Dengan rekod pingat di pentas antarabangsa dan pengalaman bersaing dengan atlet terbaik dunia, lima atlet para Singapura bakal menjadi antara tumpuan di Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun dari 18 hingga 24 Oktober.

Mereka merupakan sebahagian daripada kontinjen 20 atlet negara yang akan bersaing dalam sembilan jenis sukan, dengan harapan untuk mengharumkan nama Singapura di temasya benua itu.

Daripada atlet berpengalaman yang pernah menaiki podium hingga pendatang baharu yang mahu membuktikan kemampuan, berikut lima atlet negara yang wajar diberi perhatian.

Nurulasyiqah Mohammad Taha (Boccia)

Atlet boccia veteran, Nurulasyiqah Mohammad Taha, berhasrat menambah koleksi pingat dan membawa pengalaman luasnya ke gelanggang Sukan Para Asia 2026.
Atlet boccia veteran, Nurulasyiqah Mohammad Taha, berhasrat menambah koleksi pingat dan membawa pengalaman luasnya ke gelanggang Sukan Para Asia 2026. - Foto BH oleh FANDY RAZAK

Nurulasyiqah Mohammad Taha akan berusaha meneruskan momentum selepas membuat kemunculan semula yang cemerlang di Sukan Para Asean 2026 di Thailand.

Selepas hampir 11 tahun tidak menyertai temasya itu, beliau kembali dan meraih dua pingat emas dalam acara individu BC3 dan berpasangan.

Namun, kejayaan beliau baru-baru ini bukanlah secara kebetulan, melainkan hasil pengalaman luas yang dibina bertahun-tahun.

Beliau mengukir sejarah pada 2018 dengan meraih pingat pertama Singapura di Sukan Para Asia – pingat perak dalam acara Boccia Berpasangan BC3.

Pengalaman gemilangnya turut terbukti di beberapa edisi Sukan Para Asean, termasuk merangkul pingat emas dalam acara BC3 Individu dan Berpasangan di Myanmar pada 2014.

Pengalaman serta kejayaannya baru-baru ini menjadikan beliau antara atlet yang boleh diharapkan untuk mencabar kelompok terbaik di Sukan Para Asia.

Muhammad Nur Amsyar Abdmanaf (Berbasikal para)

Pelumba basikal para negara, Muhammad Nur Amsyar Abdmanaf, bersemangat mahu menguji kemampuan menentang pelumba terbaik Asia dalam penampilan sulungnya di Sukan Para Asia.
Pelumba basikal para negara, Muhammad Nur Amsyar Abdmanaf, bersemangat mahu menguji kemampuan menentang pelumba terbaik Asia dalam penampilan sulungnya di Sukan Para Asia. - Foto FACEBOOK POLITEKNIK REPUBLIK

Bagi Muhammad Nur Amsyar Abdmanaf, Sukan Para Asia 2026 merupakan peluang untuk menguji kemampuan menentang pelumba terbaik Asia ketika membuat penampilan sulung di temasya itu.

Amsyar mula mengenali sukan berbasikal pada usia sembilan tahun selepas ibunya terbaca sebuah artikel mengenai sukan tersebut.

Sejak itu, beliau terus mengembangkan potensinya sehingga mewakili Singapura.

Beliau membuktikan kehebatannya di pentas antarabangsa apabila meraih tempat keempat dalam acara Men’s Individual Time Trial H4–H5, di Sukan Para Asean Thailand 2025, selepas mengharungi cabaran sengit.

Kini, pengalaman beraksi di Jepun bakal menjadi langkah penting dalam perkembangannya, selain memberi peluang untuk menimba pengalaman berharga demi mencapai sasarannya untuk mewakili Singapura di Sukan Paralimpik yang akan berlangsung di Los Angeles pada 2028.

Nur Syahidah Alim (Memanah para)

Pemanah para berpengalaman, Nur Syahidah Alim, bertekad mahu memburu sekali lagi tempat di podium Sukan Para Asia di Aichi-Nagoya.
Pemanah para berpengalaman, Nur Syahidah Alim, bertekad mahu memburu sekali lagi tempat di podium Sukan Para Asia di Aichi-Nagoya. - Foto SNPC

Nur Syahidah Alim akan berusaha menambah pencapaian bersejarahnya dalam sukan memanah para Singapura.

Perjalanan cemerlangnya bermula di Sukan Para Asean 2015 melalui sumbangan dua pingat emas – satu titik permulaan yang memacu perkembangan sukan memanah para di tanah air.

Beliau mula mencuri tumpuan di pentas dunia apabila muncul sebagai juara dunia memanah para pertama dari Singapura dalam kategori compound wanita pada 2019.

Pada Sukan Para Asia 2022 di Hangzhou, beliau memenangi pingat perak dalam acara compound individu wanita, sekali gus menjadi pemanah para pertama negara meraih pingat di temasya itu.

Sebagai Paralimpian tiga kali (Rio 2016, Tokyo 2020, dan Paris 2024), semangat juang Syahidah terbukti ketika beraksi di Paris 2024, di mana beliau berjuang hingga ke pusingan penyingkiran 1/16 dalam keadaan cuaca hujan dan amat sejuk.

Dengan pengalaman tersebut, Syahidah kembali sebagai antara pemanah para berpengalaman Singapura dan berharap dapat sekali lagi mencabar kedudukan podium.

Muhammad Diroy Noordin (Olahraga para)

Jaguh lontar peluru para negara, Muhammad Diroy Noordin, mahu menterjemahkan pengalamannya di pentas antarabangsa kepada pencapaian lebih cemerlang di Jepun.
Jaguh lontar peluru para negara, Muhammad Diroy Noordin, mahu menterjemahkan pengalamannya di pentas antarabangsa kepada pencapaian lebih cemerlang di Jepun. - Foto SNPC

Atlet berpengalaman Muhammad Diroy Noordin akan berusaha memanfaatkan pengalamannya di pentas antarabangsa untuk mencatat keputusan yang lebih baik.

Beliau memenangi pingat emas acara lontar peluru lelaki T40/41 di Sukan Para Asean 2023 dengan lontaran sejauh 9.17 meter, sebelum menduduki tempat keempat dalam acara lontar peluru lelaki F40 di Sukan Para Asia 2022 di Hangzhou.

Diroy turut mewakili Singapura di Sukan Paralimpik Paris 2024, yang memberinya pengalaman berharga menentang atlet terbaik dunia.

Beliau kini berharap dapat menterjemahkan pengalaman tersebut kepada pencapaian yang lebih baik di Jepun.

Toh Wei Soong (Renang para)

Pemenang tiga pingat emas edisi lalu, Toh Wei Soong, sekali lagi menjadi antara sandaran utama Singapura di kolam renang Sukan Para Asia 2026.
Pemenang tiga pingat emas edisi lalu, Toh Wei Soong, sekali lagi menjadi antara sandaran utama Singapura di kolam renang Sukan Para Asia 2026. - Foto SPORTSG

Toh Wei Soong merupakan antara perenang para paling berjaya Singapura dan bakal menjadi tumpuan di kolam renang.

Beliau memenangi tiga pingat emas di Sukan Para Asia 2022 di Hangzhou, sekali gus menyumbang kesemua pingat emas Singapura pada temasya tersebut.

Perjalanannya dalam sukan renang bermula pada usia enam tahun apabila beliau diperkenalkan kepada sukan itu sebagai sebahagian daripada terapi selepas didiagnosis dengan gangguan sistem saraf, mielitis transversa.

Sejak itu, Toh telah meraih pingat di beberapa kejohanan antarabangsa utama, termasuk Sukan Komanwel.

Dengan pengalaman dan rekod cemerlangnya di Sukan Para Asia, beliau sekali lagi menjadi antara sandaran utama Singapura untuk membawa pulang pingat dari Jepun.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti