NAGOYA: Mayor Nagoya memohon maaf kepada para atlet atas kesulitan yang mereka alami sepanjang Sukan Asia di bandar Jepun tersebut berikutan pelbagai aduan yang diterima.

Acara sukan terbesar di benua itu telah dibelenggu oleh masalah termasuk kekurangan katil dan isu berkaitan pengangkutan.

Terdapat lebih 17,000 atlet dan pegawai, jumlah yang lebih besar berbanding Sukan Olimpik, dan beberapa negara telah menuduh penganjur tempatan melakukan salah urus.

“Kami mesti memohon maaf kepada para atlet dan pihak lain yang terjejas oleh kesulitan ini,” kata Mayor Ichiro Hirosawa, yang juga merupakan pemangku pengerusi jawatankuasa penganjur tempatan pada 30 September.

“Kami mesti bermuhasabah dengan ikhlas mengenai kesilapan pengurusan yang telah berlaku.

“Terdapat kesilapan manusia dan kekurangan komunikasi dengan pasukan-pasukan kebangsaan.

“Kami sedang mengambil tindakan berdasarkan apa yang telah berlaku,” tegasnya.

Tidak seperti acara Sukan Asia yang lalu, tiada perkampungan atlet disediakan dalam usaha untuk menjimatkan wang, sebaliknya para peserta tidur di kabin sementara, di atas kapal persiaran dan di hotel.

Beberapa pasukan telah mengadu tentang saiz kabin dengan sesetengahnya mendakwa katilnya terlalu pendek.

Pada awal temasya sukan itu, penganjur tempatan terpaksa memohon maaf kepada Korea Selatan selepas tersilap memainkan lagu kebangsaan Korea Utara.

Terdapat isu melibatkan bas yang tidak beroperasi mengikut jadual, tidak muncul langsung atau pergi ke tempat yang salah.

Beberapa atlet juga terkandas selama beberapa jam di lapangan terbang selepas mereka mendarat di Nagoya untuk permulaan temasya Sukan Asia pada 19 September lalu.

Terdapat juga keprihatinan lain, apabila kurang daripada 1,000 penonton menyaksikan tuan rumah Jepun menewaskan Korea Selatan dalam separuh akhir bola sepak wanita, sehingga seorang pegawai kanan penganjur mengakui bahawa sambutan terhadap beberapa acara adalah “mengecewakan”.

Namun, pihak penganjur mempertahankan jumlah kehadiran penonton sejak majlis perasmian pada 19 September, yang berlangsung dengan ribuan tempat duduk kosong.

Para pegawai berkata ancaman taufan ketika itu, disusuli hujan lebat dari 27 hingga 29 September, telah menghambat orang ramai daripada hadir memberikan sokongan.

Meskipun beberapa pertandingan telah berlangsung dengan kehadiran penonton yang memberangsangkan, namun beberapa pertandingan yang lain pula menyaksikan penganjur bergelut untuk menarik peminat.

Separuh akhir pertama bola sepak wanita pada 29 September di stadium berkapasiti 50,000 orang di Shizuoka, sebuah lokasi untuk Piala Dunia Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) 2002, menyaksikan Korea Utara menewaskan China 2-0 di hadapan hanya 564 penonton.

Dengan hujan yang berterusan, seramai 998 penonton kemudian menyaksikan tuan rumah Jepun menewaskan Korea Selatan dengan bilangan gol yang sama.

Jepun dan Korea Utara akan berentap untuk merebut emas pada 2 Oktober di stadium yang sama. – AFP.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti