyai tahap cengkaman jauh lebih tinggi.
Akibatnya, pelumba perlu sentiasa mengecas semula bateri, sekali gus mengubah banyak selekoh ikonik kepada kawasan untuk menjana tenaga semula.
Memang wujud perlumbaan yang lebih menarik dengan pertukaran kedudukan berulang kali atau dikenali sebagai yo-yo racing.
Tetapi kebanyakan pelumba berpendapat aksi itu tidak berlaku secara semula jadi.
Banyak pintasan berlaku hanya kerana seorang pelumba memiliki hampir 470 kuasa kuda lebih daripada lawannya pada ketika tertentu.
Juara dunia empat kali, Max Verstappen, turut mengkritik keadaan tersebut.
Menurutnya, walaupun ada yang menganggap perlumbaan sekarang menarik, cara perlumbaan berlangsung sebenarnya tidak mencerminkan perlumbaan sebenar F1.
Beliau juga mengakui sudah lama menjangkakan masalah ini akan berlaku dan mula bosan mengulangi perkara sama setiap kali ditanya.
Formula 1 akhirnya bertindak pantas dengan mengubah sedikit peraturan selepas hanya tiga perlumbaan.
Menjelang 2028, nisbah penggunaan kuasa juga akan diubah kepada 60-40, dengan pelaksanaan awal bermula musim depan.
Langkah itu dijangka mengurangkan masalah, walaupun tidak menghapuskannya sepenuhnya.
Hakikatnya, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) sudah menerima pelbagai amaran sebelum musim 2026 bahawa isu kekurangan tenaga ini pasti berlaku.
Keadaan itu membuka ruang kepada Presiden FIA, Mohammed Ben Sulayem, mencadangkan Formula 1 kembali menggunakan enjin V8 tanpa turbo bermula 2031.
Namun cadangan tersebut tidak mendapat sokongan meluas.
Ramai melihat masalah sebenar bukan terletak pada enjin hibrid atau turbo, sebaliknya kekurangan sistem pemulihan tenaga.
Apa yang diperlukan sekarang ialah F1 merancang semula hala tuju unit kuasanya secara lebih menyeluruh supaya memenuhi keperluan pengeluar, mesra alam, lebih murah, memberi kuasa penuh kepada pelumba dan pada masa sama menghasilkan perlumbaan yang lebih menarik.
Hamilton (hampir) kembali temui rentaknya
Musim pertama Lewis Hamilton bersama Ferrari pada 2025 merupakan detik paling sukar dalam kerjayanya.
Juara dunia tujuh kali itu sendiri menggelarnya sebagai satu “mimpi ngeri”.
Prestasi hambarnya bersama Ferrari, ditambah musim terakhir yang sukar di Mercedes pada 2024, membuatkan ramai mula mempersoalkan sama ada beliau sudah kehilangan taring.
Hamilton sendiri mengakui pernah meragui kemampuan dirinya.
Namun kemenangan di Grand Prix Sepanyol membuktikan sebaliknya.
Pada usia 41 tahun, Hamilton kini kembali mempamerkan aksi hampir menyamai prestasi terbaiknya.
Pertarungannya dengan Charles Leclerc yang sebelum ini berat sebelah kini cukup seimbang.
Malah Hamilton masih berada dalam perebutan kejuaraan apabila menghuni tangga kedua keseluruhan, hanya 50 mata di belakang Antonelli.
Kebangkitan ini mungkin berpunca daripada karakter jentera baharu yang lebih sesuai dengan gaya memandunya, penyesuaian lebih baik bersama Ferrari atau pasukan yang mula memenuhi kehendaknya dalam pembangunan kereta.
Mungkin juga gabungan semua faktor tersebut.
Walaupun masih ada kelemahan seperti empat penalti dalam tiga perlumbaan terakhir, kebangkitan Hamilton jelas menjadi berita baik buat dirinya dan peminat F1. – Agensi berita.