Sekolah Tinggi Perempuan Nanyang (NYGH) mengelirukan lawan mereka daripada Sekolah Perempuan Raffles (RGS) dengan menyertakan pemain kembar pada pertandingan akhir bola keranjang perempuan Divisyen C pada 20 Ogos di OCBC Arena.
Pemain kembar, Jovia dan Jovie Teo, membingungkan lawan mereka sepanjang pertandingan dan berjaya menang 53-37 ke atas RGS. Ini merupakan gelaran juara empat kali berturut-turut bagi NYGH.
Dua pemain kembar berusia 14 tahun itu mengakui bahawa pasukan lawan sering bingung ketika menentang pasukan mereka. Perkara itu menjadi kelebihan kepada pasukan mereka.
Jovie, yang meraih 14 mata dan dianugerahkan gelaran Pemain Terbaik Perlawanan (MVP), berkata:
“Jika mereka cuba menghalang salah seorang daripada kami untuk memegang bola, akan ada seorang orang lagi untuk menyokong dan membantu pasukan untuk bawa bola ke depan.”
Guru yang memimpin pasukan itu, Toh Lin Sin, mendedahkan bahawa terkadang pengadil dan guru juga tidak dapat membezakan pemain kembar itu.
“Kami perlu periksa berkali-kali untuk pastikan pujian ataupun kritikan kami tepat pada sasaran,” tambahnya.
Adik beradik kembar itu bermain bola keranjang sejak mereka berusia sembilan tahun, mengikuti jejak kakak mereka, kini berusia 16 tahun, yang juga bermain sukan tersebut.
Jovie berkata amat “menyeronokkan” untuk bermain bersama saudara kembarnya. Jovia, yang menyumbang 16 mata pula, berkata:
“Saya berasa amat bersyukur sebab tidak semua orang mempunyai kesempatan untuk bermain bersama adik-beradik mereka, terutama sekali dengan ahli keluarga yang sebaya dan dalam pertandingan sama.”
Bagi bola keranjang lelaki Divisyen C pula, Maktab Rendah Kebangsaan (NJC) mengalahkan Sekolah Menengah Jurong 52-32.
Mereka telah tersingkir pada suku akhir pertandingan Zon Selatan pada 2023, sehingga gagal mara ke peringkat kebangsaan.
Tetapi mereka berusaha lebih gigih lagi pada musim 2024 dan mara ke separuh akhir pertandingan itu buat kali pertama dalam sejarah sekolah, sebelum merangkul kejuaraan sulung mereka.
Ketua pasukan, David Ho, berkata kemenangan itu telah “begitu lama dinanti”.
“Kami telah berlatih bersungguh-sungguh sepanjang tahun dan kami bermain dengan sangat baik bersama, dan yang paling penting, kami menang sebagai satu pasukan,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg