NAGOYA: Sedang atlet memecahkan rekod dunia dan kebangsaan di Sukan Asia 2026, beberapa atlet Singapura turut tidak ketinggalan dalam mengharumkan nama negara apabila berjaya melangkah naik ke podium atau mencatat keputusan peribadi terbaik mereka.

Meskipun lapan warga Singapura akan meninggalkan arena di Tokyo dan Nagoya tanpa sebarang pingat, rekod atau catatan peribadi terbaik, temasya ini tidak kurang bermakna bagi mereka.

Sebagai pegawai kawalan penyalahgunaan dadah (DCO), mereka memainkan peranan penting di balik tabir pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

Michael Sua, 53 tahun, dan Alvin Tay, 69 tahun, adalah antara lapan DCO daripada Anti-Penyalahgunaan Dadah Singapura (ADS) yang bertugas di temasya sukan yang dianjurkan empat tahun sekali itu. 

Kedua-duanya telah menjalankan tugas berkenaan selama 16 tahun.

Seorang DCO bertanggungjawab memastikan atlet diuji secara adil dan mengikut peraturan antipenyalahgunaan dadah.

Peranan mereka termasuk memaklumkan atlet yang terpilih, mengawasi proses pengumpulan sampel air kencing atau darah, serta memastikan proses berkenaan mematuhi piawaian Agensi Anti-Penyalahgunaan Dadah Dunia (Wada).

DCO juga memastikan sampel ditutup dengan selamat, didokumenkan dan diangkut, sekali gus mengekalkan rantaian kawalan sehingga sampel tiba di makmal yang diiktiraf.

Di temasya kali ini, Tay dan Sua bertindak sebagai pengurus stesen kawalan penyalahgunaan dadah, di mana mereka mengendalikan pengiring dan DCO, memastikan atlet yang betul diuji, serta menangani sebarang isu yang mungkin timbul sepanjang proses tersebut.

Tay, yang bersara daripada Biro Narkotik Pusat (CNB) pada 2008 selepas lebih 20 tahun bertugas sebagai pegawai penguatkuasa, memulakan perjalanannya sebagai DCO semasa Sukan Olimpik Belia (YOG) 2010 yang julung kali diadakan di Singapura.

“Selepas bersara, saya mahu melihat apa lagi yang boleh saya lakukan. Memandangkan saya meminati sukan dan mahu menjadi sebahagian daripada YOG yang dianjurkan buat julung kali itu, pengalaman saya di CNB menjadi dorongan utama,” kata Tay.

Tay juga pernah berkhidmat sebagai DCO di Sukan Olimpik Musim Sejuk PyeongChang 2018, Sukan Asia 2018 di Indonesia, Sukan Olimpik Tokyo 2021, dan Sukan SEA 2023 di Kemboja.

Lazimnya, DCO merupakan orang pertama yang tiba di tempat pertandingan dan mungkin juga yang terakhir pulang.

Malah, mereka tiba di lokasi sekurang-kurangnya dua jam sebelum pertandingan bermula.

Sebaik sahaja atlet yang perlu menyerahkan sampel selesai bertanding, DCO mesti memastikan seluruh prosedur bagi melengkapkan ujian itu berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

Peluang untuk berinteraksi secara dekat dengan atlet Olimpik dan juara dunia merupakan “aspek terbaik tugas ini”, tambah Sua.

Meskipun DCO mendapat imbuhan sepanjang tempoh mereka bertugas di pertandingan, mereka perlu menggunakan cuti tahunan sendiri untuk menjalankan tugas luar ini.

Bagi sesetengah pertandingan seperti Sukan Olimpik Musim Sejuk Milano-Cortina (Italy) pada Februari, Sua yang berkhidmat dalam bidang pengurusan projek telekomunikasi, menanggung sendiri tambang penerbangannya dengan perbelanjaan dianggarkan sekitar $4,000 untuk tugas selama lapan minggu.

Namun, beliau mendapati tugasan tersebut sangat bermakna.

“Bagi kebanyakan orang, mengambil cuti kerja semata-mata untuk membuat kerja lain kedengaran agak tidak masuk akal. 

“Namun, (peluang) menjadi sebahagian daripada acara sukan global ini dan menyumbang kepada sesuatu yang lebih besar daripada diri sendiri memberi kepuasan yang sangat mendalam, sehingga saya tidak pernah ragu-ragu untuk mengorbankan cuti demi pengalaman ini,” ujar Sua.

Kawalan penyalahgunaan dadah dalam temasya sukan utama adalah penting bagi melindungi kesihatan atlet, menjamin persaingan adil serta memelihara integriti dan reputasi arena sukan antarabangsa.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti