Man City diaibkan Bodo/Glimt
BODO (Norway): Kelab Norway, Bodo/Glimt, mengejutkan Manchester City dengan kemenangan 3-1 di padang sendiri dalam Liga Juara-Juara pada 20 Januari.
Ini merupakan kemenangan pertama mereka dalam kejohanan itu dan mengekalkan peluang tipis untuk mara ke pusingan kalah mati.
Bodo mengawal permainan menyusuli dua gol pantas jaringan penyerang Kasper Hogh serta jaringan solo menakjubkan Jens Petter Hauge.
Meskipun Manchester City cuba bangkit dengan gol Rayan Cherki, namun selepas Rodrigo diarahkan keluar padang pada separuh masa kedua selepas menerima dua kad kuning berturut-turut menyukarkan perjuangan City.
Jurulatih Bodo, Kjetil Knutsen, mengekalkan taktik menumpukan pada serangan balas setiap kali muncul peluang untuk menentang gergasi England yang menjuarai Liga Juara-Juara pada 2023 itu.
Taktik itu terbukti berkesan apabila para pemain Bodo memanfaatkan peluang sebaik mungkin, dan akhirnya menamatkan perlawanan dengan kemenangan selesa, meskipun kedudukan pasukan mereka jauh lebih rendah berbanding pemain lawan.
Dengan Stadium Aspmyra diselimuti angin dingin, penyerang asal Denmark, Hogh, membuka tirai jaringan dengan dua gol pantas pada pertengahan separuh masa pertama.
Gol pertamanya dijaringkan melalui tandukan cemerlang melepasi kaki Gianluigi Donnarumma, dan beberapa minit kemudian, beliau menambah jaringan kedua bagi Bodo dengan gol sempurna.
Penyerang City, Erling Haaland, gagal menonjol apabila rakan sepasukan menghadapi kesukaran menghantar bola kepadanya.
Kelemahan City dimanfaatkan sepenuhnya pada minit ke-58 apabila Hauge menjaringkan gol cantik hasil sepakan ke sudut gawang.
Gol ketiga tersebut memberi kelebihan kepada pasukan dari Lingkaran Artik itu untuk meraih kemenangan mengejut.
City cuba mendekatkan jurang mata melalui gol jaringan Cherki pada minit ke-60, namun dua minit kemudian, Rodrigo diarahkan keluar padang selepas menerima dua kad kuning dalam masa singkat.
City bakal menentang Galatasaray dalam perlawanan terakhir kumpulan, manakala Bodo akan menentang Atletico Madrid.
Sementara itu di San Siro, Arsenal mengekalkan rekod sempurna dalam Liga Juara-Juara dengan kemenangan 3-1 ke atas Inter Milan pada 20 Januari, hasil dua gol oleh Gabriel Jesus pada separuh masa pertama dan gol jaringan Viktor Gyokeres.
Kemenangan ketujuh daripada tujuh perlawanan itu menjamin Arsenal menamatkan saingan kumpulan dalam dua tempat teratas, sekali gus mendapat kelebihan bermain di padang sendiri sehingga pusingan separuh akhir.
Mereka kini mendahului kedudukan dengan 21 mata, enam mata di depan Bayern Munich yang akan menentang Union Saint-Gilloise pada 21 Januari.
Di London, Tottenham Hotspur mencatat kemenangan 2-0 ke atas Borussia Dortmund pada 20 Januari, mengukuhkan peluang mereka untuk mara ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara.
Gol separuh masa pertama jaringan kapten Cristian Romero dan Dominic Solanke meletakkan Spurs di kedudukan selesa, manakala Dortmund terpaksa bermain dengan 10 orang selepas Daniel Svensson dilayangkan kad merah.
Kemenangan itu menempatkan Spurs di kedudukan keempat, seterusnya berpeluang menamatkan saingan kumpulan di kedudukan lapan teratas jika mereka mencatatkan kemenangan ke atas Eintracht Frankfurt pada 28 Januari. – Reuters.

