PHNOM PENH: Kemboja pada 10 Disember menarik balik seluruh kontinjen mereka daripada Sukan SEA di Thailand, selepas keluarga para atlet mendesak agar mereka segera dibawa pulang berikutan keadaan keselamatan yang semakin memburuk di sempadan dua negara.
Penarikan itu dimuktamadkan melalui sepucuk surat rasmi daripada Setiausaha Agung Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan Kemboja (NOCC), Encik Vath Chamroeun, kepada Ketua Pegawai Eksekutif Persekutuan Sukan SEA (SEAGF), Encik Chaiyapak Siriwat, yang dikatakan dihantar sekitar pukul 10.30 pagi 10 Disember.
Surat tersebut tidak menyatakan secara terperinci ancaman keselamatan yang dimaksudkan, namun keputusan itu dibuat ketika ketegangan ketenteraan antara Thailand dan Kemboja semakin meningkat.
“Disebabkan kebimbangan serius dan permintaan mendesak daripada keluarga atlet agar mereka pulang segera, NOCC terpaksa menarik balik seluruh kontinjen kami dan mengatur kepulangan mereka secepat mungkin atas faktor keselamatan,” tulis Encik Chamroeun dalam surat itu.
Beliau menegaskan keputusan itu “bukan dibuat dengan mudah” dan turut merakamkan penghargaan atas “layanan mesra serta semangat kesukanan” yang diberikan penganjur sepanjang kehadiran atlet Kemboja di Bangkok.
Menurutnya, NOCC akan bekerjasama dengan SEAGF bagi menguruskan logistik keberangkatan. “Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul akibat kepulangan awal ini dan amat menghargai kefahaman serta sokongan anda,” tambah beliau.
Kontinjen Kemboja yang terdiri daripada 110 atlet, pada asalnya dijadualkan bertanding dalam 12 acara sepanjang temasya yang berlangsung dari 9 hingga 20 Disember. Atlet negara itu turut menyertai upacara pembukaan pada 9 Disember dan dijadualkan bertanding dalam renang, gimnastik dan sukan mempertahankan diri seperti taekwondo dan ju-jitsu pada 10 Disember.
Seorang pegawai kanan Sukan SEA, Encik Akarin Hiranprueck, mengesahkan penarikan tersebut pada 10 Disember Rabu.
Situasi keselamatan serantau semakin meruncing apabila Thailand melancarkan serangan udara terhadap Kemboja pada 9 Disember, selepas menuduh Phnom Penh melepaskan tembakan roket ke kawasan awam di wilayah sempadan. Kedua-dua pihak saling menuding jari atas peningkatan terbaru ini.
Setakat 10 Disember, 10 kematian telah direkodkan, membabitkan empat anggota tentera Thailand dan enam orang awam Kemboja.
Lebih 500,000 penduduk di kedua-dua negara telah dipindahkan ke kawasan selamat, angka yang jauh melebihi jumlah pemindahan ketika pertempuran pada Julai lalu, yang mengorbankan lebih 40 nyawa.
Hubungan Thailand–Kemboja terus tegang sejak pertempuran tercetus di sempadan pada Julai, yang turut menyebabkan lebih 300,000 orang dipindahkan. Walaupun satu perjanjian gencatan senjata yang dipanggil Perjanjian Kuala Lumpur ditandatangani pada Oktober, insiden letupan periuk api pada November yang mencederakan tentera Thailand mencetuskan semula ketegangan.
Ketika ketidakstabilan berterusan di sempadan timur laut kedua-dua negara, laporan pertukaran tembakan antara tentera Kemboja dan Thailand pada 7 Disember kembali memburukkan keadaan. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg