Keluar dari zon selesa, atlet hoki raih gangsa buat negara

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Keluar dari zon selesa, atlet hoki raih gangsa buat negara

Hanya kecimpung dalam hoki 2 tahun lalu, pelajar Institut Millennia sertai skuad nasional dan menang gangsa di Sukan SEA 2025
Mar 9, 2026 | 5:30 AM

Keluar dari zon selesa, atlet hoki raih gangsa buat negara

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
hoki, skuad nasional, Rasyiqah Mohamed Fauzi,
Pemain hoki skuad nasional, Rasyiqah Mohamed Fauzi, berjaya meraih pingat gangsa bersama pasukan Singapura di Sukan SEA 2025 walaupun beliau hanya mula berjinak-jinak dengan sukan itu ketika menuntut di Institut Millennia (MI). Kejayaan tersebut dicapai ketika beliau mengimbangi komitmen latihan dan persiapan menghadapi peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘A’. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Beliau langsung tidak pernah menyentuh kayu hoki sehinggalah usianya mencecah 19 tahun.

Namun hanya dua tahun kemudian, beliau sudah beraksi di peringkat negara, mewakili Singapura dalam Sukan SEA 2025.

“Kalau orang beritahu saya dua tahun lepas yang saya akan mewakili Singapura di Sukan SEA, saya pasti tidak akan percaya,” ujar atlet hoki berusia 21 tahun itu.

Semasa sukan di Thailand itu, pemain termuda dalam skuad hoki wanita negara, Rasyiqah Mohamed Fauzi, bersama pasukannya berjaya membawa pulang pingat gangsa.

Perjalanannya dalam dunia hoki sememangnya luar biasa, dengan beliau sebenarnya terlibat dalam sukan tersebut secara tidak dirancang, namun berani menyahut cabaran dan mencuba sesuatu yang baru.

Ketika di sekolah menengah, kegiatan kokurikulumnya (CCA) juga bukan bidang sukan, sebaliknya beliau aktif dalam pancaragam sekolah sebagai pemain dram.

Namun beliau percaya masa dan pengalaman beliau dalam CCA tersebut telah mendidiknya tentang disiplin, komitmen dan ketekalan.

Apabila melangkah ke Institut Millennia (MI), beliau berasa sudah tiba masanya untuk keluar daripada zon selesa.

“Saya mahu cuba sesuatu yang lebih fizikal dan mencabar diri,” jelasnya.

Namun, sukan pilihannya pada masa itu adalah bola sepak, dengan beliau bermain sebagai penyerang.

Namun, apabila program bola sepak perempuan dihentikan, beliau digalakkan mencuba hoki.

Tanpa pengalaman langsung, keputusan itu bukan mudah baginya.

“Sejujurnya saya takut sebab memang bermula tanpa latar belakang hoki langsung. Tapi saya fikir kalau tidak cuba, saya tidak akan tahu kebolehan diri saya sendiri,” kata Rasyiqah.

Cabaran sebenar muncul apabila jurulatih memintanya menggalas posisi penjaga gawang, satu peranan yang sangat berbeza daripada pemain di padang.

“Sebagai penjaga gol, saya perlu lebih fokus dan berani... apatah kita adalah barisan terakhir pertahanan,” katanya.

Latar belakang bola sepak sedikit sebanyak membantunya dari segi gerak kaki dan refleks, namun selebihnya perlu dipelajari daripada asas.

Latihan intensif, pengulangan teknik dan pembelajaran taktikal menjadi rutin hariannya.

Perkembangannya cukup pantas sehingga membuka peluang menyertai skuad negara.

Di pentas Sukan SEA 2025, beliau muncul sebagai pemain termuda dalam pasukan.

“Pada awalnya memang rasa janggal sebab semua yang lain adalah senior dan lebih berpengalaman daripada saya,” kata beliau.

Namun, layanan rakan sepasukan yang mesra dan terbuka mengubah persepsinya.

Mereka memberi ruang untuk beliau bersuara dan memastikan beliau tidak terlalu dibebani tekanan.

Detik paling mengharukan berlaku ketika lagu kebangsaan dimainkan sebelum perlawanan.

“Air mata memang berlinangan. Semua latihan intensif, pengorbanan masa dan keletihan rasa berbaloi apabila kami menang gangsa,” katanya.

Bagi Rasyiqah, pingat itu bukan sekadar lambang kejayaan, malah, hasil kesungguhan seluruh pasukan yang saling menyokong dalam saat menghadapi cabaran mahupun detik gembira.

Semua itu berlaku ketika beliau masih bergelar pelajar dan perlu mengurus komitmen akademik termasuk peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘A’.

Jadualnya padat – latihan hoki sekolah, latihan kelabnya Crescent Hockey Club, latihan skuad kebangsaan dan ulang kaji pelajaran.

Beliau mengakui tanpa sokongan orang di sekelilingnya, perjalanan itu mungkin lebih sukar.

“Guru saya sanggup luang masa luar waktu kelas untuk konsultasi.

“Kawan-kawan saya ajak belajar bersama apabila saya tertinggal. Jurulatih pun faham bila saya perlu fokus pelajaran. Keluarga pula sentiasa beri semangat,” katanya.

Baginya, pengurusan masa adalah tanggungjawab peribadi yang perlu dipelajari seiring dengan kemahiran di padang.

Rasyiqah juga pernah menggalas tanggungjawab kepimpinan sebagai Ketua Rumah Garnet di MI.

Pengalaman itu membentuk kemahiran komunikasi dan empati.

“Sebagai pemimpin, kita perlu fikir tentang pihak lain juga. Nilai itu sama dalam hoki, kepercayaan antara rakan sepasukan sangat penting,” kongsinya.

Pendedahan kepada pelbagai peranan sepanjang hidupnya, daripada pemain dram, penyerang bola sepak, penjaga gol hoki hingga ketua rumah sekolah, menjadikannya lebih yakin berdepan keadaan berbeza.

Beliau belajar bila perlu memimpin dan bila perlu mendengar.

Rasyiqah merancang melanjutkan pengajian dalam bidang Sains Sukan dan Pengurusan di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) selain bercita-cita menjadi jurulatih sukan untuk membimbing generasi muda.

“Saya mahu terus bermain di tahap tinggi dan pada masa sama membantu pemain lebih muda berkembang,” katanya.

Beliau turut memberi nasihat kepada sesiapa yang ingin mencuba perkara baru.

“Kadang-kadang potensi kita memang berada di luar zon selesa. Jadi jangan takut untuk cuba,” ujarnya.

Penjaga gawang skuad Singapura, Rasyiqah Mohamed Fauzi (kiri), beraksi untuk sekolahnya, Institut Millennia (MI), dalam perlawanan separuh akhir Divisyen A Sukan Sekolah Kebangsaan (NSG) 2025 menentang Maktab Rendah Eunoia Junior.
Penjaga gawang skuad Singapura, Rasyiqah Mohamed Fauzi (kiri), beraksi untuk sekolahnya, Institut Millennia (MI), dalam perlawanan separuh akhir Divisyen A Sukan Sekolah Kebangsaan (NSG) 2025 menentang Maktab Rendah Eunoia Junior. - Foto INSTITUT MILLENNIA
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg