ABU DHABI: Sepanjang enam tahun bersama McLaren, melalui segala pasang surut dalam dunia sukan, Lando Norris sentiasa yakin bahawa pasukannya akan kembali ke puncak kejayaan.
Pada 8 Disember, kemenangan Norris dalam Grand Prix Abu Dhabi – yang merupakan kemenangan keempatnya dalam kalendar perlumbaan Formula Satu (F1) musim ini – membuktikan keyakinannya itu dan menamatkan penantian 26 tahun pasukan McLaren untuk merangkul kejuaraan kategori konstruktor, lapor BBC.
“Ia adalah perjalanan yang indah,” kata Norris.
“Mengakhiri musim seperti ini adalah sesuatu yang hebat sekali.
“Ia terasa salah untuk mengatakan bahawa McLaren tidak pernah memenangi kejuaraan dalam tempoh 26 tahun.
“Memberikan kemenangan itu kepada pasukan telah meletakkan senyuman lebar di wajah setiap orang.
“Ini adalah ganjaran terbesar yang boleh diberikan kepada semua orang yang terlibat dalam pasukan ini, membina kereta dan mendapatkan rakan kongsi.
“Setiap orang memainkan peranan besar, jadi saya hanya berasa bangga. Bangga adalah perasaan terbesar saya,” tambahnya.
McLaren merupakan pasukan kedua paling lama bertapak dalam F1 dan kedua paling berjaya dari segi kemenangan perlumbaan, kedua-duanya di belakang Ferrari, pasukan yang mereka kalahkan pada 2024 dengan kelebihan 14 mata.
Agak menghairankan McLaren mengambil masa suku abad untuk merebut semula mahkota pasukan terbaik dalam F1 – yang terakhir setahun sebelum Norris dilahirkan.
Persaingan bagaimanapun tidak semudah bagi Norris.
Selepas rakan sepasukannya Oscar Piastri tersingkir daripada persaingan apabila keretanya bertembung dengan kereta Red Bull yang dipandu Max Verstappen di selekoh pertama, tekanan semakin meningkat.
Charles Leclerc daripada Ferrari menunjukkan prestasi luar biasa untuk bangkit dari tempat ke-19 dan kemudian menduduki tempat ketiga di belakang rakan sepasukan, Carlos Sainz.
Satu kesilapan oleh Norris, atau dengan keretanya, akan memberikan kejuaraan kepada Ferrari – pasukan yang kali terakhir memenanginya pada 2008.
Namun, Norris dan keretanya tidak mengecewakan.
Ketegangan musim terpanjang dalam sejarah F1 berakhir pada malam 8 Disember di Litar Yas Marina dengan senyuman lebar.
Ketua pasukan, Andrea Stella – antara tulang belakang utama bagi kebangkitan McLaren ke puncak F1 – memberikan penghormatan kepada dua ciri utama pasukan.
“Ketahanan yang luar biasa dan keyakinan yang tinggi,” katanya.
Semestinya, McLaren memerlukan kedua-duanya dalam jumlah yang besar untuk melalui segala cabaran dan kembali ke puncak F1.
Tempoh 26 tahun – terutamanya dekad terakhir sejak Stella kali pertama menyertai pasukan daripada Ferrari pada penghujung 2014 – telah menjadi tempoh ketidaktentuan yang luar biasa di McLaren.
Stella sebelum ini pernah menjadi jurutera perlumbaan untuk Michael Schumacher, Kimi Raikkonen dan Fernando Alonso di Ferrari. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg