LONDON (ENGLAND): Pemindahan penyerang Alexander Isak daripada Newcastle United kepada Liverpool dengan bayaran melepasi rekod di Britain sebanyak 125 juta paun ($217.4 juta) pada 1 September melengkapkan perbelanjaan musim panas yang lumayan bagi kelab-kelab Liga Perdana England (EPL).
Pemindahan penyerang Sweden itu, dan beberapa lagi pembelian pemain pada hari terakhir tempoh jendela perpindahan EPL, seperti penyerang Brentford Yoane Wissa oleh Newcastle dengan bayaran 55 juta paun, membawa perbelanjaan semua kelab EPL mencecah 3 bilion paun buat kali pertama.
Perbelanjaan musim EPL 2025/2026 adalah yang terbesar sejauh ini, bahkan melebihi jumlah 2.7 bilion paun pada musim EPL 2022/2023.
Ini belum termasuk perbelanjaan sewaktu jendela perpindahan EPL pada Januari 2026.
Pada tempoh jendela perpindahan EPL yang baru tamat, kesemua 20 kelab telah membelanjakan 650 juta paun lebih daripada jendela perpindahan EPL 2023, lapor Reuters.
Perbelanjaan kelab-kelab EPL, selepas mengira keuntungan daripada penjualan pemain masing-masing, mencecah 1.2 bilion paun.
Ini merupakan peningkatan 114 peratus berbanding dengan jendela perpindahan EPL 2024 dan 13 peratus lebih tinggi daripada jendela perpindahan EPL 2022, menurut Kumpulan Perniagaan Sukan Deloitte.
“Jendela perpindahan ketiga yang memecah rekod perbelanjaan EPL secara berturut-turut dalam tempoh empat tahun menghantar mesej yang jelas.
“Kelab-kelab (EPL) tidak menunjukkan tanda memperlahankan pelaburan mereka terhadap mencapai prestasi cemerlang dari segi pemain di padang, walaupun perbelanjaan oleh kelab-kelab di liga Eropah lain agak suram,” kata Tim Bridge, rakan kongsi utama dalam Kumpulan Perniagaan Sukan Deloitte.
Kehebatan kewangan EPL dipamerkan melalui perbelanjaan kelab-kelab itu yang menyamai 51 peratus perbelanjaan oleh lima liga Eropah utama, yang merangkumi Bundesliga Germany, LaLiga Sepanyol, Seria A Italy dan Ligue 1 Perancis.
Menurut Deloitte, purata perbelanjaan bagi empat liga Eropah yang lain itu adalah 90 juta paun.
Sementara kelab-kelab EPL mencatatkan perbelanjaan tertinggi baru, perbelanjaan di seluruh Liga Kedua Liga Bola Sepak England (EFL) mencecah 240 juta paun, iaitu 95 juta paun lebih daripada jendela perpindahan pada musim EFL yang lalu.
Catatan perbelanjaan tersebut dijana walaupun EPL mempunyai peraturan Keuntungan dan Kelestarian yang tegas.
“Keinginan yang kuat untuk mendapatkan pemain masih wujud meskipun ada kawal selia dan peraturan yang tegas. Namun, kemampanan kewangan dan perbelanjaan sepatutnya diutamakan oleh kelab-kelab untuk mengekalkan kejayaan jangka masa panjang,” kata Bridge.
Tidak hairanlah juara EPL musim 2024/2025 Liverpool, yang juga menandatangani Florian Wirtz dari Jerman dengan harga awal 100 juta paun, mendahului senarai sebagai pasukan EPL yang berbelanja paling banyak untuk jendela pemindahan pemain yang baru tamat.
Menurut laman web bola sepak Transfermarkt, perbelanjaan Liverpool yang mencecah 418 juta paun diikuti oleh Chelsea yang mengeluarkan 328 juta paun. Kelab seterusnya adalah Arsenal yang membelanjakan 293 juta paun.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg