Topic followed successfully
Go to BHkuKelab Liga Perdana berisiko terlepas kejohanan Eropah dek peraturan ketat Uefa
Kelab Liga Perdana berisiko terlepas kejohanan Eropah dek peraturan ketat Uefa
Beberapa kelab sedang usaha adakan rundingan bagi pastikan urusan dalaman selaras dengan syarat ditetapkan
Kelab Liga Perdana berisiko terlepas kejohanan Eropah dek peraturan ketat Uefa
LONDON: Tatkala persaingan memburu slot ke Eropah dalam Liga Perdana England (EPL) semakin memuncak, kehangatan urusan dokumentasi di sebalik tabir bagi memenuhi peraturan dan tuntutan Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (Uefa) juga dilihat sama sengit.
Uefa mempunyai peraturan pemilikan berbilang kelab (MCO) yang sangat ketat dan ia boleh menyebabkan sesebuah pasukan diturunkan dari satu pertandingan ke pertandingan lain, atau terus terlepas peluang beraksi di pentas Eropah.
Kelab Crystal Palace berdepan isu tersebut musim lalu apabila diturunkan daripada Liga Europa ke Liga Persidangan (Conference).
Kini, separuh daripada kelab EPL terlibat dalam beberapa bentuk aturan pemilikan berbilang kelab.
Everton, Chelsea dan Nottingham Forest masing-masing mengerahkan peguam mereka untuk mencari jalan penyelesaian sebelum tarikh akhir Uefa pada 1 Mac yang lalu.
Sementara itu, Brighton berharap agar tindakan yang telah mereka ambil tiga tahun lalu masih memenuhi piawaian yang ditetapkan.
Beberapa kelab sedang berusaha mengadakan rundingan dengan Uefa bagi memastikan urusan dalaman mereka selaras dengan syarat yang ditetapkan.
Namun, timbul persoalan sama ada usaha mereka itu mencukupi.
Peraturan pemilikan berbilang kelab
Uefa menegaskan bahawa integriti sukan adalah kepentingan asas yang tidak boleh disangkal dan menetapkan bahawa dua pasukan yang mempunyai kaitan rapat tidak dibenarkan bertanding dalam kejohanan yang sama.
Ini termasuk jumlah pegangan saham dan hak mengundi dengan pegangan 30 peratus atau lebih biasanya dianggap sebagai had pelanggaran peraturan.
Turut diberi penekanan adalah ‘pengaruh penentu’ yang melibatkan pengarah atau kakitangan yang mempunyai kuasa dalam keputusan utama kelab.
Sekiranya Badan Kawalan Kewangan Kelab (CFCB) Uefa memutuskan wujudnya konflik kepentingan, maka salah satu kelab mesti disingkirkan.
Keutamaan akan diberikan kepada pasukan yang bertanding dalam kejohanan peringkat lebih tinggi – sebagai contoh, pasukan di bawah satu pemilikan yang layak ke Liga Juara-Juara akan didahulukan berbanding pasukan yang hanya layak ke Liga Europa.
Kriteria seterusnya adalah kedudukan dalam liga domestik masing-masing.
Akhir sekali, penilaian dibuat berdasarkan pekali Uefa yang buat masa ini diterajui oleh EPL.
Selepas bertahun-tahun membenarkan kelab mengemukakan jalan penyelesaian selepas mereka layak, Uefa telah mempercepatkan tarikh pematuhan pada 1 Mac mulai musim lalu.
Tindakan tersebut memerangkap tiga pasukan, dengan Crystal Palace, kelab Ireland Drogheda United, dan kelab Slovakia FC DAC 1904 menjadi pasukan pertama yang dikenakan hukuman di bawah peraturan MCO tersebut.
Ketiga-tiga kelab telah membawa kes mereka ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), namun gagal dalam rayuan tersebut.
Pada Disember 2025, Uefa menghantar pekeliling baru yang menegaskan bahawa 1 Mac kekal sebagai “tarikh akhir pematuhan yang tidak boleh dirunding”.
Hal itu mencetuskan tekanan luar biasa dalam kalangan beberapa kelab sejak penghujung Februari bagi memastikan segala urusan diselesaikan tepat pada waktunya.
Everton dan Roma
Hubungan antara Everton dengan Roma mungkin tidak begitu diketahui ramai, namun, ia berpotensi menjadi ‘kisah’ yang paling mencuri tumpuan.
Everton kini berada di tangga ke-11 EPL dan hanya kekurangan tiga mata daripada kedudukan keenam.
Mengikut keadaan semasa, kedudukan keenam akan melayakkan pasukan ke Liga Europa.
Manakala di Serie A, Roma berkongsi mata yang sama dengan pasukan di tangga kelima, Como, yang turut menawarkan slot ke Liga Europa.
Everton dan Roma dimiliki oleh Friedkin Group melalui syarikat subsidiari berbeza.
Everton diurus oleh Roundhouse Capital Holdings Limited, manakala Roma berada di bawah Romulus and Remus Investments.
Dua individu yang mempunyai peranan penting dalam Roundhouse Capital Holdings ialah Analaura Moreira-Dunkel dan Marcus Watts – kedua-duanya merupakan pegawai tinggi dalam Friedkin Group.
Mereka juga menganggotai lembaga pengarah Everton dan pernah dikaitkan dengan Roma pada tahun-tahun awal selepas pengambilalihan, namun kini tidak lagi memegang peranan jelas dalam kelab Italy tersebut.
Isu utama Everton ialah pemiliknya, Dan Friedkin, merupakan pengerusi kelab itu dan juga presiden kelab Roma.
Friedkin juga ialah individu dengan peranan penting di Pursuit Sports UK, sebuah kumpulan syarikat yang menyelaraskan operasi sukannya.
Takrifan Uefa mengenai ‘kawalan’, ‘pengaruh penentu’ dan ‘perkongsian membuat keputusan’ sangat luas.
Justeru, Everton perlu membuktikan tidak wujud sebarang risiko atau gambaran penglibatan Friedkin secara serentak dalam kedua-dua kelab tersebut.
Chelsea dan Strasbourg
Kedua-dua Chelsea dan Strasbourg berada di bawah naungan syarikat induk BlueCo, dan sekiranya mereka bertanding dalam kejohanan sama, ia bakal menjadi ujian getir terhadap dasar MCO Uefa.
Bekas pengurus, Liam Rosenior, telah meninggalkan Strasbourg untuk ke Chelsea pada Disember 2025, manakala seramai 11 pemain telah berpindah antara kedua-dua kelab pada musim ini.
Meskipun BlueCo telah melakukan beberapa perubahan, masih belum dapat dipastikan sama ada langkah tersebut mencukupi.
Pada 17 Februari, empat anggota lembaga pengarah syarikat induk Strasbourg, BlueCo Alsace, telah meletak jawatan – iaitu pengarah sukan bersama Chelsea, Paul Winstanley dan Laurence Stewart; serta pengarah Chelsea, James Pade dan Jeffrey Wilbur.
Di UK Companies House pula, pemilik bersama, Todd Boehly dan Behdad Eghbali, telah meletak jawatan sebagai pengarah BlueCo Data Limited pada 28 Februari, namun, mereka kekal menganggotai lembaga pengarah Chelsea.
Sekiranya Chelsea dan Strasbourg dibenarkan bertanding dalam kejohanan yang sama mengikut kes terdahulu, mereka berkemungkinan besar tidak dibenarkan melakukan urusan jual beli pemain sehingga Januari 2028.
Strasbourg kini menduduki tangga kelapan dalam Ligue 1, dan sekiranya mereka menjuarai Liga Persidangan, mereka akan memperoleh slot ke Liga Europa.
Dalam pada itu, Chelsea pula telah mengesahkan tempat di final Piala FA dan kemenangan dalam perlawanan tersebut juga akan melayakkan mereka ke Liga Europa.
Keadaan itu bakal memaksa Uefa untuk membuat keputusan muktamad.
Antara kelab lain yang mungkin terjejas dengan peraturan MCO ialah Nottingham Forest dan Olympiakos; Brighton, Hearts dan Union Saint-Gilloise; serta Leeds dan Rangers. – Agensi berita.
