Di sebalik pingat perak yang dimenanginya di Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026, tersimpan perjalanan panjang yang diwarnai pengorbanan, rintangan dan usaha untuk kembali ke prestasi terbaiknya.

Bagi atlet memanah para negara, Nur Syahidah Alim, 41 tahun, pengiktirafan yang diterimanya di Majlis Anugerah Pencapaian Atlet pada 18 November bukan sekadar penghargaan atas kejayaannya di arena pertandingan.

Sebaliknya, anugerah itu turut mengiktiraf usaha di sebalik tabir yang sering terlepas pandang oleh umum – termasuk latihan berterusan, cabaran yang dihadapi serta kesukaran untuk membuat kemunculan semula selepas berehat seketika daripada sukan tersebut.

“Ramai melihat podium dan pingat, tetapi tidak melihat kerja keras dan pelbagai pengorbanan yang perlu dilakukan.

“Untuk kembali selepas berehat bukan sesuatu yang mudah. Saya terpaksa bermula semula dan mempercayai prosesnya.

“Jadi, anugerah ini turut menjadi milik detik-detik yang tidak dilihat (di sebalik tabir) itu,” katanya.

Syahidah memberitahu Berita Harian (BH), terlalu banyak usaha telah dicurahkan sepanjang perjalanannya, bukan sahaja daripada dirinya sendiri, bahkan juga daripada insan-insan di sekelilingnya.

“Saya berasa bangga dan gembira malam ini. Pengiktirafan ini menunjukkan bahawa apa yang kami lakukan berada di landasan yang betul. Kami akan terus melangkah ke hadapan,” katanya.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.
Nur Syahidah (tengah) meraikan kejayaan merangkul dua pingat emas semasa penampilan sulungnya di Sukan Para Asean 2015 di Singapura bersama ibu bapanya, Cik Zaharah Abdul Raub dan Encik Alim Kasim.
Nur Syahidah (tengah) meraikan kejayaan merangkul dua pingat emas semasa penampilan sulungnya di Sukan Para Asean 2015 di Singapura bersama ibu bapanya, Cik Zaharah Abdul Raub dan Encik Alim Kasim. - Foto fail

Syahidah merupakan antara tujuh atlet yang menerima pengiktirafan dalam majlis anjuran Majlis Paralimpik Kebangsaan Singapura (SNPC) pada 18 November.

Majlis tersebut mengiktiraf pencapaian atlet di Sukan Komanwel Glasgow 2026 dan Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026, yang menyaksikan Team Singapore mencatat kempen terbaiknya di Sukan Para Asia dengan 11 pingat – enam perak dan lima gangsa.

Syahidah sendiri meraih pingat perak kedua berturut-turut dalam acara individu ‘compound’ terbuka wanita, menyusuli pencapaian serupa di Hangzhou pada 2023.

Namun, perjalanan beliau dalam sukan memanah bermula jauh sebelum beliau menaiki podium di pentas antarabangsa.

Aksi bertenaga Nur Syahidah (gambar) ketika menewaskan wakil Malaysia, Nor Sa’adah Abdul Wahab, 140-132 untuk mempertahankan pingat emas acara individu ‘compound’ terbuka wanita di Sukan Para Asean 2017 di Kuala Lumpur.
Aksi bertenaga Nur Syahidah (gambar) ketika menewaskan wakil Malaysia, Nor Sa’adah Abdul Wahab, 140-132 untuk mempertahankan pingat emas acara individu ‘compound’ terbuka wanita di Sukan Para Asean 2017 di Kuala Lumpur. - Foto fail

Dilahirkan dengan palsi serebrum yang menjejas pergerakan dan koordinasinya, Syahidah pernah berdepan kesukaran untuk menyertai kegiatan sukan bersama rakan sebaya ketika di bangku sekolah.

Beliau mula mengenali sukan para ketika berusia 18 tahun selepas menghadiri ekspo sukan yang dianjurkan Majlis Sukan Kurang Upaya Singapura (SDSC).

Di situ, beliau berpeluang mencuba beberapa jenis sukan para sebelum tertarik dengan memanah.

Pengalaman pertama memegang busur dan anak panah meninggalkan kesan mendalam apabila anak-anak panah yang dilepaskannya mengenai bahagian tengah sasaran.

Kepuasan daripada percubaan itu membuatkannya ingin mencuba dengan lebih serius.

Beliau juga tertarik dengan cabaran memanah yang memerlukan kekuatan dan kawalan tubuh untuk menarik busur, sekali gus memberinya peluang menceburi sukan yang dirasakan sesuai dengannya.

Pada mulanya, Syahidah hanya berlatih secara riadah. Namun, dengan dorongan ibunya, beliau mengambil langkah untuk bertanding secara kompetitif pada 2015.

Penampilan sulungnya di Sukan Para Asean di Singapura pada tahun itu menjadi permulaan kepada kerjaya antarabangsa yang cemerlang apabila beliau meraih dua pingat emas dalam acara individu ‘compound’ wanita dan berpasukan campuran.

Setahun kemudian, beliau mencipta sejarah sebagai pemanah wanita pertama Singapura yang mewakili negara di Sukan Paralimpik Rio 2016, dan berjaya mara ke suku akhir.

Pada 2019, Syahidah sekali lagi mencatat sejarah apabila menjadi juara dunia pertama Singapura dalam sukan memanah para selepas memenangi acara ‘compound’ wanita terbuka di Kejohanan Memanah Para Dunia di Belanda.

Beliau kemudian meneruskan perjalanan di pentas tertinggi sukan, termasuk mewakili Singapura di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dan Paris 2024.

Namun, perjalanan Syahidah tidak sentiasa lancar.

Selepas kempen di Paris 2024, beliau pernah berdepan kemerosotan prestasi dan tekanan sehingga perlu menilai semula hala tujunya dalam sukan berprestasi tinggi.

“Saya hampir berhenti daripada sukan memanah. Tampil sebagai atlet nombor satu dunia di Tokyo 2020 dan Paris 2024, saya gagal beraksi seperti yang saya harapkan.

“Saya melalui fasa yang gelap. Saya hilang keseronokan dalam sukan yang telah saya ceburi selama lebih sedekad ini... saya pernah terfikir secara serius untuk mengundurkan diri daripada sukan ini,” luahnya.

Beliau mengambil sedikit masa untuk berehat, membuat refleksi dan menemukan semula kegembiraan dalam sukan memanah sebelum kembali bertanding pada 2025.

Bagi Syahidah, kejayaan itu bukan hanya tentang jumlah mata atau warna pingat, malah juga kemajuan dalam mengendalikan tekanan ketika bertanding.

“Saya masih dalam proses memperbaiki diri. Namun, saya bersyukur kerana tidak berputus asa, kerana saya masih berpeluang untuk terus berjuang, terus belajar dan terus membina kejayaan bersama pasukan yang tidak pernah membiarkan saya mengharungi perjalanan ini sendirian,” katanya.

Walaupun menerima pengiktirafan atas pencapaiannya, Syahidah tidak menganggap perjalanannya dalam sukan memanah sudah selesai.

Sebaliknya, beliau mahu terus memperbaiki diri dan berusaha melayakkan diri ke Sukan Paralimpik Los Angeles 2028, yang bakal menjadi satu lagi sasaran besar dalam kerjayanya.

“Saya masih berusaha untuk menjadi pemanah yang tidak mudah goyah dan saya rasa usaha itu tidak akan pernah berakhir sepenuhnya,” kata beliau.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti