Topik diikuti
Pergi ke BHkuPin Xiu, Moza dinobat antara atlet para terbaik 2026
Pin Xiu menang Atlet Wanita Terbaik; Moza menang Atlet Muda Wanita Terbaik
Pin Xiu, Moza dinobat antara atlet para terbaik 2026
Perenang para negara, Yip Pin Xiu, mempunyai kerjaya yang penuh dengan pingat dan telah menerima banyak anugerah selama bertahun-tahun.
Pada 4 November, beliau menambah satu lagi piala ke dalam koleksinya apabila dinobatkan sebagai Atlet Wanita Terbaik sekali lagi dalam acara Anugerah Sukan Kurang Upaya Singapura (SDSA).
Ini merupakan kali ketujuh beliau menerima anugerah itu.
Namun, beliau tetap menghargai setiap pengiktirafan kerana setiap anugerah atlet terbaik mempunyai makna tersendiri buat dirinya.
Anugerah kali ini istimewa bagi Yip, 34 tahun, yang menghidap penyakit Charcot-Marie-Tooth – keadaan yang menyebabkan keadaan otot dan deria sentuhan semakin merosot.
Anugerah itu mengambil kira pencapaian dari April 2025 hingga Mac 2026.
Antara pencapaian Yip yang diiktiraf ialah prestasinya dalam Kejohanan Renang Para Dunia 2025 di Singapura, di mana beliau memenangi pingat emas bagi 50 meter kuak lentang S2 dan pingat perak bagi 100 meter kuak lentang S2.
Ketika ditemui dalam majlis yang diadakan di Pan Pacific Singapore itu, Yip berkata: “Anugerah ini benar-benar istimewa kerana kejohanan dunia itu diadakan di Singapura. Ia juga kali pertama sebuah negara Asia menjadi tuan rumah kejohanan dunia.
“Kami bukan sahaja membawa pertandingan itu ke Singapura, malah mengajak rakyat Singapura keluar menonton dan memahami apa itu sukan para.”
Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik David Neo, hadir sebagai tetamu terhormat pada majlis itu.
Buat kali pertama, majlis itu dianjurkan bersama oleh Majlis Sukan Kurang Upaya Singapura (SDSC) dan Majlis Paralimpik Kebangsaan Singapura (SNPC).
Prestasi Yip di tanah air sendiri menjadikan jumlah keseluruhan pingatnya di kejohanan dunia itu lapan emas dan tiga perak.
Beliau juga menghargai kenangan memenangi gelaran 50 meter kuak lentang buat kali keempat berturut-turut.
Yip, yang telah tujuh kali meraih pingat emas Paralimpik, berkata: “Hakikat bahawa saya masih mampu berada di puncak adalah sesuatu yang bermakna buat saya. Bukan mudah. Setiap hari saya berjuang habis-habisan untuk kekal di sini, jadi dapat mempertahankan gelaran ini sekali lagi memang bermakna bagi saya.”
Perenang Toh Wei Soong pula dinobatkan sebagai Atlet Lelaki Terbaik buat kali kelima berturut-turut.
Toh, 28 tahun, tidak hadir pada majlis itu kerana sedang mengembara di Eropah.
Beliau meraih dua pingat perak di perhentian Jepun dan Mexico dalam Kejohanan Renang Para Dunia 2025.
Pada Januari, beliau membawa pulang lima pingat, termasuk tiga emas, dalam Sukan Para Asean (APG).
Perenang Moza Baihakki, 15 tahun, menerima anugerah Atlet Muda Wanita Terbaik selepas penampilan cemerlang pada aksi sulung antarabangsanya dalam Sukan Para Belia Asia 2025 di Dubai. Di sana, beliau memenangi dua emas, satu perak dan satu gangsa, serta mencatat rekod peribadi terbaik dalam kesemua empat acara.
Atlet boccia, Aloysius Gan, menerima anugerah Atlet Muda Lelaki Terbaik buat kali ketiga berturut-turut.
Selain emas dalam Kejohanan Boccia Dunia 2026 Astana di Kazakhstan, dan perak dalam Kejohanan Boccia Dunia 2025 Curitiba di Brazil, Gan turut memenangi gelaran individu lelaki BC3 dalam APG pada Januari.
“Saya amat berbesar hati menerima anugerah ini. Ia menjadi momentum dan inspirasi yang hebat untuk saya terus maju,” kata Gan.
“Saya mengucapkan penghargaan tinggi dan terima kasih kepada semua yang menyokong saya dalam perjalanan ini,” tambahnya.
Gan, 20 tahun, menerima dua anugerah pada malam itu.
Beliau juga dinobatkan bersama Nurulasyiqah Mohammad Taha, 41 tahun, sebagai Pasukan Terbaik, bersama rakan bertanding mereka, iaitu Eve Cher (ibu Gan) dan Nur Azizah Ahmad Rumzi.
Walaupun hanya berpasangan sejak 2024, kerjasama mereka menghasilkan keputusan yang memberangsangkan di peringkat antarabangsa.
Mereka meraih pingat perak pasukan pasangan campuran BC3 dalam Kejohanan Boccia Dunia 2025 Beijing, sebelum memenangi emas di APG.
Nurulasyiqah berkata: “Anugerah ini bukti kerja keras dan kerjasama, bukan sahaja antara saya dengan Aloysius, malah seluruh pasukan, rakan-rakan pesaing atlet, jurulatih dan semua orang di sekeliling kami.”