Keputusan ‘sentimental’ Arteta pilih penjaga gol rugikan Arsenal
Keputusan ‘sentimental’ Arteta pilih penjaga gol rugikan Arsenal
Kesilapan Kepa telah beri ruang kepada Manchester City dahului perlawanan 2-0
LONDON: Seorang pengurus tidak boleh melarikan diri lagi apabila pilihan yang dibuatnya mengakibatkan kekalahan pasukan, dan bagi Mikel Arteta, keputusan untuk terus mengekalkan penjaga gol, Kepa Arrizabalaga, adalah sesuatu yang akan menghantui dirinya.
Arteta dikenali dengan sifat tegasnya, namun dengan memilih untuk terus mengekalkan Kepa sebagai penjaga gol dalam final Piala Carabao di Stadium Wembley, London, pada 22 Mac, beliau memperlihatkan sisi sentimentalnya yang jarang terserlah.
Ini lebih-lebih lagi memandangkan Arsenal belum memenangi piala besar sejak 2020.
Kesilapan Kepa – apabila beliau membiarkan hantaran silang Rayan Cherki lepas daripada genggamannya – telah memberi ruang kepada Nico O’Reilly untuk menanduk masuk bola, mengakibatkan Manchester City mendahului perlawanan.
Setelah itu, pasukan yang diterajui Pep Guardiola itu tidak menoleh ke belakang lagi, apabila O’Reilly sekali lagi menanduk masuk bola dalam tempoh empat minit untuk memastikan kemenangan 2-0.
Keputusan Arteta memilih Kepa sebagai penjaga gol dalam perlawanan akhir ini dan bukannya penjaga gol pilihan utama, David Raya, dipersoalkan berikutan prestasi cemerlang penjaga gol City, James Trafford.
Trafford telah ditandatangani semula pada musim panas untuk menjadi penjaga gol nombor satu City, sebelum kelab itu menandatangani Gianluigi Donnarumma daripada Paris St-Germain (PSG) – menjadikan Trafford pilihan kedua.
Trafford dengan cemerlang telah menyelamatkan tiga percubaan gol daripada Kai Havertz dan Bukayo Saka pada awal perlawanan, sekali gus memastikan gawangnya tidak dibolosi sehingga wisel penamat dibunyikan.
Sementara itu, timbul persoalan mengenai pemilihan Kepa kerana prestasinya yang kurang memuaskan.
Bekas penyerang Blackburn, Chris Sutton, berkata kepada wartawan:
“Saya tidak pernah faham mengapa pengurus menurunkan penjaga gol pilihan kedua mereka (ke padang) dalam final.
“Anda sedang berusaha untuk menang, jadi mengapa tidak turunkan (penjaga gol) nombor satu anda untuk beri peluang terbaik kepada pasukan sendiri? Itu keputusan yang mudah.”
Bagi Arteta, ia tidak pernah terlintas di fikirannya untuk tidak menurunkan Kepa dalam final tersebut.
Pengurus Arsenal itu berkata ia adalah sesuatu yang “sangat tidak adil” sekiranya beliau tidak mengekalkan pemain antarabangsa asal Sepanyol itu dalam final, dan berkata beliau sedia menerima segala kritikan mendatang.
Ini memandangkan Kepa telah bermain dalam setiap pusingan kejohanan piala itu sebelum peringkat akhir tersebut.
“Saya faham (kritikan) itu, tetapi saya perlu lakukan apa yang saya rasa betul, iaitu sesuatu yang jujur dan adil,” kata Arteta.
“Dan saya rasa kita mempunyai seorang penjaga gol yang memahami peranannya seperti Kepa – beliau telah bermain dalam kesemua pusingan kejohanan ini, dan saya rasa adalah sangat, sangat tidak adil baginya dan bagi pasukan untuk lakukan sesuatu yang berbeza.”
Bekas penjaga gol Chelsea itu telah menandatangani kontrak bersama The Gunners pada musim panas untuk bersaing dengan penjaga gol pilihan utama, David Raya.
Raya mencatat rekod 15 perlawanan tanpa bolos dalam Liga Perdana England (EPL), jumlah tertinggi dalam divisyen tersebut, dan telah melakukan beberapa aksi menyelamat hebat sepanjang kempen itu ketika Arsenal berusaha menamatkan kemarau piala.
Arteta turut berkata meskipun pada musim ini masa bermain Kepa terhad, beliau tidak pernah menjanjikan bahawa penjaga gol itu akan bermain dalam perlawanan piala Arsenal.
“Saya tidak pernah boleh beri jaminan dengan seorang pemain yang dia akan bermain dalam kejohanan tertentu, kerana pada akhirnya, dia perlu membuktikan dia layak dan menunjukkan kemampuan yang cukup seperti mana-mana posisi lain,” katanya.
“Kami dipandu oleh apa yang kami lihat dan apa yang beliau telah lakukan dalam kejohanan ini, dan beliau yang membantu kami untuk melangkah sejauh ini.
“Saya percaya ia adalah keputusan yang betul dan itu sahaja. Kesilapan adalah sebahagian daripada bola sepak dan hari ini ia berlaku pada saat yang sangat penting,” tambah Arteta.
Kepa mempunyai kenangan pahit dalam Piala EFL apabila beliau bermain untuk Chelsea pada 2019 dan 2022, dan kini beliau telah tewas dalam kesemua tiga final yang pernah disertainya dalam kejohanan tersebut. – Agensi berita.

