AL KHOR: Palestin disingkirkan daripada Piala Asia selepas tewas 2-1 kepada tuan rumah dan juara bertahan pertandingan itu, Qatar, dalam pusingan 16 terakhir pada 30 Januari.
Ini merupakan kali pertama Palestin mara ke pusingan 16 pasukan terakhir.
Perlawanan di utara Doha berlangsung pada masa sama perang Israel-Hamas di wilayah Palestin di Gaza sedang berlaku dan mereka yang hadir di stadium itu bertafakur seketika sebelum perlawanan bermula.
Beberapa pemain Palestin kehilangan orang-orang tersayang atau punyai ahli keluarga yang terperangkap di Gaza, dan pasukan itu terpaksa berlatih dan bermain perlawanan di luar negara menjelang pertandingan itu.
Namun, penyerang Palestin, Oday Dabbagh, mengejutkan 65,000 penonton di Stadium Al-Bayt dengan membuka tirai perlawanan dengan jaringannya pada minit ke-37.
Beliau dan rakan sepasukan meraikan jaringan itu dengan mengangkat dan menyilangkan tangan mereka seakan-akan digari untuk melambangkan kesusahan yang dialami rakyat Palestin.
Namun Qatar menyamakan kedudukan melalui jaringan kapten mereka, Hassan Al- Haydos, pada masa tambahan separuh masa pertama.
Penyerang Qatar, Akram Afif, yang menjaringkan gol keempat dalam pertandingan ini, meletakkan pasukannya di hadapan melalui jaringannya empat minit selepas separuh masa kedua bermula.
Dengan kemenangan ini, Qatar mencatatkan empat kemenangan dalam empat perlawanan dan melayakkan diri mereka ke peringkat suku akhir. Ia akan menentang Uzbekistan atau Thailand.
Ini juga merupakan kemenangan ke-11 berturut-turut dalam Piala Asia, pertandingan yang mereka menang buat pertama kali pada 2019.
Jurulatih Qatar, Tintin Marquez, menamakan kesebelasan utama yang terkuat selepas menggunakan kesemua 26 anggota skuadnya semasa peringkat kumpulan.
Afif kembali bersama penyerang Almoez Ali selepas direhatkan dalam perlawanan terakhir kumpulan Qatar. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg