FRANKFURT: Kemenangan mengejutkan 1-0 anak buahnya ke atas Belgium dalam Kumpulan E dalam Euro 2024 membuktikan bahawa negara-negara kecil telah mencapai kemajuan, tetapi masih terdapat jurang walaupun pasukannya menang, kata jurulatih Slovakia, Francesco Calzona.
Slovakia, yang menduduki ranking ke-48 di dunia, membuka tirai kejohanan mereka dengan kemenangan atas Belgium, yang menduduki ranking ketiga di dunia, menerusi gol awal penyerang Ivan Schranz pada minit ketujuh di stadium Deutsche Bank Park pada 18 Jun.
“Pasukan yang lebih kecil… negara yang lebih kecil, telah mencapai kemajuan. Dan kami boleh menyebabkan ‘masalah’ kepada negara yang lebih berprestij. Tetapi masih terdapat jurang yang besar.
“Kami perlu bekerja keras. Ia sama sekali tidak mudah kerana negara seperti Belgium menghasilkan begitu ramai pemain bola sepak.
“Tetapi adalah benar juga bahawa negara-negara yang lebih kecil juga sedang membangun dan saya menyedari bahawa dalam kumpulan kelayakan, negara-negara yang lebih kecil tersusun dengan sangat baik, dan memang benar, mereka telah mencapai kemajuan,” kata Calzona.
Sumber yang terhad menjadikan kemenangan tersebut lebih manis untuk Calzona, yang menyandang jawatan sebagai jurulatih Slovakia pada Ogos 2022.
“Kita adalah sebuah negara kecil. Ia bukan mudah untuk kami mencari kakitangan dan kami mempunyai beberapa isu di posisi tertentu di atas padang,” katanya.
Namun, Calzona memuji kemenangan anak buahnya yang meletakkan mereka di landasan betul untuk layak ke pusingan 16 terakhir. Slovakia bakal menentang Ukraine dan Romania pada 21 Jun dan 27 Jun.
“Pemain kami memberikan usaha yang terbaik, dan kami menewaskan persaingan yang hebat. Saya memberitahu pemain saya bahawa kita perlu mempunyai mentaliti yang kita setaraf dengan pasukan yang terbaik.
“Ia adalah satu kemenangan besar, tetapi kami perlu terus berusaha. Kami melihat perlawanan seterusnya – kami perlu menjaringkan gol dalam perlawanan tersebut juga untuk memenuhi sasaran kami dan mara (ke pusingan seterusnya),” tambah Calzona.
Penjaring gol Slovakia, Ivan Schranz berkata ia adalah kemenangan yang wajar, walaupun Belgium menguasai perlawanan dan mempunyai dua gol yang tidak dibenarkan.
“Kami memberikan persembahan yang cemerlang dan berdisiplin. Ia (untuk menang di Euro) ialah salah satu matlamat seumur hidup jadi kemenangan itu lebih indah,” jelas Schranz. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg