DOHA: Max Verstappen mempamerkan kehebatan dengan mencapai kemenangan kesembilannya dalam musim 2024 dan ke-63 dalam kerjaya pada Grand Prix Qatar, yang dilanda kemalangan dan kontroversi, pada 1 Disember.
Perlumbaan Formula Satu (F1) itu dipenuhi pelbagai insiden, termasuk penalti dan hukuman ‘stop-go’ 10 saat yang dikenakan ke atas Lando Norris daripada McLaren lewat pada perlumbaan itu.
Hukuman ‘Stop-go’ mewajibkan seorang pemandu kembali ke pit, berhenti dan tunggu selama satu tempoh tertentu sebelum boleh menyertai semula perlumbaan.
Verstappen, pemandu Red Bull yang baru dinobatkan sebagai juara dunia empat kali, menguasai perlumbaan dan menamatkannya enam saat di hadapan pelumba Ferrari, Charles Leclerc.
Keputusan itu bermakna McLaren, walaupun pemandunya Oscar Piastri menduduki tempat ketiga, tidak dapat meraih kejuaraan pembuat kereta (constructor) pertamanya sejak 1998 dan perlu mencuba lagi pada perlumbaan terakhir di Abu Dhabi pada 8 Disember.
Walaupun dikenakan penalti lewat, George Russel menduduki tempat keempat untuk Mercedes, di hadapan pemandu Alpine, Pierre Gasly; Carlos Sainz daripada Ferrari; dan juara dua kali Fernando Alonso daripada Aston Martin.
Zhou Guanyu daripada Sauber menduduki tempat kelapan, meraih mata pertamanya dan pasukannya dalam musim ini.
Pemandu Haas, Kevin Magnussen, menduduki tempat kesembilan, sementara Norris, walaupun dikenakan hukuman, menduduki tempat ke-10.
Kejayaan Verstappen tidak mencukupi untuk mengekalkan keupayaan Red Bull mencabar bagi kejuaraan pembuat kereta, membolehkan McLaren menduduki tempat pertama dengan 640 – 21 mata di hadapan Ferrari berbaki satu perlumbaan.
“Saya sangat gembira dengan keputusan ini,” kata Verstappen, yang memulihkan prestasinya dalam tiga perlumbaan terakhir. “Sudah lama kami tidak menang dan adalah amat hebat pasukan ini sekarang bersaing semula.”
Leclerc berkata beliau gembira dengan kedudukan keduanya dan meramalkan penamat “amat sengit” dalam perlumbaan di Abu Dhabi.
“Namun, 21 mata masih merupakan margin yang besar,” tambahnya.
Verstappen kehilangan petak pertama kerana memandu terlalu perlahan hingga Russell terpaksa mengambil tindakan untuk mengelakkannya. Ini memberi pemandu Mercedes itu petak pertama kelima dalam kerjayanya dan dua kali berturut-turut.
Kehilangan itu memberi Verstappen semangat untuk memulakan perlumbaan dengan baik dengan memotong Russell dan mendahului pada pusingan pertama. Norris mengambil tempat kedua sebelum pusingan pembukaan itu dihentikan bagi Kereta Keselamatan.
Ia akibat kemalangan melibatkan kereta pemandu Haas, Nico Hulkenberg, melanggar pemandu Alpine, Ocon, dengan kedua-dua kereta itu kemudian mengheret kereta pemandu Williams, Franco Colapinto.
Ini kemalangan ke-16 pasukan Williams dalam musim 2024.
Perlumbaan diteruskan pada pusingan kelima dengan kedudukan tempat tiga teratas tidak berubah. Leclerc serta Piastri masing-masing di tempat keempat dan kelima, tetapi Piastri kemudian dengan pantas memecut ke tempat keempat.
Pemandu Mercedes, Russell, mengalami nasib malang apabila selepas 24 pusingan beliau berada lama – tujuh saat – di dalam pit kerana masalah tayar belakang kanan. Ia menyebabkan beliau jatuh daripada tempat ketiga ke-12.
Masalah Russell membolehkan Piastri naik ke tempat ketiga, 8.7 saat di belakang Norris, sekali gus meletak kedua-dua pemandu McLaren itu di hadapan Leclerc dan Sainz di tempat keempat dan kelima. Verstappen kekal di tempat pertama.
Cermin kereta pemandu Haas, Magnussen, kemudian terjatuh di trek, dan Valtteri Bottas terlanggarnya pada pusingan ke-34, menyebabkan serpihan cermin itu bertaburan di trek.
Ia juga menyebabkan kereta Hamilton dan Sainz pancit dan kedua-duanya terpaksa memasuki pit sebelum Kereta Keselamatan dikerahkan.
Selepas itu Leclerc dapat naik ke tempat ketiga, di hadapan Piastri, yang berhenti sebelum Kereta Keselamatan dikerah, manakala Hamilton jatuh ke tempat ke-16 dan Russell, yang marah selepas menggunakan satu set tayar jenis keras, berada di tempat ketujuh.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg