Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Slot teruskan sentuhan hebat, atasi Alonso di Anfield

Nov 6, 2024 | 3:48 PM
Gaya permainan tekanan yang tinggi serta strategi yang lebih teratur yang diamalkan oleh pengurus Liverpool, Arne Slot, kelihatan membuahkan hasil selepas mereka menduduki tangga teratas Liga Perdana England dan Liga Juara-Juara.
Gaya permainan tekanan yang tinggi serta strategi yang lebih teratur yang diamalkan oleh pengurus Liverpool, Arne Slot, kelihatan membuahkan hasil selepas mereka menduduki tangga teratas Liga Perdana England dan Liga Juara-Juara. - Foto EPA-EFE

LIVERPOOL: Apabila Juergen Klopp membuat pengumuman mengejutkan pada Januari bahawa beliau akan meninggalkan Liverpool pada musim panas, hanya satu nama yang bermain di bibir kebanyakan penyokong sebagai pengganti.

Pengurus yang sering disebut-sebut ialah Xabi Alonso, yang pernah menjuarai Liga Juara-Juara dan Piala FA bersama Liverpool.

Beliau menjadi jurulatih muda terhangat di Eropah selepas membawa Bayer Leverkusen menjuarai Bundesliga dan Piala Jerman dalam musim domestik tanpa kalah.

Namun, beliau akhirnya mengumumkan bahawa beliau tidak akan kembali ke Anfield, sebaliknya memilih untuk kekal di Jerman.

Arne Slot, 46 tahun, pula telah membina reputasi cemerlang di Feyenoord, dianggap mempunyai personaliti dan falsafah bola sepak yang sesuai untuk menggantikan Klopp, sesuatu yang mustahil oleh ramai.

Pengarah Liverpool, Richard Hughes serta ketua eksekutif, Michael Edwards, mempunyai keyakinan penuh terhadap Slot, walaupun nama pengurus Manchester United, Ruben Amorim, juga disebut-sebut waktu itu.

Slot dianggap cukup tenang dalam menghadapi tekanan menggantikan Klopp.

Gaya permainan tekanan yang tinggi disusun dengan strategi yang lebih teratur, dilihat sebagai pendekatan yang mampu menggabungkan kekuatan yang diwarisi Klopp sambil menambah sentuhan segar.

Pada malam ketika Alonso kembali ke kawasan teknikal Anfield – di bahagian pelawat – Slot terus membuktikan kebijaksanaan keputusan Liverpool.

Penyokong Liverpool bersorak meraikan kemenangan ke atas Leverkusen 4-0 di samping menduduki tangga teratas Liga Perdana England (EPL) dan Liga Juara-Juara.

Selepas perlawanan, nama Slot bergema di Anfield dengan sorakan penyokong, disusuli dengan sorakan bagi Alonso.

Alonso berjalan ke arah Kop untuk menyampaikan lambaian kepada penyokong Liverpool selepas mengiktiraf penyokong Leverkusen.

Namun, ia merupakan malam yang mengecewakan bagi Alonso.

Beliau sentiasa memberi isyarat kepada pemainnya untuk kekal tenang dan ia membuahkan hasil pada separuh masa pertama yang membosankan.

Ia kemudian kehilangan impaknya apabila Liverpool mula melakukan serangan bertubi-tubi sebaik sahaja mereka mematahkan tentangan Leverkusen.

Slot mempunyai permulaan yang cemerlang di Liverpool, namun jika terdapat satu isu untuk ditangani, beliau harus menyampaikan taklimat kepada pasukannya sebelum sepakan bermula.

Ini kerana walaupun Liverpool mempunyai rekod cemerlang pada musim ini, permulaan mereka kerap kurang bertenaga.

Liverpool meletakkan diri mereka di tempat yang sukar ketika menentang Brighton pada 2 November lalu, apabila mereka berada di belakang selepas separuh masa pertama sebelum memenangi perlawanan 2-1.

Mereka sekali lagi kelihatan lesu dan tidak bermaya sebelum kelincahan Diaz bantu memecahkan kebuntuan selepas 61 minit.

Dalam semua pertandingan musim ini, Liverpool telah menjaringkan 22 gol pada separuh masa kedua berbanding 15 gol pada babak pertama.

Mereka turut mempunyai 147 percubaan – 66 tepat pada sasaran – di separuh masa kedua berbanding 97 percubaan – 44 tepat pada sasaran – di babak pertama.

Liverpool mengikuti corak tersebut di perlawanan menentang Leverkusen apabila penjaga gol, Lukas Hradecky tidak diuji selama 45 minit pertama sebelum diasak bertubi-tubi yang mengakibatkan empat jaringan gol pada separuh masa kedua.

Slot berkata: “Saya tidak tahu sama ada ia berkaitan dengan intensiti tetapi kami mengambil lebih banyak risiko.

“Mereka menjadikan bahagian tengah (padang) amat padat dan kami menyesuaikan diri dan mengambil risiko untuk bermain satu lawan satu secara keseluruhan. Dan anda juga perlu memberi pujian kepada pasukan lawan.”

Slot menambah bahawa beliau ingin melihat permainan seperti ini dari awal, namun pasukan lawan sering mempamerkan intensiti yang tinggi juga.

Namun, beliau berpuas hati dengan pasukannya yang mampu menghasilkan tenaga yang diperlukan dan meningkatkan prestasi ke tahap yang lebih tinggi.

Alonso memuji Liverpool dan berkata bahawa mereka mempunyai keseimbangan dan sebuah pasukan yang seimbang.

“Mereka semua bekerjasama... untuk mengekalkan rekod tanpa dibolosi... itu penting dalam Liga Juara-Juara. Dalam liga perdana, masih awal untuk berkata apa-apa tetapi mereka di landasan yang baik.

“Keputusannya menyakitkan. Malah persembahannya lebih menyakitkan.

“Kami kekurangan kekuatan dan konsistensi. Saya akan cuba memisahkan kesakitan keputusan itu dengan perasaan dapat kembali (ke Anfield) dan kemesraannya. Saya berbesar hati menerima sambutan itu,” ujar Alonso. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg